HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2011

Aziz Bari: Saya hanya kata apa yang benar

Oleh: Sidiqin Omar


KUALA LUMPUR: Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau tidak bersikap biadap terhadap Sultan tetapi hanya memberi pandangan akademik.

Pada 29 Oktober lalu, Aziz menerima sebutir peluru hidup yang diposkan ke rumahnya di Gombak, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebelum ini.

Turut disertakan bersama peluru itu ialah sekeping nota ugutan berbunyi: ‘Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti’.

Lanjutan itu satu laporan dibuat Aziz di Balai Polis Taiping dan beliau telah pun dipanggil ke Balai Polis Gombak untuk memberi keterangan lanjut.

Menurut Aziz, ugutan tersebut tidak mematahkan dan melemahkan semangatnya untuk meneruskan tugas seperti biasa.

“Saya bukan biadap dengan sultan. Saya cuma bercakap tentang ‘exercise of power’,”

“Saya hanya katakan apa yang benar. Tidak lebih dari itu,” kata beliau dengan nada tenang kepada pemberita di pejabat Sekretariat Aziz Bari di Kuala Lumpur, semalam.

Aziz sebelum ini disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dipanggil ke Balai Polis Shah Alam untuk memberi kenyataan berhubung isu tersebut di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan.

Beliau turut digantung oleh pihak pentadbiran UIA, sebelum keputusan penggantungan itu ditarik balik.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Rozan Azen mengecam tindakan gangsterisme politik dan menyifatkannya sebagai fasisme 1Malaysia.

“Menyerang tokoh akademik adalah satu penghinaan dan penganiayaan. Sedangkan usaha beliau ialah memberi kesedaran dan pendidikan perlembagaan kepada rakyat,” kata Rozan yang juga Alumni UIA.

“Orang ramai jangan hilang fokus. Jangan lupa perkara ini hanya bermula apabila ditimbulkan oleh Senator Umno yang cuba meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13,” tegasnya.

Tiada ulasan: