Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 di Kelantan menjadi benteng menghalang penganut agama bukan Islam untuk tidak menggunakan kalimah Allah di negeri itu, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Katanya, pelanggaran terhadap enakmen tersebut adalah sama dengan tindakan seseorang individu di negara ini yang melanggar undang-undang iaitu melakukan kesalahan yang boleh dibawa ke muka pengadilan untuk dihukum secara adil.
“Sekiranya orang bukan Islam masih mahu menggunakan kalimah tersebut, itu adalah hak masing-masing, namun mereka perlu faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang untuk dipatuhi.
"Tetapi kami di Kelantan sudah ada enakmen. Sudah lama enakmen itu melarang mereka di luar Islam daripada menggunakan kalimah Allah dan ini adalah undang-undang yang digunakan di bawah mahkamah sivil," katanya seperti disiarkan akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Ketika ditanya kemungkinan berlaku penentangan oleh orang Islam sekiranya kalimah Allah terus digunakan di luar Islam, Mohamad berkata: “Kalimah Allah adalah eksklusif kepada orang Islam, itulah keputusan muzakarah dan yang ada dalam enakmen negeri Kelantan.”
Sementara itu, Presiden Gereja Malaysia, Dr Eu Hong Seng, berkata gereja Kristian seluruh negara akan tetap menggunakan kalimah Allah dalam acara keagamaan, doa dan bahan pendidikan kerana alasannya keputusan Mahkamah Rayuan hanya tertakluk kepada penyiaran majalah mingguan, Herald.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan pada Isnin sebulat suara menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila KDN membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan