HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Oktober 2013

KDN: Tiada senjata hilang ‘jatuh dalam laut’

 
Secara keseluruhan senjata yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan rivolver) yang boleh diletakkan di badan.





KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyenaraikan lima sebab utama kehilangan senjata api anggota polis; kereta dipecah dan senjata api tertinggal dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir ketika menjalan tugas, kehilangan dalam tandas dan hilang dalam pejabat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara keseluruhan senjata yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan rivolver) yang boleh diletakkan di badan.

Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Penyiasat dibawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat kehilangan tersebut dibawah Seksyen 79 Akta Polis 1967.

“Jawatankuasa Penyiasat akan membuat pertanyaan yang menjurus kepda sebab-sebab kehilangan dan syor-syor bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang di masa hadapan.

“Hasil siasatan syor akan dinilai bagi menentukan tindakan yang patut diambil jika terdapat bukti wujudnya kecuaian maka pegawai yang bertanggungjawab akan diambil tindakan surcaj atau tatatertib atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen PKR-Batu Tian Chua yang bertanya tentang prosedur yang perlu diambli polis dalam kes ini dan jumlah senjata api yang hilang sejak lima tahun lalu.

Zahid menambah, bahagian teknologi maklumat (IT) PDRM dalam juga sedang dalam tindakan satu sistem yang mengandungi sub-modul bagi pemantauan dan rekod kes kehilangan aset PDRM yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada November depan.

“Dengan wujudnya sistem tersebut semua kes-kes kehilangan aset PDRM akan diketahui dengan mudah oleh Urus Setia Kehilangan Aset PDRM,” katanya.

Laporan Audit 2012 menyebut bahawa sebanyak 44 senjata api hilang sejak tahun 2010 sehingga 2012, bagaimanapun tujuh daripadanya dijumpai kembali.

Sementara itu, Tian Chua ketika ditemui di lobi berkata pihaknya tetap mempersoalkan lima punca alasan terbabit yang dianggapnya kecuaian sewenang-wenangnya.

“Bagaimanapun jelas tak seperti yang dikata Ketua Polis Negara, tiada satu pun terjatuh dalam laut,perlu langkah yang lebih profesional kawal senjata api,” katanya.

Tiada ulasan: