HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Oktober 2011

Pemuda Umno: Jualan asid perlu dikawal

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ― Kerajaan digesa mencari mekanisme tertentu seperti memperketatkan kawalan jual beli asid terutamanya cuka getah yang amat mudah didapati pada ketika ini bagi membendung kejadian simbahan asid.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Khairun Aseh berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh melaksanakan perkara itu memandangkan kejadian tidak bertanggungjawab tersebut semakin berleluasa ketika ini dengan jumlah kes tertinggi pada tahun ini berbanding tahun lepas.

“Bayangkan dengan hanya RM2.50, sebotol cuka getah yang mengandungi 125ml amat mudah didapati di kedai-kedai tanpa ada sebarang pertanyaan daripada sipenjual. Dengan modal itu jugalah masa depan seseorang itu boleh musnah begitu sahaja,” katanya dipeti Bernama Online.

Pada sidang media hari ini, beliau turut membawa dua beradik yang menjadi mangsa simbahan cuka getah oleh seorang lelaki di kampung mereka di Felda Jengka 9, Pahang pada 19 Julai lalu.

Shafiq Haikal, 13, dan adiknya Shaffiy Aiman, 10, yang disimbah cuka getah ketika dua beradik itu pulang dari mengaji al-Quran di kampungnya, cacat di bahagian muka dan kini masih menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Lelaki tersebut, yang merupakan penduduk di Felda berkenaan, didakwa pernah mengamuk di sebuah kedai makan menggunakan parang, baru-baru ini dikenakan hukuman lapan tahun penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh.

Khairun berkata walaupun balasan setimpal boleh dikenakan kepada suspek, namun fobia mangsa termasuk untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa, amat sukar dilalui.

“Sudah banyak menteri berkaitan mengajukan pekara ini di pelbagai saluran, tapi hakikatnya, asid begini masih mudah didapati di kedai-kedai. Apa yang mereka usahakan? Mereka perlu bersungguh-sungguh sekiranya tidak mahu ramai lagi orang awam menjadi mangsa.

“Selepas ini, saya bercadang untuk menghantar memorandum kepada Menteri Kesihatan dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan agar mereka bersama-sama berbincang untuk mengatasi perkara yang semakin parah ini,” katanya yang turut menyerahkan wang tunai RM3,000 kepada dua beradik berkenaan bagi mengurangkan beban selain menjadikan mereka anak angkat.

Sementara itu, bapa dua beradik itu, Mat Safar Zaidi, 33, berkata kedua beradik itu yang bercita-cita mahu menjadi polis dan doktor berkata pada mulanya sukar menerima kenyataan selepas tragedi itu.

“Pernah saya bawa salah seorang mereka ke kedai untuk lihat sama ada mereka boleh sesuaikan diri dengan masyarakat atau tidak, tapi beberapa minit setibanya di kedai berkenaan, mereka lari meluru ke arah saya. Mungkin malu dengan pandangan masyarakat terhadap rupa mereka,” kata bapa kepada empat anak ini.

Kedua-dua mereka perlu mendapatkan rawatan susulan dua minggu sebulan di HKL, selain perlu memakai topeng untuk suatu ketika, dan meneruskan pembelajaran di dalam wad sementara menerima rawatan.

Ibu dua beradik itu, Rohashimah Mansor, 33, tidak menduga perkara terbabit akan berlaku kepada dua anaknya yang dilakukan oleh seorang lelaki yang tinggal bersama ibunya di kampung tersebut.

Tiada ulasan: