HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Oktober 2013

Betulkah Mukhriz naik tanpa aura bapa?

Oleh Subky Latif 
 
Betulkah Mukhriz naik tanpa aura bapa?


Datuk Mukhriz menolak bahawa kenaikan meandadaknya dalam politik hingga menjadi Menteri Besar Kedah justeru aura bapanya Tun Dr Mahathir.

Mungkin benar bapanya tidak menggalakkan dia menyertai pollitik semasa bapanya masih dalam kekuasaan, tetapi bagaimana Mokhzani boleh jadi rang kuat Umno Bahagian Merbok semasa ketuanya Tun Daim Zainuddin. Bahkan Mokhzani juga jadi orang kuat Pemuda Umno Malaysia masa itu.

Cuma Mokhzani tidak diberi kerusi. Mungkin juga Mokhzani mengira lebih menguntungkan kiranya aura bapanya untuk membolot berbagai-bagai peluang dalam perniagaan daripada mendapat kedudukan dalam politik.

Dengan aura itu dia sudah jadi orang terkaya di negara ini.

Mukhkriz memang pada peringkat awal tidak dapat menumpang aura bapanya. Dia kalah untuk mendapat tempat dalam Pemuda Umno Bahagian Kuang Pasu.

Bukan sekadar Mukhriz saja yang ditolak oleh warga Umno Kubang Pasu, tetapi masa itu Dr Mahathir sendiri gagal  dalam usahanya untuk menjadi salah seorang perwakilan Umno Bahagian itu untuk ke Perhimpunan Agung Umno. Bahkan untuk mendapatkan Dewan di Jitra pun ditolak oleh pihak berkuasa tempatan semasa kerajaan  BN.

Tetapi sesudah bapanya kembali berpengaruh, pengaruh Osman Arof pun kian pudar, aura politik bapanya itu mulai ada bagi anak bapa itu.

Payah orang percaya dia tidak dapat sedikit aura pun untuk duduk dalam exco Pemuda Umno Malaysia.

Mukhriz boleh dikira tidak banyak masa di Kedah dan dia dibesarkan di luar Kedah. Itu ada antara yang menyebabkan dia kalah peringkat awal untuk dapat kedudukan dalam Pemuda Umno Kubang Pasu.

Bagi orang biasa yang tidak banyak masa dengan Kedah, tidaklah mudah untuk dapat kedudukan dalam politik di negeri itu.

Bukan ganjil bagi anak orang besar Umno untuk dapat kedudukan dalam politik melalui aura bapanya. Najib belum sempat berpoliltik ketika bapanya Perdana Menteri Tun Razak meninggal dunia. Aura bapalah yang menjadikan dia calon bagi menggantikan bapanaya dalam Pillihan Raya Kecil Pekan.

Datuk Seri Hishamuddin juga belum berpolitik semasa bapanya bersara dari Perdana menteri. Pemuda Umno Ledang memberinya laluan. Perdana Menteri Mahathir juga tidak menghalangnya.

Kerana Tun Hussein Onn pernah memberi laluan kepada Abdullah Badawi untuk menjadi Setiauaha Parlimen Wilayah Persekutuan dan dinaikkan setingkat demi setingkat, maka apabila Abdullah dapat kuasa, dia rasa bertanggungjawab untuk membalas yang Hussein Onn pernah beri kepadanya.

Hisham pernah bergocoh dengan Pemuda Umno Ledang peringkat awal dia mendekati Umno. Tetapi aura melupakan semuanya, Hisham menjadi calon walaupun belum banyak pengalaman sebagai aktivis parti.

Jangan ditolak peranan bapanya membantu Mukhriz menjadi calon di Jerlun. Dia bukan aktivis Umno Jerlun. Dia baru ada tempat di Kubang Pasu.

Semua tahu bapanya yang selalu berulang alik ke Langkawi suka anaknya dijadikan calon di Langkawi kalau tidak di Kubang Pasu. Ia diketahui umum.  Pak Lah tidak dapat tempatkan anak Mahathir itu di Langkawi dan di Kubang Pasu, maka dia terpaksa diberi di  Jerlun yang dia tidak dari bahagian itu.

Kerana aura bapanyalah maka orang kuat Umno Jerlun tidak jadi calon Parlimen Jerlun kerana ia diberikan kepada anak Dr Mahathir. Jika Mukhriz sebagai orang luar dari situ bukan anak Dr Mahathir, adakah dia dijadikan calon di Jerlun?

Jangan sombong untuk kata Najib memberi laluan kepadanya untuk jadi Menteri Besar Kedah bukan kerana dia bukan anak Dr Mahatahir. Semua tahu bapanya mahu anaknya memimpin Umno Kedah. Dan sekarang aura itu juga diperlukan untuk merebut kerusi Naib Presiden Umno. Publisiti untuknya menonjol dari calon lain. Najib juga permainkan aura itu supaya Mahathir tidak banyak ganggu pentadbirannya.
Harakahdaily

Tiada ulasan: