HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2011

Hudud: Biar Kelantan jadi model

"Jangan kita biarkan orang berfikir bahawa hudud itu semata-mata potong tangan sahaja," kata Aziz Bari.




PETALING JAYA: Kerajaan negeri Kelantan harus membuat persiapan dengan teliti agar pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu boleh dijadikan model kepada negeri-negeri lain di negara ini.

Ketika membuat saranan ini, pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, Kelantan harus membuktikan kepada negeri- negeri lain bahawa undang-undang hudud itu adalah praktikal, adil dan sesuai pada setiap masa dan suasana.

“Biar Kelantan laksanakan hudud dan lihat negeri itu sebagai contoh. Jangan kita biarkan orang berfikir bahawa hudud itu semata-mata potong tangan sahaja,” kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada FMT.

Beliau berkata, mereka yang menentang hukum hudud sebenarnya tidak faham. Orang kata kita tidak bersedia (untuk melaksanakan hukum hudud). Tak apa kita buat di Kelantan. Kita akan buktikan kadar jenayah di negeri itu boleh turun, dengan izin Allah.

“Orang kata hukum hudud tidak sesuai. Nak tunggu sampai bila? Sampai kiamat pun tidak boleh laksana. Apa yang didedahkan oleh media Barat tentang hukum hudud, mungkin ada satu dua kes tertentu (isolated cases) yang berlaku.

Menurut beliau, sejarah Islam membuktikan bahawa pelaksanaan hudud itu amat ketat sekali, begitu berhati-hati dan teliti serta sukar sekali hendak dilaksanakan.

“Sebagai contoh, menuduh seseorang berzina harus dibuktikan dengan empat orang saksi yang adil. Adil bermakna seseorang itu tidak pernah melakukan perbuatan keji dan mungkar jauh sekali dari melakukan dosa-dosa besar,” katanya.

Aziz Bari berkata, Nigeria sebuah negara di Afrika Barat harus dijadikan contoh oleh Kelantan untuk melaksanakan hudud kerana negara itu juga mempunyai sistem federalisme yang hampir sama dengan Malaysia.

Lalau beliau menyarankan agar pakar undang-undang syariah dan sivil, para hakim dan mereka yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan di Kelantan supaya sering membuat lawatan ke Nigeria bagi mempelajari pelaksanaan undang-undang hudud di sana.

Beliau memuji kerajaan negara itu yang membenarkan beberapa wilayahnya yang majoriti penduduknya beragama Islam melaksanakan hudud walaupun Presidennya, Jonathan adalah seorang penganut agama Kristian.

Aziz Bari juga memuji Sultan Brunei Sultan Hassana Bolkiah yang yakin dengan keadilan undang-undang Islam dan mahu negara kecil di utara Borneo itu melaksanakan undang-undang hudud dengan secepat mungkin.

Sistem perbankan Islam

Aziz Bari menyingkap pengalamannya di sekitar tahun 1970an di mana cadangan untuk memperkenalkan sistem perbankan Islam di negara ini menimbulkan kegelisahan dan penentangan daripada ramai anggota masyarakat.

“Ramai yang takut ketika kami hendak melaksanakan sistem perbankan Islam. Mereka bimbang sistem ini akan menghancurkan sistem perbankan konvensional tetapi ternyata anggapan mereka meleset dan jauh dari benar.

“Malahan bank-bank tempatan seperti Maybank dan lain-lain berlumba-lumba untuk memperkenalkan sistem perbankan Islam sebagai suatu produk alternatif yang ‘viable’ (berdaya maju).

“Ternyata produk-produk perbankan Islam mendapat sambutan masyarakat, bukan sahaja daripada orang-orang Islam malah orang- orang bukan Islam turut merebut-rebut untuk mengambil peluang dari sistem ini,” katanya.

Beliau berkata, sistem perbankan Islam menjadi pilihan memandangkan ia lebih berdaya maju untuk bertahan terutama ketika ekonomi meleset berbanding sistem perbankan konvensional.

“Sistem perbankan Islam lebih berdaya maju kerana operasinya berdasarkan konsep ‘musyarakah’ dan ‘mudharabah’, yang berpaksikan perkongsian untung rugi berbanding sistem konvensional yang berpaksikan kepada sistem ‘interest’ (faedah),” jelas beliau.

Begitu juga dengan pelaksanaan hudud ini. Ramai di kalangan rakyat yang masih tidak memahami tentang hukum hudud ini. Mereka perlu diberi penerangan dan penjelasan tentang sebarang kekeliruan dan persepsi negatif mengenainya.

“Memanglah media Barat yang dikuasai oleh Yahudi tidak pernah dan tidak akan memberi gambaran yang baik tentang undang-undang Islam malah mereka suka mencemuh dan memberi gambaran buruk bagi menakut-nakutkan orang ramai.

Cuba timbul kekeliruan

Dalam pada itu beliau sempat membidas tindakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang cuba menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat bahawa undang-undang hudud yang PAS hendak laksanakan membenarkan suami meliwat isteri.

Zulkifli membuat tuduhan itu dengan merujuk kepada draf dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu.

Seksyen 14 enakmen itu tersebut menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri.

Kata Zulkifli, perkataan “kecuali dengan isteri” itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat. Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali menjelaskan bahawa hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu hukuman hudud, qisas dan takzir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori hudud dan qisas dimasukkan dalam kategori takzir.

Katanya, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud tetapi hukuman takzir manakala Imam Shafie meletakkannya dalam kategori hukuman hudud.

Menurut peguam PAS, Hanifa Maidin, Seksyen 3 Enakmen tersebut sekali gus menjawab segala kekeliruan yang ditimbulkan oleh Zulkifli, yang juga seorang peguam.

“Seksyen 3 menunjukkan liwat ke atas isteri tetap salah menurut Enakmen yang digubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya termaktub dalam kesalahan takzir. Hukuman takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud.

“Adalah malang sekali apabila Zulkifli yang berstatus seorang peguam tidak memahami perundangan Islam lalu membuat penafsiran yang salah dan memberi kefahaman yang negatif kepada masyarakat,” kata Hanifa.

Tiada ulasan: