Calon Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad (gambar) yang berhadapan skandal dan tuduhan membabitkan Felda serta serangan penulis blog Umno mempertahankan langkah pelaburan yang diambil menguntungkan agensi itu dan peneroka, malah yakin akan membuat kejutan dalam pemilihan naib presiden Umno Sabtu ini.
Pengerusi Felda itu turut didakwa membuat laporan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Venture Berhad selain berdepan siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pembelian kompleks apartmen mewah Felda bernilai £98 juta (RM497 juta).
"Biasalah, saya sudah lali dan masak dengan dakwaan dan tuduhan begini.
"Semakin hampir pemilihan Umno, macam-macamlah hendak dibangkitkan," kata Isa menolak tuduhan tersebut ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Pada masa sama, Isa optimis dengan peluangnya untuk memenangi jawatan Naib Presiden Umno walaupun berdepan dengan banyak nama besar.
"Insya Allah, peluang itu ada. Tunggu saja hari pemilihan nanti.
"Setakat ini respon yang saya dapat ke setiap tempat yang saya pergi sangat positif," katanya dan menambah beliau sudah melawat hampir seluruh lokasi peneroka Felda di seluruh negara untuk berkempen.
Harapan Isa untuk menang adalah sokongan padu 54 bahagian Umno yang mempunyai kawasan Felda di samping tapak sokongannya di Negeri Sembilan.
Isa berkata, isu pembelian dan pelaburan hartanah yang dilakukan oleh Felda tidak sewajarnya dipertikaikan kerana bukan hanya agensi itu mengambil langkah tersebut malah syarikat berkaitan kerajaan lain turut membuat pelaburan hartanah di luar negara.
"Mengapa persoalkan apabila Felda membeli hotel tersebut, ia adalah satu pelaburan. GLC lain pun turut beli hartanah di luar negara seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Tabung Haji dan banyak lagi.
"Adakah salah kalau pelaburan tersebut menguntungkan? Dalam perniagaan kita perlu buat pelaburan," katanya dan menolak dakwaan pihak tertentu yang mengkritik langkah pelaburan Felda.
The Malaysian Insider difahamkan wujud rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno berhubung perbelanjaan besar dibayar oleh Felda Investment Corp (FIC) UK Properties untuk Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London yang terkenal dengan rakyat Malaysia menetap di situ.
Difahamkan juga SPRM sedang mengkaji perkara ini untuk melihat sama ada terdapat unsur rasuah dalam perjanjian yang dimuktamadkan 4 September lalu.
Sumber memberitahu, SPRM sedang bekerjasama dengan pihak lain untuk menyiasat perkara ini.
Berhubung skandal dibangkitkan blogger pro Umno,Datuk Ahirudin Attan melalui blognya Rocky Bru mengenai dakwaan Isa membuat laporan palsu kepada Bursa Malaysia, pengerusi Felda itu berkata, ia merupakan satu tuduhan tidak berasas yang dibuat kerana sengaja ingin mencalarkan imejnya.
"Dia punya sukalah. Macam-macam orang boleh kata.
"Saya tidak mahu cakap tentangnya," katanya.
Isa dikatakan menipu dalam isu perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Venture Berhad, Tan Sri Sabri Ahmad kepada Bursa Malaysia.
Ahirudin mendedahkan pelbagai dokumen berkaitan dengan laporan Isa kepada Bursa Malaysia itu menerusi blognya.
Berdasarkan dokumen yang disertakan, Ahirudin berkata, Sabri sebenarnya tidak meletakkan jawatan sebagai Lembaga Pengarah dalam FGVH dan sebuah lagi syarikat, MSM Malaysian Holdings Berhad sebagaimana yang dilaporkan Isa.
Isa bersama dua lagi tokoh Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sedang berusaha untuk mendapatkan tempat dalam barisan naib presiden Umno.
Penyandang jawatan naib presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut bertanding untuk mempertahankan jawatan.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda dua tahun lalu dan FGVH tetap disenaraikan walaupun terdapat bantahan daripada sesetengah peneroka yang takut mereka kehilangan kawalan terhadap tanah mereka.
Felda dan anak syarikatnya FGVH sebelum ini membelanjakan RM86 juta untuk membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu, RM110 juta untuk pembuat kad pintar dan pemaju pertanian kampung Iris Corp dan hartanah di United Kingdom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan