Abu Seman menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang bocor dan memerlukan kerja pembaikan segera.
Dugaan besar yang dihadapi itu menyebabkan Abu Seman Mat Hassan, 62, nekad berhenti kerja sebagai buruh am di Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberi tumpuan sepenuhnya menjaga isteri Norrizan Yahya, 50, dan bapa mentua, Yahya Tahar, 81.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak cukup menanggung dua insan tersayang yang lumpuh, Abu Seman juga perlu menguruskan persekolahan anak tunggalnya, Muhammad Hazim, 11, setiap hari.
Abu Seman berkata, kehidupannya sekeluarga tidak bermasalah ketika isterinya masih boleh bekerja sebagai kakitangan sebuah syarikat latihan memandu di Parit Buntar.
“Namun semua berubah setelah isteri kemalangan motosikal dua tahun lalu dan lumpuh separuh badan selain tangan kirinya tidak berfungsi.
“Sejak itu, saya bukan sahaja perlu berhenti kerja, malah saban hari perlu menguruskan kehidupan isteri, termasuk menukar lampin pakai buangnya,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, sebelum ini dia masih boleh bekerja sambilan dan meraih pendapatan RM300 sebulan untuk menyara keluarga sementara bapa mentuanya membantu menguruskan kehidupan isterinya.
"Namun, sekali lagi hidup kami berubah setelah bapa mentua lumpuh separuh badan awal tahun ini dan saya terpaksa berhenti kerja.
“Kehidupan kami juga ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ memandangkan kami hanya bergantung hidup kepada bantuan bulanan RM200 disalurkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM),” katanya.
Menurutnya, dia langsung tidak rasa terbeban malah menganggap ianya sebahagian tanggungjawab seorang suami, bapa dan menantu.
“Aktiviti menguruskan dan menghantar anak sekolah, membelikan sarapan, membasuh pakaian, memasak dan memandikan isteri serta bapa mentua yang lumpuh sudah menjadi rutin harian saya sejak enam bulan lalu.
“Meskipun tidak lagi menikmati kehidupan seperti orang lain, saya langsung tidak pernah menyesal, malah percaya ada hikmah di sebalik pelbagai ini,” katanya.
Katanya, dalam menguruskan dua insan tersayang yang lumpuh, dia juga bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga berikutan keadaan rumah didiami usang.
“Sebahagian besar bumbung bocor menyebabkan rumah digenangi air setiap kali hujan.
“Selain itu, bahagian atas rumah juga sudah dimakan anai-anai dan keadaannya kini umpama ‘retak menanti belah,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Seman berharap JKM atau Baitulmal mempertimbangkan bantuan bulanan dinaikkan bagi membiayai kos pembelian ubat-ubatan, lampin dewasa, barangan dapur dan perbelanjaan persekolahan anak tunggalnya.
Norrizan berkata, dia terharu dengan kesetiaan Abu Seman bertungkus-lumus menguruskan kehidupan mereka sekeluarga sehingga menyebabkan suaminya berhenti kerja.
“Tidak semua lelaki sanggup melakukan pengorbanan itu dan kadang-kala saya terkilan kerana merasakan diri menjadi beban kepada suami.
“Bagaimanapun, dia bukan sahaja tidak pernah merungut, malah sentiasa cuba menggembirakan hati sekeluarga walaupun kehidupan kami agak terumbang-ambing ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JKM Kerian, Noor Kamaruzzaman Abdul Hamid memberi jaminan akan menghantar segera kakitangan meninjau keadaan keluarga Abu Seman.
“Sekiranya Abu Seman memerlukan tambahan bantuan bulanan, kami akan segera mengesyorkannya untuk mendapatkan jumlah maksimum,” katanya.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak menegaskan usaha menyalurkan bantuan baik pulih bumbung rumah keluarga Abu Seman akan dilakukan dalam masa terdekat.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 08235-41-00003927-2 atas nama Abu Seman Mat Hassan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan