HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Oktober 2013

DAP: Jika siling Hospital Serdang runtuh kali keempat, Subramaniam letak jawatan

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika melawat siling runtuh di Hospital Serdang tahun lalu.Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika melawat siling runtuh di Hospital Serdang tahun lalu. 



















DAP mencabar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam untuk meletakkan jawatan sekiranya siling di Hospital Serdang runtuh kali keeempat selepas insiden sebelumnya pernah mengakibatkan tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan cedera.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching, berkata keruntuhan siling di Hospital Serdang berlaku sebanyak tiga kali iaitu pada Januari 2011, Ogos 2012 dan September 2013.

“Saya mencabar Subramaniam untuk membuat akujanji seterusnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan jika siling di Hospital Serdang runtuh buat kali keempat.

 "Subramaniam perlu menunjukkan beliau lebih berwibawa daripada bekas Menteri Kesihatan terdahulu, Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan mengambil langkah drastik untuk mengelak insiden yang sama berlaku sekali lagi.

"Jika tidak, pegawai perubatan, pesakit dan keluarga mereka masih tetap menghadapi ancaman keselamatan yang sama pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Kulai itu turut melihat Kementerian Kesihatan tidak mengambil sebarang pengajaran daripada insiden yang berlaku sebelum ini.

"Subramaniam masih menabur janji sama seperti Menteri Kesihatan sebelumnya untuk membuat pemeriksaan yang menyeluruh terhadap struktur siling daripada segi kontraktor, spesifikasi pembinaan dan kerja penyelenggaraan untuk mencari sebab keruntuhan secara terperinci," katanya.

Hospital Serdang mula beroperasi pada Disember 2005 dengan kos pembinaan RM690 juta.

Selepas insiden runtuhan pertama di siling hospital tersebut pada Januari 2011, Liow semasa di sidang Dewan Rakyat memberi jaminan bahawa keruntuhan siling tidak akan berlaku lagi.

Beliau berkata, RM800 ribu akan dibelanjakan untuk mengganti siling seluas 2,500 meter persegi di hospital itu.

Katanya, Kementerian Kerja Raya juga akan menjalankan siasatan terhadap punca berlakunya keruntuhan tersebut serta menjalankan kerja membaik pulih dan pengubahsuaian.

Tiada ulasan: