HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2011

Takut debat Anwar, Najib tidak layak jadi PM

Oleh: Rusnizam Mahat


KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak layak menjadi perdana menteri sekiranya beliau tidak berani bersemuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Azmizam Zaman Huri berkata, ini kerana perdebatan di kalangan pemimpin tertinggi di negara-negara maju merupakan amalan biasa yang dilakukan.

Justeru itu katanya, debat itu perlu disegerakan supaya rakyat boleh menilai siapakah antara kedua mereka yang lebih layak bergelar perdana menteri, menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Najib sudah tentu akan mempertahankan jawatannya sebagai PM dan Anwar pula akan diangkat oleh Pakatan Rakyat sebagai PM,”

“Ini lah masa terbaik supaya rakyat menilai siapa yang terbaik menjadi Perdana Menteri. Sekiranya Najib tidak berani berdebat, ini menunjukkan beliau tak layak memimpin Malaysia pada masa akan datang,” kata Azmizam.

Tambah beliau, selain menjawab isu mengenai ekonomi dan Belanjawan 2012, debat itu juga jadi landasan terbaik kepada Najib untuk menjawab mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Berdasarkan Laporan Audit yang dibentangkan banyak kekeliruan yang timbul. Debat menjadi platform terbaik untuk Najib menjelaskan tentang perkara ini,” ujarnya.

Pada 17 Oktober lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka mengenai ekonomi dan Belanjawan 2012, ekoran kritikan Najib terhadap Belanjawan Pakatan Rakyat.

Anwar berkata, debat itu harus diadakan secara langsung menerusi televisyen oleh kerana isu itu tidak mendapat liputan meluas dan rakyat tidak memperoleh maklumat mengenainya.

Ekoran itu, pelbagai pihak menggesa Najib menerima pelawaan itu supaya beliau mempertahankan Belanjawan yang dibentangkan, demi kepentingan rakyat.

Sebuah Akademi Penulisan, Akademi Pak Sako turut menawarkan diri sebagai penganjur debat berkenaan.

Surat pelawaan dihantar kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, selain turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang sendiri di ibu pejabat KEADILAN pada 21 Oktober lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini, tidak ada respon atau sebarang kenyataan yang diberikan Najib berhubung tawaran debat berkenaan.

Tiada ulasan: