KUALA LUMPUR - Pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan, Dr Awang Sariyan hari ini meminta kerajaan supaya bertegas dan tidak melayan sebarang desakan mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara pilihan di sekolah dan satu memorandum akan diserahkan Sabtu ini.
Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran sendiri mengakui berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hanya tiga peratus pelajar mendapat manfaat dari PPSMI.
"Jadi adakah kita ingin mengabaikan hak asasi 97 peratus pelajar lain sedangkan pendemokrasian pendidikan menuntut pendidikan mesti diperoleh sejumlah besar rakyat, kita tak boleh korbankan 97 peratus hanya untuk melayan tiga peratus yang masih berminat dengan PPSMI," katanya kepada media selepas sidang media oleh 48 Badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyokong pemansuhan PPSMI di sini hari ini.
Dipetik Bernama Online, beliau berkata golongan memerlukan PPSMI ialah golongan elit yang mungkin telah hilang jati diri.
"Mereka mendakwa Bahasa Inggeris bahasa ibunda mereka walhal mereka masih orang Melayu, ini satu kekeliruan.
"Kekeliruan (oleh golongan elit) ini tidak perlu dilayan, kerajaan perlu bertegas dan tidak lagi berdolak dalih, mengubah kembali keputusan pemansuhan kerana itu memberi tanggapan tidak ada dasar negara yang jelas," katanya.
Sebelum ini Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa agar diberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih PPSMI berdasarkan kajian mereka yang mendakwa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.
Sementara itu, pada sidang media oleh 48 NGO, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata satu memorandum yang mengandungi empat resolusi menyokong pemansuhan PPSMI akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri pada Sabtu ini sempena Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan