Oleh Daing Yahya
Dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kita melihat bagaimana sesuatu dasar itu dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional tanpa kajian yang lengkap dan menyuluruh.
Akhirnya, bukan sahaja ia memakan kos berbilion ringgit yang berupa satu pembaziran besar wang rakyat, pelaksanaan ini juga telah merugikan pembelajaran pelajar-pelajar yang majoritinya anak-anak luar bandar.
Niat kita mahu melihat negara ini maju dengan sumber manusianya berkebolehan mengusai bahasa Inggeris atau bahasa lain, cukup baik sekali. Malah, Pakatan Rakyat sendiri menyokongnya.
Tetapi, dari aspek praktis termasuk bagaimana cara ia dilaksanakan sudah tentu amat berbeza. PPSMI yang dibawakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu lebih merupakan usaha politik daripada niat sebenar meningkatkan kemampuan diri pelajar-pelajar kita.
Perbezaaan dasar UMNO-BN dan Pakatan Rakyat
Yang utama, kepentingan UMNO-BN dan Pakatan Rakyat amat jauh berbeza. Pakatan Rakyat mengutamakan pendidikan rakyat semata-mata kerana perlu menunaikan hak setiap insan untuk mendapat pelajaran yang baik dan bermutu.
Secara objektifnya, dasar PR mahukan rakyat yang berpendidikan ini bukan sekadar lulus perperiksaan dan menguasai bahasa semata-mata, sebaliknya pelajar-pelajar ini kelak akan memahami konsep sebuah negara demokrasi, masyarakat yang bebas dan merdeka, insan yang bertanggungjawab dalam hal kemanusiaan termasuk agama.
Dalam aspek pelaksanaannya pula, PR lebih bersifat terbuka yakni memberi kebebasan kepada Kementerian Pelajaran, Jabatan Pendidikan, universiti/kolej, sekolah termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk berganding bahu melaksanakannya.
Semua ini telah dikemukakan di dalam Buku Jingga yang akan memberi kebebasan akedemik termasuk memansuhkan undang-undang mencengkam pelajar Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU).
Ini menjadi signifikan dalam asas pendidikan negara yang mana setiap pelaksanaan dasar-dasar akan melibatkan suara dan cadangan dari pelajar, institusi dan ibu bapa sendiri.
Kebebasan di sini jelas bermaksud, dasar yang diperkenalkan ini harus juga memberi kelonggaran kepada pihak terbabit untuk turut sama membantu melaksanakannya menerusi sesuatu kaedah yang paling sesuai dan berkesan.
Ia amat berbeza dengan cara pendekatan atau pelaksanaan pihak UMNO-BN yang menganggap diri serba tahu dan ‘memaksa’ menerusi kuasa eksekutif dan undang-undang kepada pihak institusi termasuk PIBG untuk menerima dan melaksanakannya.
Cara pelaksanaan UMNO-BN ini tidak langsung wujud elemen kerjasama dan perkongsian. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa pelaksanaan dasar oleh UMNO-BN ini menimbulkan krisis yang masih berlarutan dalam hal pendidikan kita, dari saat memperkenalkannya hinggalah ketika apa yang dicadangkan sebagai pemansuhannya.
Inilah salah satu perbezaan paling asas antara Pakatan Rakyat dan UMNO-BN.
PAGE dan PPSMI
Berhubung dengan desakan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengenai pemansuhan PPSMI baru-baru ini, ia adalah manifestasi kepada krisis yang berpunca dari kegagalan pelaksanaan PPSMI.
Melihat kepada inti-inti desakan itu, kita dapat melihat bahawa isu utama dalam hal ini bukanlah isu bahasa. Sebaliknya, kumpulan PAGE ini jelas mewakili masyarakat atau ibu bapa yang tinggal di kawasan bandar yang mana cara hidup mereka tentu berbeza dengan cara hidup masyarakat di luar bandar.
Permintaan mereka lebih menekan soal pendekatan pelajaran anak-anak mereka yang bersesuaian dengan rutin dan cara hidup mereka di bandar. Oleh itu, tidak timbul langsung isu untuk kembali dengan dasar PPSMI.
Apatah lagi kumpulan PAGE ini adalah suara yang mewakli keluarga yang hidup di bandar besar di Malaysia, jauh berbeza dengan cara hidup kumpulan majoriti yang duduk di luar bandar, baik Melayu, Cina, India atau Bumiputeara Sarawak dan Sabah.
Bukankah dalam negara demokrasi, suara kumpulan minoriti ini juga punya hak? Mereka berhak untuk bersuara, meminta atau mendesak dan memiliki selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.
Sungguh pun permintaan PAGE untuk menggunakan pengajaran dalam Bahasa Inggeris di sekolah, secara parktikalnya ia bukan isu bahasa sama sekali, ia sekadar penyesuaian kaedah belajar dengan cara hidup mereka.
Oleh yang demikian, kerajaan yang sedang bertakhta harus menimbang kembali hal ini bagi mewujudkan suasana belajar yang kondusif untuk anak-anak golongan ini.
Menguasai bahasa untuk apa?
Kita semua sudah bersetuju bahawa penguasaan bahasa amat penting, tidak kira bahasa apa sekali pun. Bahasa Kebangsaan adalah wajib, bahasa ibunda juga penting sebagai identiti budaya dan kaum dan bahasa Inggeris itu akan menjamin keupayaan kita untuk bersaing.
Namun, penguasaan pada aspek bahasa hanyalah tahap pertama untuk kita mengenal erti demokrasi, keadilan dan kebebasan. Jika kita mahir berbahasa Inggeris atau bahasa apa sekali pun tanpa memahami asas-asas kemanusiaan, apa gunanya?
Pakatan Rakyat akan terus komited memberi hak kebebasan akedemik, dasar dan pelaksanaanya. Ini mungkin melibatkan perbezaan pendapat dan pandangan yang sememangnya fitrah dalam lumrah demokrasi.
Semua ini demi memperkukuh institusi masyakarat dan pendidikan. Inilah pakej yang perlu ada bagi mewujudkan sebuah negara yang maju, merdeka dan berdaulat. Hanya masyarakat yang madani sahaja yang mampu merealisasikannya.
Jika kita mahu perubahan yang sebenar untuk kebaikan keluarga dan anak-anak, perlu difikirkan kembali sama ada era kerajaan yang serba tahu dan enggan mendengar suara rakyat, perlu dikekalkan atau diubah. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan