HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Oktober 2011

Kg Baru: MB Selangor tiada kuasa veto buat rombakan, kata MAS


KUALA LUMPUR — Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) menentang usaha Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru Ahmad Zambri As'ad Khuzami yang mendakwa mahu membawa rombakan keanggotaan dalam badan tersebut menggunakan kuasa Menteri Besar Selangor dan menegaskan, pihak berkenaan tiada hak veto berbuat demikian.

Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi menegaskan, majlis itu sendiri sudah membuat keputusan untuk melakukan rombakan ketika mesyuarat Ahli Jemaah Kerja pihaknya baru-baru ini sejajar dengan penubuhan Perbadanan Kampung Baru yang diumumkan kerajaan.

“MAS sendiri sudah membuat keputusan untuk melakukan rombakan ke atas perundangan dalam MAS supaya seiring dengan peredaran dan penggubalan rang undang-undang berkaitan Kampung Baru.

“Keputusan ini dibuat ketika mesyuarat lepas, bukan atas saranan Zambri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider lewat malam tadi.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa kepimpinan tertinggi MAS Kampung Baru akan dirombak dalam masa terdekat atas alasan badan tersebut dilihat tidak lagi berfungsi secara efisien dalam mempertahankan tanah eksklusif masyarakat Melayu di kawasan penempatan itu yang terletak di ibu negara.

Ia dipercayai ada kaitan dengan rang undang-undang perbadanan pembangunan yang kontroversi, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat awal bulan ini.

Zambri berkata, badan pentadbir yang sudah 111 tahun wujud akan dirombak atas kuasa yang ada pada Menteri Besar Selangor berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950.

“Rombakan MAS ini akan dilaksanakan dengan kuasa yang ada pada Menteri Besar Selangor sepertimana yang tertakluk di bawah enakmen sedia ada, yang berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Menteri Besar berkuasa melantik empat orang ahli manakala baki tujuh lagi merupakan ketua kampung yang akan dipilih berdasarkan suara dan pilihan penduduk kampung masing-masing,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Shamsuri juga menolak penglibatan Menteri Besar Selangor sebagaimana dikatakan oleh Zambri bahawa beliau akan menggunakan kuasanya untuk merombak keanggotaan dalam MAS.

“MB Selangor ini tidak malu, memang dia ada kuasa, tapi telah sekian lama Kampung baru ini hidup sendiri tanpa bantuan Selangor, hanya menggunakan dana daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sekarang sibuk hendak campur tangan.

“MB boleh cadangkan sahaja, tetapi keputusan dibuat oleh Ahli Jemaah Kerja MAS, kalau kami menolak, dia tidak boleh buat apa-apa, MB tiada kuasa veto,” tegasnya.

Jelas beliau, kali terakhir undang-undang dalam MAS dipinda adalah pada 1952 dan tidak pernah dipinda sejak itu dan kini perlu dilakukan perubahan ekoran perkembangan semasa.

“Bila kerajaan umumkan penggubalan rang undang-undang baru, ada beberapa perubahan perlu dibuat kerana terdapat undang-undang yang tidak sesuai digunakan lagi,” katanya.

Selain itu, Shamsuri turut menegaskan kekosongan yang wujud dalam jawatankuasa pertubuhan tersebut berlaku ekoran dua orang ahli jawatankuasanya dilucutkan jawatan kerana melanggar undang-undang pertubuhan tersebut.

“Mengikut perundangan parti, mana-mana ahli jawatankuasa yang tidak menghadiri mesyuarat lebih tiga kali, jawatankuasa berhak melucutkan keahlian mereka.

“Bermula 13 Mei lalu, jawatan mereka telah dilucutkan dan MAS akan melantik ahli jawatankuasa baru untuk menggantikan mereka,” katanya lagi.

Mengulas kenyataan Zambri yang mempertikaikan jawatan yang disandangnya berikutan dirinya telah diisytiharkan muflis, Shamsuri menegaskan, dia tidak melakukan jenayah berat yang membolehkannya dikenakan tindakan undang-undang, sebaliknya ia urusan dirinya dan pihak bank.

“Saya tidak terkejut bila soalan seperti itu dikeluarkan Zambri kerana perkara ini sudah banyak kali dibangkitkan, dalam mesyuarat Ahli Jemaah Kerja sahaja sudah dua kali dibincangkan.

“Keputusan mesyuarat tersebut berpihak kepada saya, Ahli Jemaah Kerja telah memutuskan saya masih lagi layak memegang jawatan setiausaha pertubuhan ini, ini merupakan serangan peribadi ke atas saya,” kata beliau.

Beliau juga meminta Zambri supaya menjaga dirinya sendiri sebelum mencari kesalahan orang lain.

Setiausaha Kehormat MAS turut mempertikaikan campur tangan PAS dalam isu Kampung Baru dan mendakwa parti itu hanya mahu meraih sokongan penduduk.

Ujarnya, kehadiran PAS di Kampunh Baru hanya cuba menjadi hero segera yang kononnya membela nasib penduduk sedangkan pada hakikat mereka tidak pernah menjaga kebajikan penduduk.

“PAS tidak tahu sejarah Kampung Baru, mereka sekadar mencari populariti politik dengan campur tangan dalam isu ini, MAS sahaja yang benar-benar arif perihal penduduk di sini, setiap rekod penduduk ada dalam simpanan MAS,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: