HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Oktober 2011

Siapa dan apa yang lucah

Oleh Mazir Ibrahim


Sumbangan yang paling hebat tamadun Melayu kepada dunia adalah pantun. Penciptaan pantun merupakan adikarya rumpun Melayu yang sudah berabad lamanya sebelum karya William Shakespeare menjadi popular dalam dunia seni.

Entah di mana magisnya bentuk pantun ini, ciptaan kata, simpulan bahasa, imaginasi, simbol dan jalinan rima dalam pantun menyerlahkan kehebatan budaya seni bangsa Melayu dalam penguasaan bahasa dan bermain kata-kata.

Sifat utama bagi pantun adalah perumpamaan. Perumpamaan ini hanya akan dapat dihasilkan melaui proses pemerhatian yang lama, jitu dan halus.

Jelasnya, orang Melayu memang suka menonton, memerhati, merenung/termenung dan begitu cair dalam menyelami makna sesuatu hal yang berlaku di hadapan matanya. Ini antara kelebihan utama pantun dan bangsa Melayu.

Pantun bukan sesuatu yang ditinggalkan dalam muzium. Ia hidup dalam banyak bentuk termasuk bidang lagu-lagu pop.

Dalam kes lagu Prima Yin yang berjudul ‘Marilah’ dan sebelum ini lagu dangdut termasuk lagu ‘Enjut’ nyanyian Noraniza Idris dan Cat Farish, ada pihak mendakwanya sebagai berunsur lucah.

Telah membentuk satu persepsi negatif terhadap seni umumnya. Dan persepsi ini akan terus merebak dan menjangkiti mentaliti seluruh masyarakat sepertimana penyakit selsema/flu.

Persepsi dan kekeliruan

Dalam hal ini, kita wajar melihat anatomi karya tersebut. Namun keterbatasannya juga jangan sekali-kali kita lupa, iaitu karya seni kreatif adalah subjektif sifatnya. Jadi itu tahap keterbatasannya.

Apabila kita melihat dan membandingkan lirik kesemua karya-karya ini, terutamanya lagu dangdut, tidak dapat kita nafikan bahawa memang wujud satu-satu baris ayat yang jelas mempunyai satu maksud yang jelas, sebagai contoh “lihatlah goyang inul semoga terhibur, sayang”.

Keadaan ini tidak dapat tidak, kita serahkan kepada kebijaksanaan pendengar untuk menerima atau menolaknya. Jika mahu tolak, tutup sahaja telinga atau tukar rancangan TV yang lain atau nasihatkan keluarga untuk tidak mendengarnya.

Tidak perlu mengeji atau menggunakan undang-undang untuk menghalang penyanyi tersebut mencari makan.

Namun, ada juga ayat atau perkataan yang membawa dua makna (double meaning) seperti “Enjut jangan tak enjut” – lagu ‘Enjut’ nyanyian duet Noraniza Idris dan Cat Farish.

Keadaan ini masih agak kabur dan tergantung maksud sebenarnya. Ia boleh ditafsir dari pelbagai sudut. Dan jangan pula kita lupa bahawa, pantun Melayu juga selalu terdapat perkataan yang boleh membawa dua makna.

Contohnya:

Kalau roboh kota Melaka

Sayang selasih di dalam puan

Kalau sungguh bagai dikata

Rasa nak mati di pangkuan tuan

Perkataan ‘di dalam puan’ ini juga boleh mengundang pelbagai maksud. Tetapi apabila kita melihat konteksnya secara keseluruhan, maka pembayang itu menjadi lebih jelas tujuannya.

Meneran, mengerang

Kemudian cuba kita lihat elemen-elemen muzik yang digunakan dalam karya-karya seperti ini. Memang wujud elemen yang menggunakan nada-nada panas yang kadangkala berbunyi seperti suara orang meneran atau mengerang. Elemen-elemen ini bukan hanya ada dalam budaya Melayu sahaja, sebaliknya ia juga wujud dalam budaya kaum-kaum lain.

Jika nada yang mengerang seperti “ahhh…uuuhhhh..auww” sudah tentu, bangsa mana yang mendengarnya akan tersenyum dan sangsi dengan bunyi itu. Ini nilai sejagat, bukan hanya nilai dalam budaya Melayu sahaja.

Akhir sekali, kita melihat aksi si penghibur atau si penyanyi itu, baik di pentas mahupun di dalam klip videonya. Senario ini akan mengundang lebih banyak persoalan dan persepsi.

Ketika di pentas, secara umumnya, si penghibur akan cuba menyampaikan lagunya sebaik meungkin dengan persembahan sehebat mungkin, dengan kawalan pentas termasuk mengawal mood penonton, ia bukan satu perkara yang mudah seperti kita melihatnya.

Soal penghayatan juga memain peranan yang besar, semua ini semata-mata untuk memenuhi kepuasan penontonnya.

Manakala itu, pembuatan klip video juga mengalami senario yang sama malah ia perlu ada tambahan elemen lain untuk memastikan kisah atau cerita dan idea lagu tersebut dapat dipaparkan menerusi lakonan yang berkesan, tarian yang bertenaga dan suntingan video yang sesuai dengan tema lagu tersebut. Klimaksnya hanya untuk menarik perhatian peminat, itu juga sebabnya.

Semua ini adalah asas setiap karya dan artis melancarkan karya mereka. Soal niat sebenar mereka, kita tidak akan tahu malah jika ditanya, kemungkinan besar mereka tidak akan mengaku sama sekali. Sudahnya, perkara tersebut tidak akan selesai.

Bimbang pada yang bukan-bukan

Kita sebagai penghayat atau penonton, boleh memahami dimensi kerja orang berkarya dengan melihat asas-asas ini sebagai panduan. Ia akan membantu kita untuk menilai apakah tema sebenar karya itu dibentuk dan dipersembahkan.

Begitu juga dengan kes ‘Negarakuku’ suatu waktu dahulu. Karya ini dianggap sebagai menghina agama, lagu kebangsaan dan sebagainya. Tetapi hari ini, hilang terus kisah itu setelah Namewee berjaya menghasilkan filem Nasi Lemak 2.0.

Kadangkala, dalam kes seperti ini, kita sendiri lebih hipokrit dengan diri sendiri. Soal persepsi negatif, baik ia dikatakan berunsur lucah, kotor atau menghina sesuatu itu, pada hakikatnya ia amat subjektif.

Sekali pun benar pengkarya ingin menghina sesuatu, mungkin terhinalah kesannya yang masyarakat dapat. Selebih itu, ia hanya menjadi karya kreatif, karya ekspresif dan bahasa imaginasi yang bebas.

Memang bagus jika masyarakat kita mempunyai daya sensitiviti yang tinggi. Tetapi maksud sensitiviti ini adalah ‘kepekaan’, bukan sensitif ‘terasa atau emosional’. Lihat, perkataan yang sama boleh disalah tafsir hanya dengan terlepas melihat konteks ayat.

Inilah contoh paling mudah yang telah memalingkan bangsa kita dari melihat sesuatu perkara itu secara konsep dan struktur. Masyarakat kita termasuk si pengkarya itu juga, perlukan pencerahan.

Inilah hukum alam. Yang baik akan terus harum mewangi dan yang buruk itu akan terpadam dan menjadi teladan. Justru kita sebagai masyarakat tidak perlu bimbang dengan ‘kelucahan’ seperti ini.

Lucah yang menghancurkan

Yang perlu dibimbangkan ialah politik lucah yang memperalat media untuk membunuh karier seseorang dengan fitnah-fitnah kotor yang penuh dengan skandal seks dan mecabul hak privasi kanak-kanak.

Ini yang akan menghumban bangsa Malaysia ke bawah darjat kemanusiaan. Pantun, lagu, syair, gurindam; ini semua hasil karya seni yang mungkin nilainya tinggi atau rendah, tapi ia tetap kreativiti seni budaya.

Anak Merpati terbang melayang,

Ayam mematuk beras sebiji,

Kalau hati mudah meradang,

Ambil wudhuk lekas mengaji.

- Roketkini.com

Tiada ulasan: