Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempersoalkan tuntutan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (Comango) di dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang membuat aduan terhadap kerajaan Malaysia di Geneva atas nama hak asasi manusia.
Jakim melalui khutbah Jumaat hari ini mengingatkan hadirin pada 24 Oktober, Malaysia akan dinilai dalam UPR di Majlis Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Berdasarkan daripada maklumat yang diterima terdapat beberapa laporan yang dihantar secara berasingan kepada majlis tersebut oleh Comango jelas akan menggugat kedaulatan Islam di negara ini.
"Di antaranya ialah tuntutan hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex, queerperson (LGBTIQ), mempertikaikan peruntukan tertentu dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita Islam, dakwaan diskriminasi terhadap pengikut Syiah, bantahan pengharaman bahan-bahan penerbitan yang menyalahi hukum Syarak dan lain-lain.
“Persoalan yang timbul di sini apakah tujuan gabungan NGO tersebut membuat pelbagai aduan dan tuntutan sedemikian di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva?” soal Jakim melalui khutbah bertajuk Menangani Konsep Kebebasan.
Jakim menegaskan tingkah laku badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia itu bertujuan mengambil kesempatan untuk terus mengelirukan dan menggugat kedudukan istimewa agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, desakan NGO tersebut bertujuan menghalalkan kebebasan hak asasi manusia secara mutlak yang nyata bertentangan dengan prinsip ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat serta undang-undang negara.
“Dalam isu ini, mimbar ingin menyatakan bahawa Hakim Yang Arif Datuk Eusoffe Abdoolcader dalam kes Universiti Merdeka lawan kerajaan Malaysia memutuskan bahawa kedaulatan undang-undang negara mengatasi pengisytiharan antarabangsa.
“Dalam kes lain, mahkamah memutuskan bahawa pengisytiharan hak asasi manusia yang dibuat di PBB bukanlah berbentuk perjanjian dan tidak boleh mengatasi kedaulatan sesebuah negara.
“Umat Islam bertanggungjawab menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap perkara tersebut kerana ianya melibatkan identiti dan maruah umat Islam itu sendiri,” katanya.
Mimbar hari ini turut menyeru seluruh umat Islam bersatu hati menolak segala isu yang menyalahi akidah serta syariat yang secara halus ditiupkan oleh musuh Islam atau umat Islam sendiri yang telah “diperkudakan” oleh musuh Islam.
Katanya, gunakanlah pelbagai saluran media dan gerakan dakwah secara individu mahupun berkumpulan demi untuk mempertahankan agama dan negara.
“Kita yakin bahawa Majlis Hak Asasi Manusia PBB rasional dan tidak akan mudah terpengaruh dengan segala laporan negatif NGO terhadap kerajaan Malaysia yang didakwa mengamalkan diskriminasi kerana segala bentuk keadilan kepada rakyat dalam negara ini telah pun termaktub dalam Perlembagaan.
“Ingatlah dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak, bahkan setiap tindak-tanduk dibimbing oleh prinsip yang telah ditetapkan syarak bersumberkan wahyu daripada Allah.
“Mimbar menggesa pihak berkuasa agar kumpulan bertujuan jahat menjatuhkan imej negara ditangani secara berkesan termasuklah dengan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang mendapatkan pembiayaan pihak luar bagi mencemar nama baik dan kedaulatan negara,” katanya.
Di kesempatan itu juga, khatib memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah atas kemenangan perbicaraan isu kalimah Allah yang berpihak kepada umat Islam.
Katanya, kalimah Allah adalah nama Tuhan khusus bagi orang Islam seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.
“Mimbar mengucapkan berbanyak terima kasih kepada umat Islam diatas segala usaha berterusan mengadakan solat hajat dan bacaan doa.
“Semoga dengan kemenangan ini akan memantapkan keimanan kita kepada Allah,” katanya.
Semalam Comango menafikan dakwaan NGO Muslim mereka akan melobi di Geneva yang boleh mengancam agama Islam dan mempromosikan seks songsang pada 24 Oktober ini.
Gabungan tersebut yang bakal menghantar tujuh wakil ke Majlis Hak Asasi Manusia untuk UPR sebaliknya menegaskan tujuan mereka adalah untuk mempromosikan hak asasi manusia kepada kerajaan Malaysia.
Wakil Comango, Honey Tan Lay Ean berkata tidak ada satu pun dalam laporannya yang mengancam agama Islam atau mempromosikan seks songsang seperti didakwa.
Katanya, kehadiran mereka di Geneva hanya untuk menggalakkan kerajaan Malaysia menerima beberapa cadangan untuk mempromosikan, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia di Malaysia.
Comango dalam laporan yang disediakan mereka antaranya membangkitkan beberapa isu mengenai kebebasan agama, isu perkauman, salah guna kuasa oleh polis, isu imigran dan hak kebebasan bersuara.
Mengenai kritikan terhadap Comango, Tan mempersoalkan kredibiliti kumpulan tersebut kerana tidak pernah mendengar tentang kewujudannya, malah kumpulan itu juga tidak memberikan sebarang input dalam laporan yang akan dihantar ke UPR nanti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan