Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini melepaskan dan membebaskan empat anggota polis berpangkat konstabel daripada pertuduhan mencedera dan meletakkan bukti palsu dalam kenderaan seorang orang awam dalam sekatan jalan raya, tiga tahun lalu.
Mohd Azwan Hassan, Norzali Rosle, Ahmad Saifullah Osman, dan Alizulhafiz Abdul Ghaffar yang semuanya bertugas di Balai Polis Kota Damansara itu sebelum ini dituduh meletakkan dadah dan parang dalam keadaan milik Chua Buang Hing.
Mereka turut didakwa mencederakan Chua di Balai Polis Kota Damansara pada 19 Disember 2010 antara jam 12.30 hingga 3 pagi.
Kes kemudiannya dibawa ke mahkamah pada 11 Januari 2011.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan dalam keputusannya, berkata hujah pihak pendakwaan tidak konsisten dengan bukti kes serta bercanggah dengan laporan perubatan.
"Tangkapan dibuat adalah sah kerana kenderaan pengadu tidak mempunyai insurans dan cukai jalan. Pengadu melawan tangkapan, maka polis berhak menjalankan tangkapan.
"Kecederaan dibuat pengadu tidak dapat dibuktikan, dan keterangan doktor sebagai pakar diterima. Mahkamah percaya kecederaan dialami adalah kesan tangkapan.
"Saksi tidak stabil dan kenyataannya meragukan," katanya.
Peguambela kepada empat pegawai polis berkenaan, Ahmad Zaharin Muhaiyar bagaimanapun berkata pendakwa boleh merayu terhadap keputusan mahkamah hari ini.
"Ia belum berakhir, saya percaya ini adalah permulaan," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan