HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2011

Empat menang kes cabar AUKU dan UKM, mahkamah putus canggah Perlembagaan

TERKINI

KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan — keputusan yang dilihat bersejarah dalam undang-undang melibatkan pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi negara ini.

Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencabar peruntukan 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Permohonan itu dikemukakan awal tahun lalu selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil kerusi itu April 2010.

Keempat-empat pelajar itu sudah pun menawatkan pengajian mereka dan menerima ijazah pada majlis konvensyen September lalu.

Keputusan 2-1 itu dikurniakan oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert memihak kepada plaintif — kini bertaraf bekas penuntut UKM. Kes rayuan itu turut didengar oleh Datuk Wira Low Hop Bing.

Keempat-empat mereka turut telah dihadapkan di mahkamah UKM kerana disyaki terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi telah bebas tuduhan awal Ogos 2010.

Mereka berempat, ketika itu pelajar jurusan sains politik, ditahan oleh polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah, Hulu Selangor pada 22 April 2010.

Mereka terdiri daripada Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha sebelum ini mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh UKM bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Justeru mereka mencabar seksyen itu yang didakwa bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Keempat-empat mereka diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah dan Hariss Ibrahim.

Sementara itu, pihak defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Woon berkata Mahkamah Rayuan membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada permohonan difailkan mereka tahun lalu dan memutuskan tindakan melarang pelajar menyertai politik bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan.

“Ini satu keputusan yang bersejarah, keputusan tanda aras dalam sejarah... ia melibatkan perjuangan pelajar dan kepentingan publik,” kata beliau sambil menambah pihaknya memutuskan untuk tidak menerima ganjaran kos yang diputuskan oleh mahkamah hari ini.

“Mahkamah ada meminta kami jumlah kos yang ingin dituntut. Tetapi kami memutuskan untuk tidak mengambil ganjaran kos ini sebab kes ini melibatkan kepentingan orang ramai, kami tidak mahu ganjaran. Kami hanya mahu kepentingan orang ramai khususnya pelajar dipelihara,” kata Woon lagi.

Dalam pada itu, Hilman berkata keputusan hakim adalah sejarah kerana kali pertama perjuangan mahasiswa diiktiraf oleh mahkamah.

“Hakim mengulas bahawa generasi muda harus diberi peluang membuat pilihan dan keputusan sendiri dan ini adalah keyakinan saya sekian lama kerana generasi muda harus belajar membuat pilihan dan keputusan sendiri sebelum membuat keputusan untuk negara dan bangsa sebagai pimpinan negara pada masa depan,” katanya.

Tiada ulasan: