JPJ
SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan menempatkan anggota berpakaian preman di beberapa lokasi strategik bagi merakam kesalahan pengguna jalan raya terutama ketika waktu puncak setiap hari.
Pengarah JPJ Negeri V.Valluvan Vello berkata operasi khas itu telah pun bermula di laluan Putrajaya ke Salak Tinggi dan Padang Jawa ke Shah Alam.
Beliau berkata operasi khas itu bertujuan membendung kesalahan yang menyebabkan kemalangan dan kematian seperti melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan kenderaan membawa lebih had muatan.
"Orang ramai yang ingin JPJ melakukan operasi penguatkuasaan di kawasan mereka boleh menghubungi pejabat cawangan JPJ berhampiran," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Valluvan Veloo berkata JPJ negeri telah mengeluarkan sebanyak 18,967 saman termasuk 6,165 saman membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas.
Selain kesalahan gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, beliau berkata sebanyak 4,422 saman dikeluarkan kerana kesalahan membawa lebih had muatan dan 2,104 saman kerana tidak memakai topi keledar. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan