HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Oktober 2011

Sultan Johor akan lepaskan jawatan canselor jika pelajar sertai demo

THE MALAYSIAN INSIDER

BATU PAHAT ― Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan baginda akan melepaskan jawatan Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia jika penuntut terus terjebak dengan gejala tidak sihat seperti menyertai perhimpunan haram sehingga menggugat kestabilan negara.

Sultan Ibrahim bertitah para penuntut perlu bersyukur dengan peluang diberikan untuk menuntut ilmu dan tidak terbabit dengan aktiviti politik atau menjadi pengikut kumpulan politik jalanan yang antikerajaan.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa sekiranya gejala sebegini berlaku dalam kalangan pelajar universiti ini, pada masa akan datang saya tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan saya sebagai canselor universiti ini,” titah baginda dipetik Bernama hari ini.

Titah baginda, adalah lebih baik untuk “saya mengundurkan diri daripada nama saya turut tercemar dengan perbuatan yang akan memburukkan nama dan imej universiti ini.”

Baginda bertitah semasa menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-11 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di sini hari ini.

Sultan Ibrahim juga bertitah, antara gejala sosial yang sering dipaparkan akhbar membabitkan segelintir penuntut perempuan melakukan aktiviti tidak bermoral seperti menjual maruah diri semata-mata untuk memperoleh kemewahan dengan cara mudah.

Sehubungan itu, baginda berpesan kepada penuntut dan graduan agar menjadi manusia yang berpegang teguh kepada ajaran agama, serta berusaha mengharumkan nama universiti selain membalas pengorbanan dan jasa kedua ibu bapa tercinta.

Tiada ulasan: