KUALA LUMPUR — Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) kecewa dengan kenyataan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) semalam sambil menegaskan bengkel anjuran pihaknya esok tiada sebarang agenda tersirat ataupun mahu mencabar undang-undang keluarga Islam.
Justeru pertubuhan bukan kerajaan itu berkata kesimpulan tidak berasas dibuat oleh Setiausaha Agung Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid dengan hanya berdasarkan satu iklan pada laman web Suhakam tidak mencerminkan kewarasan dalam melahirkan pendirian.
“Beliau (Azmi) tidak ambil usaha untuk menghubungi penganjur mengenai kandungan pertemuan, sebaliknya melahirkan spekulasi dan dakwaan-dakwaan tidak berasas dalam akhbar mengenai perkara yang belum pun disampaikan oleh penulis (penceramah),” kata Pengarah Eksekutif Empower Maria Chin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataannya semalam, Azmi menggesa diskusi meja bulat tidak membincangkan undang-undang keluarga dan kesamaan jantina termasuk hak bagi lesbian dan dwiseks atas alasan ia tidak sesuai dengan nilai agama negara ini.
Bengkel meja bulat itu, yang diadakan dengan kerjasama Suhakam, akan membincangkan dua kertas kerja mengenai hak asasi lesbian dan wanita dwiseks dan undang-undang keluarga. Ia bertujuan mempromosikan dan memantau kesamaan jantina sama ada ia selari dengan rangka kerja hak asasi yang diketengahkan oleh Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) yang telah diratifikasikan oleh Malaysia pada 1995.
Azmi berkata, pihaknya menolak dengan keras jika ada pihak yang cuba membawa pemikiran dan nilai hidup sekular-liberal yang bertentangan dengan budaya Islam dan kebudayaan nasional yang menjadi teras kepada amalan hidup rakyat di Malaysia.
Dua kertas kerja bertajuk “Cedaw in Defending the Human Rights of Lesbians, Bisexual Women and Transgenders in Malaysia” dan “A Cedaw Approach to Family Law in Advancing Equality and Non Discrimination” akan dibentangkan.
Maklumat diperoleh daripada nota media penganjur menyebut diskusi meja bulat itu akan dijadikan pelan tindakan yang akan menjadi katalis dalam merangka rangka kerja bagi kesaksamaan jantina. Empat bidang akan diberi tumpuan oleh diskusi iaitu keganasan dihadapi wanita dalam bidang tenaga kerja, pelarian wanita dan bukan warganegara, orientasi seksual dan identiti jantina dan undang-undang keluarga di Malaysia.
Jelas Maria Chin, kenyataan Mapim juga menunjukkan pendirian “tidak matang, tidak rasional dan sikap tidak toleransi (mereka) berkenaan kepelbagaian dalam pandangan.”
Sehubungan itu katanya, pihak yang berhasrat untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan wanita dan hak asasi manusia, tidak wajar risau dengan tindakan intimidasi dan pembencian pihak-pihak terbabit.
“Ia hanya membawa (kita) kepada memori-memori tidak menyenangkan di mana pertemuan aman Majlis Peguam diganggu dengan intimidasi dan ancaman (yang berlaku tiga tahun lalu).
“Sebarang usaha tindakan ganas sedemikian bertentangan dengan prinsip Islam, satu agama yang menggalakkan dialog, toleransi dan perpaduan di kalangan masyarakat berlainan kaum,” katanya lagi.
Sambil menegaskan bengkel di Petaling Jaya itu esok diteruskan sebagaimana telah dirancang, Maria Chin berkata, pihaknya tegas dengan pandangan bahawa kesamaan jantina adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dan, kami mahu mengatakan bahawa Artikel 8(2) telah dipinda khusus untuk mempertahankan hak asasi manusia dan menghentikan diskriminasi berdasarkan jantina.
“Kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa ia mengambil tindakan positif bagi mewujudkan dasar-dasar dan undang-undang yang seiring dengan Cedaw,” katanya.
Jelas beliau, penganjuran bengkel itu hanya satu langkah positif bagi memastikan peluang sewajarnya disediakan kepada golongan yang berhadapan dengan diskriminasi dan ketidaksamaan.
“Masalah-masalah dialami wanita ini (memang) wujud dan ini masanya untuk publik Malaysia mengiktiraf isu-isu yang tidak ditangani dan yang menjadi kebimbangan kaum wanita,” kata Maria Chin sambil menjelaskan, isu-isu itu termasuklah hak asasi pekerjaan yang tidak dilindungi bagi pekerja-pekerja wanita, tiada jaminan keselamatan dan ancaman keganasan dihadapi pelarian wanita, ketidakupayaan undang-undang termasuk undang-undang sivil yang gagal memberi perlindungan sewajarnya bagi mencari penyelesaian dalam soal perkahwinan dan perceraian di Malaysia.
Seiring dengan usaha pihaknya mengambil pendekatan inklusif dan mencari keharmonian kaum dan agama, kata beliau, bengkel kali ini sememangnya menuju ke arah itu.
“(Usaha) membawa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, institusi kerajaan dan agensi-agensinya untuk berbincang dan mencari jawapan ke atas isu-isu yang belum ditangani merupakan perkara yang adil dan betul untuk dilakukan,” katanya.
Justeru tegas beliau, rakyat Malaysia sudah cukup dewasa untuk mengadakan dialog-dialog secara aman meskipun yang berkaitan dengan isu-isu agama, sekali gus mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan.
“Hanya menerusi dialog matang, terbuka dan waras akan membolehkan kita maju bersama sebagai sebuah negara,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan