HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Oktober 2011

Bajet 3M Pulau Pinang untuk semua kaum

Roketkini.com


GEORGETOWN – Bajet berjiwa rakyat 3M Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan diperkenalkan bagi memastikan semua golongan tanpa mengira kaum dan agama mendapat hak yang sewajarnya.

Bajet kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang tersebut yang akan dilancarkan itu adalah berasaskan 3M – Martabatkan rakyat, Mesra perniagaan dan Mantapkan kedudukan kewangan negeri


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, antara lain, Bajet 3M Pakatan Rakyat bercadang untuk memberi RM100 setiap tahun kepada pelajar sekolah Darjah 1 dan 4, Tingkatan 1 dam 4 mulai tahun depan bagi membantu ibu bapa mengurangkan beban membeli pakaian dan peralatan sekolah.

Pemberian Skim Pelajar Emas itu akan menelan belanja RM10 juta, dan kerajaan negeri bercadang untuk membayarnya setiap tahun dan bukannya setiap 5 tahun sekali atau menjelang musim pilihan raya sahaja.

Menurutnya, dalam usaha mengekalkan status miskin tegar sifar negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri akan menambah RM100 had pendapatan kepada keluarga yang mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM500 dan menjadikan tahap pendapatan minima sebanyak RM600 sebulan.

”Ini bermakna semua keluarga di Pulau Pinang akan mendapat sekurang- kurangnya RM600 sebulan,” katanya di majlis rumah terbuka Deepavali anjuran kerajaan negeri di sini semalam.

Guan Eng berkata, usaha kerajaan negeri membela masyarakat tanpa mengira kaum telah mendapat sokongan dan sambutan daripada semua golongan di pulau mutiara itu.

Katanya, masyarakat India di Pulau Pinang bangga dengan Timbalan Ketua Menteri dari kalangan kaum India yang pertama di Malaysia.

Mereka juga bangga dengan papan tanda jalan raya bahasa Tamil yang tunggal di Malaysia yang dipasang di George Town sebagai tanda pengiktirafan kerajaan negeri kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini, tambah beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah memperkasakan pengurusan Lembaga Wakaf Hindu dengan peruntukan sekurang- kurangnya RM1 juta setiap tahun, sebagaimana bantuan diberikan kepada kaum dan agama lain di negeri itu tanpa mengabaikan tanggungjawab menjaga hal-ehwal kebajikan umat Islam.

“Pada hari Ahad yang lalu, saya telah menyampaikan kunci-kunci untuk rumah teres dua tingkat yang bernilai lebih daripada RM 600,000 sekelurga kepada 24 keluarga Kampung Buah Pala.

“Tanpa Pakatan Rakyat, Kampung Buah Pala akan dihapuskan dan lenyap sama sekali. Kini PR telah member nafas baru kepada Taman Buah Pala.

“Kerajaan Pakatan Rakyatlah yang telah merundingkan pampasan rumah dua teres ini dan kami telah berjaya mengekalkan penduduk Kampung Buah Pala yang telah wujud lebih 120 tahun ini di halaman kampung asal mereka,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata bahawa setiap tahun, kerajaan Pakatan Rakyat memberi peruntukan yang tinggi kepada sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang.

“Kami telah mulakan dengan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2009 dan mulai dari tahun 2010, nilai ini telah ditingkatkan kepada RM1.75 juta,” tambahnya.

Menurutnya, kerajaan Pakatan juga telah memberi tanah kepada empat sekolah Tamil, iaitu Sekolah Tamil Azad, Valdor, Batu Kawan dan Subramaniya Barathee.

Ketua Menteri Pulau Pinang juga menjemput rakyat anak negeri untuk menghadiri satu lagi rumah terbuka Deepavali di Dewan Serbaguna Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan pada Ahad ini (30 Oktober) dari 3 petang hingga 6 petang.

Tiada ulasan: