HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Oktober 2013

ISA dalam PCA strategi Mahathir?




Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB 


AKTA Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 kini sedang dalam proses pindaan di Dewan Rakyat dengan dimasukkan perkara baharu yang memperuntukkan penahanan tanpa bicara.

Meskipun ramai yang tidak senang dengan pindaan tersebut, namun ianya telah dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 26 September dan bacaan kedua pada 30 September.

Dalam bacaan pertama pindaaan PCA oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, akta itu mengukuhkan kedudukan untuk menahan penjenayah tanpa bicara sehingga dua tahun.

Pada kerajaan, ianya sangat relevan khasnya untuk memerangi jenayah, dan kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyebut PCA tidak akan disalahgunakan.

Sementara Najib juga menyebut bahawa PCA juga menetapkan hakim akan memutuskan penahanan dan tidak langsung ada unsur-unsur politik dalam penanahan.

Begitupun, kebanyakan pengamal undang-undang dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat melihat pindaan berkenaan akan menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak memasukkan semakan kehakiman, kecuali melibatkan langkah prosedur.

PCA ketika ini hanya membenarkan tahanan selama 72 hari terhadap individu yang ditahan di bawah akta berkenaan dan akta itu juga mengkehendaki tahanan dibawa ke mahkamah sebelum ditahan selama 72 hari.

Ia digunakan secara efektif sebelum ISA dikuatkuasakan dan melalui pindaan itu, Putrajaya ingin menggunakan akta berkenaan sekali lagi.

PCA bagaimanapun tidak meliputi kawasan Sabah dan Sarawak kerana ia dikuatkuasakan pada 1959 sebelum negeri Borneo menyertai Malaysia, dan pindaan hari ini akan memasukkan peruntukan melibatkan dua negeri berkenaan.

Bagaimanapun, apa yang pasti rang undangundang yang dikemukakan secara jelas memberi isyarat pindaan tersebut bertujuan mengembalikan penahanan tanpa bicara seperti Akta Ordinan Darurat 1969 (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Lihat sahaja kepada perkara 15 A dalam pindaan secara jelas mengenepikan semakan kehakiman selain keperluan prosedur dan ia bermakna tiada tahanan yang boleh mencabar asas penahanan tersebut sama seperti EO dan ISA.

Perkara ini berlaku dalam ISA yang sewenangnya digunakan oleh kerajaan khasnya dalam menyempitkan ruang kepada rakyat, ahli politik untuk berbeza pandangan dengan kerajaan.

Lihat sahaja semasa Reformasi 1998 selepas pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, aktivis reformasi ditahan di bawah ISA dengan tuduhan kononnya mahu menggulingkan kerajaan dengan kekerasan.

Selepas itu dalam tahun 2001 hingga tahun 2004, rakyat secara sengaja dihidangkan dengan tohmahan terdapat kumpulan militan di Malaysia khasnya membabitkan mereka yang berlatar belakangkan pengajian agama Islam.

Timbul tuduhan ke atas beberapa individu kononnya menyertai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz ditahan bersama rakanrakannya yang kesemua mempunyai latar belakang pengajian agama.

Selepas itu, diikuti pula dengan penahanan kumpulan daripada gerakan Jemaah Islamiyah (JI) dan mereka ini cuba dikaitkan pula dengan gerakan politik Islam apatah lagi ketika itu sentimen benci Islam didoktrinkan Amerika Syarikat selepas peristiwa pengeboman WTC dan Pentagon.

Hingga kini masih lagi ada saki-baki tahanan yang masih meringkuk dalam Kem Tahanan Kamunting (Kemta) atas penahanan ISA walaupun akta draconian itu telah dimansuhkan.

Kesemua mereka hanya dituduh terbabit dengan pengganas, sedangkan bukti secara jelas terhadap tuduhan tidak pernah diberikan.

Tidak mustahil, selepas ISA dan EO dimansuhkan, Umno-BN melalui Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba berselindung dengan pindaan Akta PCA ini untuk dipergunakan bagi tujuan yang sama.

Mengapa Umno-BN terlalu kepingin untuk mengembalikan roh ISA dalam pindaan PCA?

Lihat sahaja desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengamal ISA paling tegar. Beliau mengatakan ISA adalah undang-undang paling relevan bagi menangani dan mencegah jenayah berat di negara ini.

Menurut bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu, ISA harus dikembalikan semula dalam usaha mencegah kegiatan jenayah berat di negara ini.

“Kita buang ISA, mereka menggunakan itu untuk melakukan jenayah yang dahsyat.

“Kerana itu, mahu atau tidak, kita perlu kembali kepada cara yang lama,” katanya Kenyataan Mahathir ini bolehlah dianggap sebagai satu kenyataan ‘mengarahkan’ Najib dan seluruh kerajaan menerima semula ‘roh ISA’ dalam pindaan PCA yang sedang dilakukan.

Mungkin Mahathir sudah terlupa bahawa ISA telah digunakan secara ‘semberono’ khasnya semasa Operasi Lalang, dan semasa beliau menjatuhkan Anwar Ibrahim, ISA adalah alat yang paling ‘ampuh’ kepada beliau untuk menutup mulut rakyat dan mengembalikan semula Zahid Hamidi yang menyokong Anwar ketika itu kepada pembodek Mahathir.

Zahid antara mangsa ISA yang hanya bertahan sebentar, apabila dibebaskan beliau menjadi penyokong Mahathir yang paling kuat dan kini duduk di persada politik Umno hasil ‘U-turn’ yang dibuat pada tahun 1998.

Selepas membentang pindaan PCA ini, tidak mustahil Zahid pula mungkin akan menjadi ‘ayam tambatan’ kepada Mahathir untuk bertindak mengikut telunjuk bekas Presiden Umno itu dalam mendepani massa rakyat.

Tiada ulasan: