HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Oktober 2011

PAS sokong protes senyap harga barang naik

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: PAS menyokong penuh saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang.

Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Anuar Tahir (gambar) berkata, pihaknya menyokong sebarang tindakan pekerja sama ada di sektor awam atau swasta bagi menyedarkan pihak yang terlibat mengenai bebanan akibat kenaikan harga barang.

"Lajnah Pekerja PAS menyokong sebarang tindakan pekerja menunjukkan bantahan mereka terhadap kenaikan harga barang khususnya keperluan asas," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, pembekal selalunya akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang yang menyebabkan para penjual turut terpaksa menaikkan harga bagi mendapatkan sedikit keuntungan.

"Biasanya pembekal yang akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang lebih-lebih lagi apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam pada pembentangan bajet 2012 baru-baru ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar protes senyap itu berjaya menyampaikan mesej kepada pihak berwajib khususnya kerajaan agar dapat mengekang kenaikan harga barang yang semakin membebankan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kita harap protes ini berjaya menyedarkan kerajaan agar mengambil langkah yang sesuai untuk mengelakkan kenaikan harga barang terus berlaku. Apatah lagi dalam keadaan kerajaan masih gagal melaksanakan tuntutan gaji minima," katanya.

Mobilisasi ahli untuk Piket

Sementara itu, beliau terus menyeru ahli PAS agar sama-sama menyokong pekerja mengadakan piket serentak di seluruh negara 3 November ini bagi membantah Akta Pekerja (Pindaan) 2000 yang membolehkan kerajaan mengambil pekerja secara kontrak.

Ujarnya, pihaknya bersama biro pekerja PKR dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sedang giat mengadakan sesi pertemuan dengan rakyat di seluruh negara melalui program ceramah.

"Ahad lepas kita ke Tasik, Perak yang merupakan kawasan perindustrian bagi menyampaikan maklumat kepada mereka dan hampir 5,000 rakyat yang hadir mendengar penerangan kita," katanya.

Menurutnya juga, dalam setiap ceramah PAS juga akan diselitkan mengenai akta yang merupakan "perhambaan moden" ini.

"Isu akta ini merupakan isu besar tetapi kerajaan seolah-olah meremehkannya. Dengan wujudnya akta ini, golongan pekerja akan terus menjadi pekerja kontrak kepada majikan dan akan menguntungkan pelabur-pelabur dan syarikat-syarikat korporat," jelasnya.

Justeru katanya, setiap pekerja harus menyatakan bantahan terhadap akta ini dengan megadakan piket selepas waktu kerja.

"Seperti yang kita lakukan sebelum ini, selepas waktu kerja, pekerja akan berdiri sambil memegang "playcard" di hadapan bangunan tempat kerja masing-masing bagi menunjukkan kepada majikan dan kerajaan tuntutan dan bantahan mereka," katanya.

Di Wilayah Persekutuan ia dijangka akan diadakan di Jalan Raja Laut manakala di Selangor akan diadakan di Seksyen 15 Shah Alam dan Teluk Panglima Garang.

Tiada ulasan: