Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan kerajaan berhubung pendedahan peninju Israel, Ilya Grad yang mendakwa telah memasuki Malaysia dengan bantuan menteri belia dan sukan untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai untuk stesen TV AXN.
Mahfuz berkata, perkembangan itu mengejutkan, apatah lagi apabila peninju kelas middleweight itu mendakwa bahawa pasportnya tidak dicop."Sebarang kemasukan rakyat ke negara Israel diharamkan, malah rakyat Malaysia masuk ke (Israel) juga diharamkan.
"Bagaimana (Grad) boleh masuk dengan (dakwaan) restu menteri, malah tanpa melalui proses imigresen sebenar? Ini menunjukkan betapa longgarnya pintu sempadan, boleh bolos begitu saja.
"Jadi kementerian luar negeri, kementerian dalam negeri harus beri kenyataan kenapa perkara ini boleh berlaku. Apakah benar dakwaan dia masuk dengan keizinan daripada menteri belia dan sukan?," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Bekas juara muay thai Israel itu mendakwa telah memasuki Malaysia pada satu tarikh sebelum ini untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai yang dirakamkan di dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.
Difahamkan, rakaman program pada Jun itu baru saja dikeudarakan oleh stesen TV berkenaan baru-baru ini.
Dalam satu tulisan di blog tinju Muay Thai Authority pada 15 Oktober, Grad menceritakan bahawa dia tidak sabar untuk mengibarkan bendera Israel ketika berada di Malaysia.
Beliau yang memasuki Malaysia melalui Thailand ditahan selama 25 jam di satu pintu masuk negara sebelum berjaya mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia."
Sesudah itu, barulah dia kemudiannya mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk memasuki Malaysia, katanya di blog yang banyak memaparkan kegiatan dan pertandingan sukan itu.
"Dengan begitu sahaja saya melepasi sempadan itu dengan pas khas – pas yang sememangnya khas kerana pasport Israel saya tidak dicop," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan