HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2011

Dana Petronas akan ‘dirompak’ besar-besaran

DETIK DAILY



Pakatan Rakyat tidak perlu melaksanakan Bajet Tranformasi 2012 yang dibentangkan PM, jika ditakdirkan Pakatan menang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Ini kerana Pakatan yang menjadi kerajaan baru mempunyai mandat untuk kembali ke Parlimen membentangkan bajet yang baru.
Namun, dijangkakan PM akan mempergunakan wang Petrosnas bagi melunaskan bajet yang dicipta, kerana selama 14 tahun negara alami defisit berturutturut, menandakan ekonomi negara kian senak.
Ikuti pandang balas Pengarah Strategik KeADILan, Rafizi Ramli berkenaan isu ini. Wartawan INTAN ABDULLAH ada butirannya.
Dalam menterjemahkan Bajet 2011, banyak berlaku ketirisan terutamanya dalam projekprojek mega. Bagaimana Saudara melihat perkara ini?

RAFIZI RAMLI: Ada beberapa contoh besar yang boleh diambilkira, paling jelas ialah peruntukan berbilion ringgit untuk program jaminan makanan. Ini mungkin tidak nampak besar kerana ia melibatkan peruntukan pertanian.

Tetapi peruntukan yang diberikan dalam Rancangan Malaysia ke-9 sahaja sebanyak RM11.4 bilion. Setiap tahun kerajaan memperuntukkan sehingga RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk Tabung Makanan.

Ia melibatkan projek-projek pertanian dan sebagainya.

Kalau ia tidak tiris, dalam tempoh antara tahun 2000 hingga sekarang (program ini telah berjalan selama 10 tahun) negara tidak mengalami masalah kekurangan bekalan makanan seperti sekarang.

Kita tidak payah import makanan. Sebab itu, tujuan peruntukan berpuluh bilion dibuat, supaya kita boleh bangunkan sektor pertanian sendiri. Tidak perlu import makanan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tahun lepas (2010) macam mana?

Tahun 2010 import makanan kita adalah yang tertinggi cecah RM30 bilion. Pada masa belanjawan/peruntukan dibentangkan kononnya untuk menaik taraf sektor pertanian, pada masa yang sama juga import makanan kita naik mendadak dan itu ada kesan kepada rakyat. Akan berlaku kenaikan harga barang. Maknanya ketirisan memang jelas terjadi.

Bila kita tengok sedikit sebanyak projek-projek yang dibuat, baru kita tahu dan terbuktilah ketirisan itu.

Contohnya yang dibawa oleh Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) baru-baru ini ialah projek ‘National Field Lot’ iaitu penternakan komersil lembu, kambing dan sebagainya. Ia dibuat di Gemas, Negeri Sembilan membabitkan perbelanjaan RM250 juta yang sekarang terbengkalai hiduphidup kerana peruntukan itu diberikan kepada anak Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil yang berumur 21 tahun. Beliau dikatakan tiada kepakaran, tiada pengalaman dan sebagainya.

Ini hanyalah satu contoh peruntukan daripada Tabung Makanan yang diberikan kepada anak dan isteri menteri selepas tiga, empat tahun seluruh projek itu ditinggalkan. Dan RM250 juta hilang begitu sahaja dan kita kena import kambing masih lagi 90 peratus. Itu berkaitan dengan makanan dan bukan projek mega.

Itu pun sudah nampak begitu, inikan pula projek-projek mega yang diumumkan.

Melihat kepada defisit sepanjang 14 tahun berturutturut, apa boleh difahamkan kepada rakyat?

Bukan hanya sekadar defisit sahaja, bahkan lebih teruk daripada itu. Petua pentadbiran ekonomi iaitu defisit tidak semestinya buruk. Tetapi undangundangnya ialah defisit itu tidak boleh melebihi empat peratus.

Kedua, defisit tidak boleh berpanjangan. Ia kena ada naikturun. Maksudnya, ada zaman ekonomi jadi lembap, kita kena pam dan pada ketika itu kita kena berhutang dan ia dikira defisit.

Tetapi bila kita telah pam duit, ekonomi berkembang dan rakyat makin kaya maka ia sudah cukup. Sepatutnya ia jadi berimbang semula.

Di negara kita, bukan sahaja 14 tahun defisit tetapi daripada satu tahun ke satu tahun ia makin naik.

Adakah mungkin kita boleh mencari sumber atau dana pada kali ini, untuk berbelanja memandangkan negara alami defisit?

Sebab itu keraguan paling utama pada bajet yang dibentangkan PM ini ialah ia tidak realistik. Sumber kewangan yang diunjurkan itu tidak realistik.

Sebenarnya ramai penganalisis pasaran merasakan kerajaan tidak akan mendapat wang seperti yang diunjurkan itu untuk menampung belanjawan. Ini kerana ekonomi akan menguncup dan lembap tahun depan disebabkan keadaan ekonomi global yang makin perlahan.

Cuma Malaysia agak bernasib baik kerana adanya Petronas.

Memang betul kalau kerajaan mengambil kira pendapatan daripada hasil cukai semata-mata, Malaysia tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan pada tahun depan.

Apa yang Najib akan lakukan untuk menampung belanjawan defisit ini?

Pada jangkaan kita, apa yang Najib akan buat ialah, dia akan merompak besar-besaran Petronas. Dia akan ambil duit daripada Petronas dan Rezab Petronas itu digunakan untuk menampung belanjawan ini.

Itu satu perkara yang cukup tidak bertanggungjawab akan dilakukan. Sebab kita tidak boleh mengambil simpanan Petronas kerana Petronas itu adalah jaminan simpanan negara. Kalau kita lemahkan kewangan Petronas sekarang, ada risiko besar kepada ekonomi negara di masa akan datang.

Apakah ada kemungkinan kerajaan akan menambah hutang luar negara jika Pakatan Rakyat membuat tekanan kepada Petronas?

Najib tidak boleh buat hutang luar negara kerana hadnya ialah RM35 bilion. Jadi, hutang luar nehttp://www.planetcollex.com/ProdImages/PETRONAS%20-%2001.jpggara dia sudah tidak boleh pinjam. Apa yang dia akan buat ialah dua cara iaitu pertama, dia ambil duit Petronas dan yang kedua, dia akan terus berhutang daripada bank-bank tempatan.

Ini akan beri kesan kepada sektor perbankan dengan kesan langsung kepada simpanan rakyat.

Bank tempatan bagi hutang kepada kerajaan tetapi kerajaan tidak boleh bayar hutang itu. Apa yang akan berlaku?

Bila bank tempatan beri hutang kepada kerajaan, ia ambil wang rakyat. Bila kerajaan tak boleh bayar, wang rakyat akan hilang begitu sahaja. Ini termasuklah KWSP dan Tabung Haji sebab kesemua badan ini membeli terbitan bon oleh kerajaan.

Apabila kerajaan tidak boleh bayar, maka yang akan menanggung hutang tersebut adalah rakyat. Negara sekarang berhutang dengan rakyat. Itulah hakikatnya.

Bajet kali ini, tiada pengumuman projek mega seperti tahun-tahun sebelumnya...

Itu bukan perkara baru tetapi pengumuman itu dibuat berterusan. Apa paling tidak bertanggungjawab ialah potongan cukai yang diberikan kepada KLIFD sebab ia diberikan pelepasan cukai dan bila kita anggarkan nilai cukai tersebut ialah RM1.3 bilion.

Itu adalah projek mega. Projek mega memang telah diumumkan sebelum ini. Tetapi cukai di dalam belanjawan ini ada pelepasan sebanyak itu.

Kenapa pada kali ini, Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan seperti kebiasaanya?

Sebelum ini amalannya ialah belanjawan negara dibentangkan bersekali dengan Laporan Ketua Audit Negara. Tahun lepas ia dibentang seminggu selepas belanjawan.

Tetapi tahun ini lebih teruk .

Saya pasti ia disebabkan dalam tahun-tahun 2008-2009, apabila belanjawan dibentangkan sekali dengan Laporan Ketua Audit Negara, ia telah mendedahkan pembaziran RM28 juta, RM28 bilion dan sebagainya.

BN ingin menyembunyikan findings (dapatan) atau penemuan penyelewengan oleh Ketua Audit Negara ini supaya ia tidak menenggelamkan belanjawan mereka.

Sebab belanjawan itu sekarang pun telah dipersoalkan dari segi kredibiliti. Kalau ada Laporan Ketua Audit Negara, makin parahlah lagi keadaannya. Ini kerana bukan sahaja kredibiliti unjuran itu dipersoalkan tetapi rekod dan kredibiliti BN sebagai kerajaan yang tidak rasuah - itu memang out.

Oleh sebab itu, saya rasa BN cuba melengah-lengahkan Laporan Ketua Audit Negara ini, mungkin supaya rakyat tidak dapat tahu semua penyelewengan yang ditemui.

Ada yang berpendapat bajet ini menjadi perangkap ekonomi kepada Pakatan Rakyat. Ia juga bukti BN sudah tidak yakin pada PRU13 dan mahu meninggalkan bebanan kepada kerajaan yang baru kelak...

Kalau mereka berfikiran begitu, maknanya BN bodoh. Sebab apabila kerajaan baru contohnya, Pakatan rakyat memerintah, kita ada mandat. Kita boleh kembali ke Parlimen untuk membentangkan bajet yang baru.

Mereka mungkin berpendapat begitu. Saya tidak fikir ia satu perangkap. Tetapi apabila mereka merangka belanjawan yang tidak boleh dibayar dengan pendapatan yang tidak cukup, kalau Pakatan kalah sekalipun, pendapat mereka ialah Pakatan tidak bimbang kerana kalau menang ok, BN tidak perlu tunaikan janji-janji mereka dalam belanjawan sebab dia ada lima tahun lagi.

Kalau kalah, BN akan memberikan masalah kepada Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat kena tunaikan janji. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu ikut.

Kalau unjuran-unjuran itu tidak tepat, kita boleh sahaja pergi ke Parlimen dan bentangkan pindaan belanjawan baru.

Kalau Pakatan menang...

Jika Pakatan Rakyat menang, cara yang baik ialah mengguna pakai belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan kerana itu pendirian kita.

Tiada ulasan: