HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Oktober 2011

Jamil Khir: Enakmen negeri perlu dikuat kuasa efektif cegah murtad

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam perlu diperkukuhkan dan dikuatkuasakan secara efektif bagi membanteras kegiatan memurtadkan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sehingga kini penguatkuasaan dijalankan di negeri-negeri yang melaksanakan enakmen itu belum tersusun dan mengikut enakmen yang telah digubal sejak 1980 itu.

“Apa yang penting enakmen harus dikuatkuasakan dalam pengertian bukan setakat biarkan enakmen itu lahir, kemudian penguatkuasaannya dibiarkan sahaja,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan kompleks Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras hari ini.

Antara negeri yang menguatkuasakan enakmen itu ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis.

Dipetik Bernama Online, Jamil Khir berkata penguatkuasaan enakmen itu perlu dilihat dari sudut positif di mana sekiranya ada kekurangan ia harus dikaji dengan lebih mendalam bagi memantapkan lagi penguatkuasaannya.

“Masih ramai tidak sedar kewujudan enakmen ini, kalau ini diangkat ke permukaan, pihak terlibat akan mainkan peranan.

“Ini soal penguatkuasaan di mana enakmen dilahirkan tetapi selepas enakmen itu lahir tindakan tidak dilakukan maka tidak memberikan erti dan makna,” katanya.

Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Sabtu lalu membuat deklarasi antara lain menggesa kerajaan mengadakan undang-undang khusus mencegah pemurtadan.

Tiada ulasan: