| Salmah Mat Husain | Foto: Rizal, | |
BACHOK: Warga emas yang menjadi mangsa culik dan samun tidak mampu menahan sebak kerana terharu dengan kunjungan dua orang wakil rakyat ke rumahnya untuk bertanya khabar berhubung kejadian 2 April lalu.
Mek Mat Dam, 72, merangkul memeluk anggota exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar, yang hadir bersama Adun Jelawat, Abdul Aziz Kader, untuk menziarahinya. (Gambar kiri)
“Alhamdulillah, syukur pada Allah mak tak apa-apa,” ujarnya sebaik sahaja rombongan Ubaidah yang juga Adun Kijang berkunjung ke rumahnya di Cabang Empat Gunong, dekat sini petang semalam.
Ubaidah yang begitu simpati dengan nasib Mek yang kerugian RM30,000 setelah menjadi mangsa culik dan samun turut menyampaikan hamper dan wang tunai bagi meringankan bebanan warga emas itu.
Mek ketika menceritakan bagaimana perkara itu berlaku memberitahu, sebelum beliau deseret masuk ke dalam sebuah kereta, dia terpaksa bergelut dengan salah seorang penyamun yang memasuki rumahnya sehingga menyebabkan keduanya terjatuh.
Melihat keadaan itu, dua lagi rakan suspek meluru ke arah Mek dan mengusungnya terus ke dalam kereta yang di parkir di jalan berdekatan dengan rumahnya.
“Waktu tu kira-kira pukul 12.00 tengah hari, selepas mak baru pulang dari menjemput cucu, yang belajar di sekolah tadika berdekatan rumah ni.
“Sampai saja di rumah, mak ke dapur dan diberitahu oleh Afiq (cucu) ada orang nak jumpa. Mak terus ke ruang tamu, tapi malangnya salah seorang yang culik mak tu meluru ke arah mak dan mencekik leher,” ujarnya.
Tidak cukup dengan mencekek leher, warga emas malang itu yang diusung masuk ke dalam kereta turut dikasari termasuk di kepala, mencekek leher, manakala seorang lagi mengambil barang kemas berupa rantai, gelang dan cincin.
Mek akhirnya dibuang di Kampung Kuchelong, kira-kira enam kilometer dari rumahnya.
“Seorang penduduk di kampung tu menghubungi rakannya di Gunong untuk memaklumkan tentang kejadian dan akhirnya mak di bawa pulang,” ujarnya.
Akibat kejadian itu, leher, perutnya masih terasa sakit hingga kini, kesan luka juga terdapat di muka.
Ketika kejadian suaminya, Mat Yusof Che Lah, 75, berada di kedai kopi dan mengetahuinya sebaik sahaja cucunya Afiq berlari mendapatkannya untuk memberitahu kejadian yang menimpa isterinya yang kebetulan ada bersama.
Ubaidah berharap Mek bersabar menghadapi ujian itu, sambil mengharapkan rezeki yang lebih baik daripada Allah.
“Kita berharap sesiapa juga berhati-hati, kerana mangsa golongan itu bukan hanya mencari mangsanya pada waktu malam, sebaliknya siang juga.
“Banyak kes yang menimpa warga emas malah ada di antara mereka dibunuh dengan kejam, tetapi kita bersyukur kerana mak kita ni selamat,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan