TEMERLOH - Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kes kematian remaja pelatih di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah sangat serius.
Justeru, katanya sudah sampai masanya kerajaan menyemak semula kurikulum yang digunakan.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, laporan kematian seramai 23 pelatih di kem PLKN dalam tempoh 10 tahun yang lalu, tidak sepatutnya dipandang ringan kerana tidak mahu negara melahirkan samseng-samseng pada masa depan.
“Kita cadangkan sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan agama Islam dan moral sebagai mata pelajaran wajib lulus kepada pelajar sekolah.
“Apa masalahnya jika diwajibkan pelajaran kelulusan pelajaran agama jika Bahasa Inggeris dan Matematik boleh diwajibkan?
“Sebab kebanyakan pelajar yang bermasalah apabila dibuat kajian, semuanya pelajar yang mempunyai masalah akhlak dan kurang pendidikan agama di rumah,” katanya ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, di Kerdau, dekat sini.
Suhami pelatih PLKN Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah, selepas ditemui rakannya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air kem, minggu lalu.
Difahamkan, Suhaimi telah dipukul oleh rakan-rakan pelatihnya berikutan insiden memotong barisan ketika mendapatkan makanan sebelum itu.
Sementara itu, menurut ibu Suhaimi, Zuraida Zainuddin, 39, allahyarham merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan sepengetahuannya bukannya ‘kaki gaduh’ sebaliknya sangat suka membantu orang lain.
“Kali terakhir saya menemui arwah kira-kira sebulan lalu sebelum pergi melaporkan diri sebagai pelatih PLKN. Bagaimanapun dia selalu menghubungi kami sekeluarga bertanyakan khabar.
“Bagaimanapun, saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan