HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Oktober 2011

Khaled: Pelajar IPT perlu diberi ruang tapi demo bukan jawapan


SHAH ALAM – Penuntut-penuntut universiti perlu diberi sedikit ruang untuk melahirkan suara mereka berkaitan isu-isu semasa, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin hari ini.

“Kita perlu beri sedikit ruang bagi pelajar untuk melahirkan pandangan, keprihatinan mereka... ia selari dengan janji demokrasi kerajaan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Khaled, beliau bimbang aktivisme pelajar di universiti akan digunakan oleh sesetengah pihak bagi kepentingan politik mereka.

Sehubungan itu katanya, ada cara lain untuk menyatakan rintihan dan rungutan mereka tetapi mengadakan demonstrasi di kampus bukan satu-satunya jawapan.

“Ada pelajar yang suka menggunakan cara itu (demonstrasi) tetapi ada cara lain seperti bekerjasama dengan pihak berkuasa kampus dalam lingkungan untuk melahirkan pandangan,” kata beliau.

Khalied merujuk kepada perkembangan protes pelajar di kampus baru-baru ini ekoran tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pensyarah undang-undangnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Bagaimanapun penggantungan tugas itu ditarik balik kira-kira seminggu kemudian.

Selain UIA, Aziz juga disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Aziz dilaporkan berkata, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu Gereja Methodist Damansara Utama bukan tindakan yang lazim.

Menurutnya, walaupun sebagai ketua agama Islam negeri baginda mempunyai hak itu, tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Tiada ulasan: