HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Oktober 2011

Bantu Kelantan atas semangat federalisme

Sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, kerajaan persekutuan harus membantu kerajaan negeri berdasarkan konsep federalisme.



PETALING JAYA: Pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari menggesa kerajaan pusat memberi kerjasama kepada kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu berdasarkan semangat federalisme.

“Kerajaan pusat harus membantu apabila diminta tolong oleh kerajaan negeri,” kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada FMT berhubung hasrat Kelantan untuk meneruskan pelaksanaan hukum hudud.

Beliau menjelaskan sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, kerajaan persekutuan harus membantu kerajaan negeri berdasarkan konsep federalisme.

“Sebagai contoh, apabila berlaku kebakaran di Kelantan, perkhidmatan bomba yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat harus membantu memadamkan kebakaran itu.

“Begitu juga jika Kelantan diserang oleh kuasa luar, kerajaan pusat harus mempertahankannya kerana pasukan keselamatan ditadbir oleh kerajaan pusat,” terang beliau.

Kata Aziz Bari, masalahnya sekarang orang-orang Islam sendiri, bukan sahaja mereka tidak mahu memberi kerjasama malah menentang pelaksanaan hukum hudud.

“(Menteri Besar Kelantan) Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat sudah berkali-kali menyatakan bahawa undang-undang hudud ini hanya untuk masyarakat Islam sahaja. Orang-orang bukan Islam tidak perlu bimbang.

Hak Allah

“Rakyat Kelantan mahu undang-undang hudud ini dilaksanakan. Hukum hudud juga adalah hak Allah SWT yang mesti kita laksanakan, sama seperti hukum-hukum Islam yang lain.

Di Kelantan, majoriti rakyat mahu undang-undang hudud maka berdasarkan doktrin demokrasi, kita harus mengikut kehendak majoriti dalam masyarakat.

Beliau berkata, untuk melaksanakan hukum hudud tidak perlu membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Yang perlu hanya dibuat beberapa pindaan kecil sahaja dalam Akta Mahkamah Syariah 1998.

“Yang perlu dibuat ialah meminda Kanun Keseksaan. Ini tidak susah. Pelaksanaannya juga tidak susah. Undang-undang negeri diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) maka pihak polis harus melaksanakan undang-undang yang diluluskan oleh Dun.

Mengenai dakwaan bahawa negara akan menjadi huru hara jika dua undang-undang yang berbeza (undang-undang sivil dan undang-undang Islam) dibenarkan berjalan serentak beliau berkata, sekarang ini pun kita sudah mempunyai dua undang-undang iaitu Jenayah Islam dan Jenayah Sivil.

“Ada orang mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan harus dipinda terlebih dahulu. Saya bertanya, mana bahagian yang hendak dipinda? Malaysia negara sekular? Tidak pula disebut bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.”

Aziz Bari menerangkan kebebasan beragama yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan agama Islam sebagai agama rasmi bererti orang-orang Islam berhak untuk mempunyai suatu sistem yang sesuai dengan ajaran agamanya. Orang Islam berhak untuk menganut dan mengamalkan agamanya.

Bidang kuasa Mahkamah Syariah

Ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pendidikan dan Pembangunan Islam Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah, beliau berkata, tujuan kerajaan negeri meminta kerajaan pusat memberi laluan untuk pelaksanaan hudud adalah ucapan berunsur politik.

Dalam Wacana Sinar Harian bertajuk “Hudud Dilema dan Pelaksanaannya” di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Sabtu lalu, Mohd Amar dipetik FMT sebagai berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya perlu memberi laluan bagi membolehkan undang- undang hudud dilaksanakan tanpa mengambil kira ‘menang majoriti’ di parlimen.

“Kita minta BN timbang hasrat kita agar beri laluan untuk kita pinda akta yang menyekat pelaksanaan hudud ini.Tak perlu tunggu pilihan raya. Itu yang kita minta dengan penuh rendah hati kepada pemimpin BN,” kata Mohd Amar.

Merujuk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1998, Aziz Bari berkata bidang kuasanya harus diperluaskan.

Buat masa ini akta tersebut sekadar memberi memberi peruntukan kuasa kepada mahkamah berkenaan untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan saranan Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam Wacana Sinar Harian Sabtu lalu bahawa pelaksanaan hudud perlu dilakukan secara ‘paksa’.

Beliau menjelaskan bahawa undang-undang hudud tidak perlu dilaksanakan secara paksa kerana orang akan melihat Islam itu berkembang dengan paksaan.

“Biar orang melihat Islam itu indah dan sempurna serta menjadi tugas kita untuk memberi penerangan dan mendidik masyarakat supaya tertarik dengan Islam,” terang beliau.

Tiada ulasan: