KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi sesi 2013/2014 kali ini menyaksikan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di dua universiti awam bersekongkol dengan Umno-BN bagi memberi kemenangan kepada kelompok pelajar Aspirasi.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tindakan HEP menyediakan tiga buah bas bagi mengangkut kira-kira 60 calon dan wakil calon Aspirasi menjelang senja 17 Oktober lalu untuk keluar makan malam berjaya dihidu Pro-Mahasiswa kampus tersebut.
Calon umum Pro-Mahasiswa juga dikenal sebagai Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), Sallehudin Khalid, 21, berkata, muslihat HEP sehari sebelum penamaan calon itu bukti HEP tidak jujur dalam memastikan PRK bersih dan telus.
"Gerak kerja kempen GMUKM di kolej kediaman juga berdepan halangan untuk menemui pelajar terutama Tahun 1 kerana sekarang ini kebanyakan pentadbiran kolej melaksanakan program seperti induksi yang dibimbangi tidak lebih indoktrinasi dengan membawa keluar pelajar terbabit.
"Tahun lepas tidak berlaku modus operandi selekeh seperti ini. Memang satu 'transformasi' dalam PRK di UKM selepas GMUKM dua penggal menguasai Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM)," sindir beliau.
Sallehudin yang juga mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina berkata, HEP juga turut mencaturkan taburan sejumlah 27 kerusi yang ditandingi.
"Tahun lepas Aspirasi menang di kebanyakan kerusi calon umum Tahun 1 dan 2 dan sekarang mereka tambah daripada lima kepada enam kerusi.
"Kerusi umum yang disapu bersih GMUKM tahun lalu, kini dikurangkan jumlah kerusinya daripada empat kepada hanya tiga kerusi," ujarnya kepada Harakah, 18 Oktober lalu.
Sebagai contoh, jelasnya, jumlah kerusi calon umum di Fakulti Sains dan Teknologi ditambah menjadi tiga kesemuanya selepas Aspirasi menang di kerusi tersebut Tahun 1 dan 2 pada PRK tahun lalu.
Selain itu, tambah Sallehudin, tindakan HEP yang kelihatan sengaja dirancang memilih tarikh bagi penamaan calon yang jatuh pada ketika majoriti mahasiswa universiti tersebut pulang bercuti di kampung sempena Aidiladha juga dilihat sebagai cara mencalar semangat demokrasi kampus.
"Kempen GMUKM bersemuka dengan pelajar dijangka hanya dapat berjalan baik bermula Isnin ini (21 Oktober) dan esoknya sebelum membuang undi pada 23 haribulan nanti," ujarnya lagi.
Jika Pro-Mahasiswa UKM masih dikira bernasib baik mempunyai tempoh dua hari untuk berkempen, lain pula halnya senario di Universiti Malaya (UM).
Sehingga 18 Oktober lalu, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UM, Prof Dato' Dr Rohana Yusof yang diketahui umum oleh aktivis mahasiswa sebagai mesra BN dan Aspirasi itu masih menyorokkan tarikh PRK.
Penangguhan untuk pentadbiran UM mengumumkan PRK turut terkait dengan proses penggabungan fakulti yang rancak direncana sejak beberapa tahun lalu oleh Naib Canselor, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon yang pernah suatu masa menggemparkan dunia akademik apabila mengaku "gila ranking".
"Kalau sudah namanya sepupu-sepapat Najib Razak memang takut mahu umum tarikh," tempelak Pengerusi Pro-Mahasiswa UM, Abdul Muqit Muhammad terhadap alasan Dr Rohana.
Reaksi emel Dr Rohana apabila ditanya oleh Pro-Mahasiswa tentang tarikh PRK juga menonjolkan pentadbiran universiti itu tidak serius untuk segera melaksanakan pilihan raya.
"Keputusan untuk mengadakan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar akan dilakukan apabila kajian tersebut (penggabungan fakulti) selesai dan mengambil kira kesemua faktor yang akan turut terlibat," seperti dipetik daripada emel bertarikh 17 Oktober itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan