HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2020

Anwar bakal sokong Muhyiddin?

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diramalkan bakal menerima sokongan tidak disangka daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengukuhkan kedudukannya dalam mendepani usul undi penentuan kepercayaan terhadap beliau pada sidang Parlimen, 13 Julai nanti.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sokongan diberikan Anwar itu susulan kekecewaan beliau terhadap tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat berulangkali menafikan hak beliau sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang selain peralihan sokongan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kepada kumpulan Dr Mahathir.

Melalui perubahan sokongan kepada Muhyiddin, Ahmad Atory mendakwa Anwar akhirnya dapat menggagalkan rancangan Dr Mahathir menjadikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri bagi blok pembangkang kelak.

“Sebenarnya jika Dr Mahathir tidak meletakkan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri, Anwar mungkin berpeluang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Muhyiddin susulan ada segelintir ahli Parlimen daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan cenderung menyokong beliau.

“Dr Mahathir menyedari hakikat itu dan terpaksa mencalonkan Mohd Shafie untuk menggagalkan

Anwar walaupun beliau menyedari tindakan itu akan memecahbelahkan blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

“Kini, Anwar dipercayai menjalinkan ikatan kerjasama secara ‘senyap-senyap’ dengan Muhyiddin bagi menggagalkan pula usaha Dr Mahathir mengangkat Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri PH Plus dan situasi ini pastinya memberi kelebihan kepada Muhyiddin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas situasi terkini hala tuju Anwar selepas Presiden PKR itu dilihat seolah-olah disisihkan DAP dan Amanah yang lebih cenderung menyokong Dr Mahathir dalam menentukan calon Perdana Menteri bagi gabungan blok pembangkang ketika ini.

Terkini, Dr Mahathir mencadangkan Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi blok PH Plus, dengan Anwar dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dicalonkan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Cadangan itu dikatakan mendapat sokongan DAP dan Amanah, bagaimana pun kedua-dua parti itu menegaskan perlu membincangkannya di peringkat dalaman dan Majlis Presiden PH terlebih dahulu.

Pertemuan kontroversiAhmad Atory berkata, peralihan sokongan Anwar kepada Muhyiddin turut disebabkan pengaruh Anwar dalam partinya sendiri, PKR dilihat semakin terhakis dengan ramai ahli dan penyokong parti bertindak keluar daripada parti itu dari masa ke masa.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan DAP dan Amanah kini melihat Dr Mahathir lebih berpengaruh dan berkemampuan daripada Anwar dalam usaha mengambil alih semula kerajaan daripada tangan Perikatan Nasional.

“Atas sebab itu, Anwar dilihat sudah mula bermesra dengan Muhyiddin untuk mewujudkan pakatan baharu dengan pertemuan kontroversi beliau bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini seolah-olah mengesahkan perkara itu.

“Bagaimanapun, saya berpandangan Muhyiddin masih memerlukan UMNO, Pas dan kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangkakan diadakan pada bila-bila masa.

“Justeru, sejauh mana hubungan kerjasama antara Muhyiddin dan Anwar dapat dikekalkan selepas persidangan Parlimen akan datang adalah bergantung kepada strategi Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman tidak menolak kemungkinan teori kerjasama Anwar dan Muhyiddin benar-benar akan berlaku susulan kedua-duanya merupakan kawan lama dan mempunyai pengaruh tersendiri dalam parti masing-masing.

Menurutnya, Anwar menerusi partinya, PKR boleh membantu mengukuhkan blok Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin susulan mempunyai bilangan ahli Parlimen antara teramai selain dianggap parti pelbagai kaum.

“Sekiranya kerjasama itu benar-benar berlaku, maka margin Muhyiddin mengekalkan jawatan Perdana Menteri dapat dikekalkan sampai penghujung penggal pentadbiran kerajaan tanpa perlu mengadakan PRU15 secara mengejut.

“Kemungkinan kerjasama itu berlaku ada asas kerana keadaan politik sekarang sangat cair dengan mana-mana parti tidak berpaksikan pada satu-satu ‘tiang seri’ sahaja. Dalam bahasa politik mudah, kebanyakan pemimpin politik bermain banyak ‘kolam’ pada ketika ini,” katanya.

Namun, Abdul Aziz menolak kemungkinan Muhyiddin bakal mengadakan PRU mengejut dalam masa terdekat susulan kedudukan Bersatu pada ketika ini dilihat sangat lemah.

Selain itu, beliau menegaskan kerjasama Perikatan Nasional di antara UMNO, Pas dan Bersatu masih belum dapat dimuktamadkan dengan UMNO dan Pas dirasakan lebih selesa bergerak di bawah panji Muafakat Nasional.

Pengaruh Azmin“

Bagaimanapun, masalah dalaman UMNO yang kini mempunyai empat fraksi terdiri pasukan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohammad Hasan dan Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memberi kelebihan kepada Muhyiddin untuk merundingkan bentuk kerjasama lebih menguntungkan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan bentuk kerjasama di antara Anwar dan Muhyiddin sukar direalisasikan kerana Muhyiddin dilihat masih memerlukan pengaruh Mohamed Azmin untuk mengukuhkan Bersatu.

Menurutnya, Muhyiddin juga harus berasa sangsi dengan tindakan Dr Mahathir yang masih menyenaraikan nama Anwar dalam senarai Kabinet bayangan PH Plus walaupun Presiden PKR itu secara terbuka menolak cadangan beliau.

“Isu perseteruan Anwar dan Mohamed Azmin sangat jelas selama ini, jadi adakah Mohamed Azmin akan bersetuju sekiranya Muhyiddin hendak mengadakan kerjasama politik dengan Anwar selepas ini?

“Satu lagi persoalan, adakah UMNO dan Pas bersetuju untuk terus kekal dalam Perikatan Nasional sekiranya Anwar dijemput menyertai pakatan itu?

“Bagi saya, ini adalah antara bentuk persoalan rumit yang mungkin menyaksikan kerjasama Anwar dan Muhyiddin gagal direalisasikan,” katanya.

Hina Jata Negara tindakan biadab, haram penjualan buku – Pas

Manzaidi Mohd Amin
Kamarulzaman Mohamad
Kamarulzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan dan pengeluaran buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance And Hope In New Malaysia’, yang menghina jata negara.

Pas juga mahu buku yang disunting Kean Wong dan diterbitkan syarikat penerbitan Ilham Books itu digantung dari penjualannya di pasaran.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, lambang jata negara itu telah diubahsuai dengan cara memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji, hina dan direndahkan martabatnya.

“Perbuatan sedemikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, penerbitan buku itu juga dilihat mempunyai unsur provokatif, mempertikai, menyanggah, cubaan menghasut dan menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Ia juga dilihat, katanya, mengandungi unsur melampau yang mesti dicegah oleh pihak berkuasa.

Kata Kamaruzaman, pemeliharaan jata negara dari sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

“Seharusnya, rakyat Malaysia bersama menghormati dan memelihara penghormatan serta kedaulatan negara, sementelahan, tarikh sambutan kemerdekaan yang semakin hampir, di samping tahun 2020 merupakan ulangtahun ke-50 Rukun Negara.

“Sehubungan itu, Pas mahu polis menyiasat individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku itu menghina lambang kedaulatan negara,” katanya.

MGF01022020_Sidang-Media-Dewan-Pemuda-PAS-Malaysia_11-1024x683
Ir. Khairil Nizam Khirudin

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin melahirkan rasa kecewa dengan penularan gambar depan buku itu.

Beliau yakin buku berkenaan tidak melalui prosedur kelulusan daripada KDN dan perkara itu sepatutnya perlu dihindar atas faktor kepentingan serta keselamatan negara.

Jelas beliau, buku seperti itu membawa kepada tercalarnya imej negara dengan penghinaan ke atas jata negara yang menjadi lambang kemegahan Malaysia.

“Ianya menjadi faktor buku indie yang berkualiti dan mampu membina pemikiran yang matang, menerima persepsi buruk serta terjejas akibat daripada penghinaan dibuat oleh penerbitan buku ini.

“Pemuda Pas mengarahkan seluruh sayap Pemuda negeri dan kawasan turun membuat laporan polis dan membawa kepada pengharaman buku ini daripada sampai ke tangan rakyat.

“Kita tidak mahu buku ini terus menyebarkan fikrah songsang serta mengancam perpaduan dan keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Rakyat tidak terima permohonan maaf penerbit hina Jata Negara

Manzaidi Mohd Amin
MGF11072019_PUTRA-LAPORAN-POLIS-HIMPUNAN-PEMBEBASAN-WANJI19-681x454
Ketua Wirawati Parti Putra, Dr Asmah Razalli.

KUALA LUMPUR – Walaupun penerbit buku kontroversi telah memohon maaf, Wirawati Putra Malaysia tetap mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang lebih tegas kerana perbuatan menghina Jata Negara tidak boleh diterima rakyat.

Ketuanya, Dr. Asmah Razalli menegaskan, maruah dan kedaulatan negara tidak sesekali boleh dijadikan bahan jenaka oleh pihak tidak bertanggungjawab yang tiada sifat taat setia kepada negara sendiri.

Beliau bagaimanapun, memuji tindakan pantas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis menyiasat isu Jata Negara diubahsuai serta disalahguna oleh sebuah syarikat penerbitan.

Katanya, tindakan undang-undang dan hukuman berat perlu dikenakan ke atas mereka yang terang terangan menghina Jata Negara dengan alasan tidak tahu atau dijadikan bahan jenaka.

“Hukuman berat dan tindakan undang-undang ini wajar sebagai peringatan kepada mana-mana warga negara mahupun pemimpin politik supaya tidak sekali-kali berani memperlekehkan kehormatan serta maruah negara.

“Setiap lambang dalam Jata Negara mempunyai maksud representasi sistem Raja Berperlembagaan dan Negeri-Negeri di Malaysia. Ianya bukan untuk dijadikan bahan gurauan murah oleh pengkhianat,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Hari ini, media melaporkan, pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin memohon maaf berhubung pengubahsuaian Jata Negara pada penghias muka depan buku, “Rebirth: Reformasi, Resistance, Anda Hope In New Malaysia” itu.

Ulasnya, mereka memang tidak sengaja mahu menghina atau menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

Menurut Dr. Asmah, alasan itu sangat dangkal dan tidak boleh diterima sama sekali kerana ia menyebarkan fahaman tidak baik serta cubaan menghasut rakyat.

Kata beliau, sudah sampai masanya Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri dipertimbangkan semula supaya tiada lagi warga negara berani membuat jenaka terhadap kedaulatan negara.

hasnita-273x300
Ros Hanita Mohd Basir

Sementara itu, Naib Ketua Wiranita Putra, Ros Hanita Mohd Basir melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan sikap segelintir individu cuba meminda lambang Jata Negara.

Ujar beliau, KDN mesti mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit, walaupun telah memohon maaf.

“Perbuatan itu telah menghina lambang rasmi kedaulatan Malaysia dan negara khususnya serta Akta Hasutan boleh dikenakan kerana sengaja menimbulkan ketegangan kaum dengan meniup api kemarahan antara kaum.

“Mereka tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan wajar mengharamkan serta merampas segera buku itu yang kini sudah berada di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette

Lelaki pukul dan tumbuk ayah kerana kain buruk

Bernama
gari-681x454
Dalam kejadian pukul 7 malam di rumah mereka, lelaki berusia 37 tahun itu
bertanyakan kepada bapanya berusia 73 tahun mengenai kain buruk miliknya,
namun warga emas tersebut memaklumkan tidak tahu.

KEPALA BATAS – Hanya kerana kain buruk, seorang lelaki bukan sahaja tergamak memukul dan menumbuk bapanya, malah turut memaki hamun warga emas itu berikutan marah kerana tidak dapat mencari kain buruk yang dia mahu, dalam kejadian di Pengkalan Bongor, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pukul 7 malam di rumah mereka, lelaki berusia 37 tahun itu bertanyakan kepada bapanya berusia 73 tahun mengenai kain buruk miliknya, namun warga emas tersebut memaklumkan tidak tahu.

“Lelaki itu terus marah dan memaki hamun ayahnya, malah menuduh semua orang dalam rumah mereka menyembunyikan kain buruk berkenaan, sebelum bertindak agresif dengan memukul serta menumbuk ayahnya hingga warga emas itu hampir jatuh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya lelaki itu juga mengugut bahawa dia akan memukul ayahnya itu, sekiranya mangsa membuat laporan polis sebelum keluar meninggalkan rumah dan semasa kejadian isteri mangsa yang juga ibu kepada suspek, turut berada di rumah itu.

Beliau berkata pasangan warga emas berkenaan kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mereka dan polis telah menahan suspek, sebaik dia pulang ke rumahnya malam tadi iaitu beberapa jam selepas kejadian tersebut.

“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati beliau positif dadah.

“Lelaki yang tidak bekerja itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama,” katanya.— BERNAMA

Muafakat Nasional sedia bincang jika Bersatu mahu sertai UMNO, Pas

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF30062020_ANNUAR-LAWAT-PASAR-KL05-681x454
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diiringi Datuk Bandar Kuala
Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (kanan) melihat salah satu lesen
perniagaan yang ditampal sewaktu meninjau keadaan semasa di Pasar Borong
Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Gabungan parti dalam Muafakat Nasional sedia untuk mengadakan perbincangan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menyertai gagasan kerjasama UMNO dan PAS.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana parti itu telah terbukti berjaya menjalinkan kerjasama yang baik dengan Pas untuk membentuk Muafakat Nasional.

“Kita ada pengalaman bagaimana hendak jalin kerjasama dengan parti politik yang dulunya sangat berbeza dengan UMNO, seperti Pas.

“Selama bertahun-tahun kita berbeza pendirian dan jurang perbezaan itu bukan sedikit, akhirnya kita berjaya membentuk kerjasama yang baik.

“Oleh sebab itu, pengalaman yang ada harus dimanfaatkan sebaik-baiknya sekarang. Tiada masalah untuk Muafakat Nasional hendak bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Difahamkan, Bersatu akan menghantar wakil untuk bermesyuarat bersama Sekretariat Muafakat Nasional hari ini.

Namun, mesyuarat itu terpaksa ditangguhkan ke minggu depan kerana beberapa wakil dari PAS tidak dapat hadir, kata Annuar.

Ditanya berkenaan reaksi UMNO sekiranya Bersatu menyertai Muafakat Nasional, Annuar berkata, isu tersebut telahpun dibincangkan dalam parti.

Ujarnya, apa sahaja yang membabitkan parti perlu dibincang bagi mendapatkan kata putus. – MalaysiaGazette

Sokong Merudum, Orang Melayu Tidak lagi Bersama Mahathir – Penganalisa Politik

Sokongan merudum terhadap Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja berlaku dalam Bersatu tetapi juga dalam kalangan pengundi Melayu yang sebelum PRU14 menyokong beliau, kata penganalisis politik.

Menurut Prof Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sokongan terhadap bekas perdana menteri itu menurun sejak beliau mentadbir kerajaan Pakatan Harapan lagi, atas faktor prestasi menteri di bawahnya.

“Apabila beliau letak jawatan perdana menteri, populariti Dr Mahathir semakin merundum dan ditambah persengketaan terbuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya melihat pengaruh Mahathir terhadap pengundi Melayu bukan sahaja di luar bandar tapi di bandar juga berada dalam tahap yang agak minimum,” katanya kepada Malaysiakini.

Prof Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut sependapat dengan Azmi, berkata kaum Melayu memandang tinggi terhadap Mahathir sebelum ini, sehinggalah beliau menyatakan hasratnya untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

‘Bila PKR tolak, politik Dr M sampai ke penghujung’

“Tahap populariti Tun M semakin berkurangan berbanding sebelum ini. Tak sepatutnya beliau menggunakan sentimen Melayu-Cina bagi meraihkan popularitinya kembali,” katanya yang merujuk kepada temubual Mahathir dengan Asian Times.

Dalam temubual tersebut, Mahathir menjelaskan tentang jurang kekayaan antara dua kaum itu di Malaysia dan mendakwa masyarakat Cina telah menjadi sangat kaya dan boleh dikatakan “memiliki semua bandar di Malaysia.”

“Sebelum ini orang Melayu hormat beliau tetapi bila beliau masih bercita-cita mahu jadi perdana menteri untuk kali ketiga macam ada ‘something wrong’ (ada yang tak kena) dengan tindakan beliau.

“Politik Mahathir dah sampai penghujung bila mana Anwar dan PKR menolak pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri kali ketiga.

“Mungkin Mahathir ada agenda lain tak mahu Anwar jadi perdana menteri. Langkah Anwar adalah langkah tepat untuk tidak menerima Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi,” kata Rusdi.

Kurang sokongan lepas dipecat Bersatu

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari UUM pula merasakan sokongan utama Mahathir yang sebelum ini datang dari Melayu luar bandar semakin berkurangan setelah beliau dipecat dari Bersatu.

“Mahathir sekarang tiada platform politik selepas terkeluar dari Bersatu. Mahathir belum secara rasmi adalah sebahagian daripada PH. Mahathir perlukan platform politik,” jelasnya.

Bagaimanapun, Azizuddin berkata sokongan kepada Anwar yang terdiri daripada golongan Melayu Islamik bandar yang progresif, Melayu profesional serta belia bawah 40 tahun telah terjejas.

“Ini dengan meningkatnya sokongan orang Melayu kepada Umno dan PAS setelah sentimen kemelayuan yang dimainkan kedua-dua parti,” katanya.

Bagaimanapun, Rusdi dan Azmi melihat populariti Anwar di kalangan Melayu tidak banyak perbezaan sejak beliau menubuhkan PKR pada tahun 1998.

Gambar fail.

Azmi berkata presiden PKR itu kemungkinan berdepan dengan kekurangan sokongan pengundi Melayu kini, tetapi tidak begitu ketara berbanding Mahathir.

Ini kerana menurutnya, kekuatan politik Anwar tidak banyak bergantung kepada sokongan pengundi Melayu sejak dari era reformasi sehingga kini.

“Tapi politik Malaysia bukan hanya berkisar dengan pengundi Melayu dan senario sebegini memberi kelebihan politik kepada Anwar.

“Senario Anwar tidak banyak bergantung kepada pengundi Melayu beri kelebihan kerana ketika ini pengundi Melayu lebih selesa dengan Muafakat Nasional (MN).

“Jadi PH untuk tarik pengundi Melayu akan terkekang tetapi Anwar mampu tarik minat bukan Melayu dan ini kelebihan Anwar berbanding Dr Mahathir,” katanya.

Anwar kerjasama PM Muhyiddin

Beliau turut menjelaskan bahawa penerimaan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) jauh lebih baik berbanding PH, tetapi mengingatkan bahawa kekuatan PN banyak disumbang oleh MN.

Rusdi pula berpendapat, meskipun populariti Anwar di kalangan orang Melayu masih seperti dahulu, namun beliau berkata ahli parlimen Port Dickson itu mampu meningkatkannya melalui kerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Populariti Anwar di kalangan orang Melayu masih macam dahulu cuma beliau perlu mengawal orang sekeliling beliau (supaya) jangan melampau sangat.

“Mungkin sokongan ini akan bertambah bila beliau bersama Muhyiddin dalam menangani isu Covid-19 dan ekonomi negara tanpa perlu memikirkan sangat tentang agenda Mahathir untuk merampas kembali kerajaan dari PN dan abaikan terus Mahathir kerana beliau dilihat tidak ikhlas dengan Anwar,” katanya. MK

Media Prima tamat perkhidmatan 300 pekerja


Media Prima berkata, kumpulan dan wakil 5 kesatuan sekerja mencapai persetujuan
berkenaan pelaksanaan fasa transformasi perniagaan kumpulan seperti yang
diumumkan pada 4 Jun lepas. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu utama Malaysia, mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada kira-kira 300 orang pekerja, dengan tarikh akhir pekerjaan pada 31 Julai ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Media Prima memaklumkan kumpulan dan wakil daripada 5 kesatuan sekerja mencapai persetujuan dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan seperti yang diumumkan pada 4 Jun lepas.

“Perbincangan tersebut bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

“Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisme pampasan yang adil serta saksama kepada kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Media Prima mengumumkan akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya berikutan perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik Covid-19.

“Faktor ini memaksa kumpulan untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya. Ia merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.

“Inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul dari pertindihan kerja.

“Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan Kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.

Azmin jamin layanan adil kepada semua negeri untuk pulih ekonomi

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan
Pembangunan Negeri Selangor hari ini (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan persekutuan memberi jaminan akan berlaku adil terhadap semua negeri walaupun berada di bawah pimpinan pembangkang sebagai usaha menjana semula ekonomi negara susulan impak penularan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, tidak timbul perbezaan ideologi politik dalam isu pembangunan ekonomi kerana ia merupakan tanggungjawab bersama, terutamanya ketika pasca Covid-19.

“Kita ketepikan politik, ini adalah masanya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berganding bahu menangani cabaran yang dihadapi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Covid-19.

“Sangat penting bagi kita, kerajaan persekutuan dan negeri untuk saling bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor di sini, hari ini. yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mengenai mesyuarat tersebut, Azmin yang juga merupakan pengerusi MTPNg Selangor berkata, ia bersetuju supaya beberapa projek infrastruktur yang diluluskan sebelum ini disegerakan pelaksanaannya.

Beliau berkata, langkah berkenaan dilihat perlu dilakukan kerana projek infrastruktur tersebut mempunyai kesan gandaan terhadap penjanaan ekonomi negeri dan juga negara.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut juga menumpukan kepada keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital di Selangor.

“Hari ini, Telekom Malaysia Berhad membentangkan kertas kerja mengenai usaha kerajaan Selangor meningkatkan infrastruktur jalinan fiber optik di negeri ini dan kita akan memberikan sokongan terhadap langkah tersebut,” katanya.

Presiden UMNO sekarang, bukan Presiden UMNO yang dulu

SUATU ketika lagu Aku yang dulu, bukan yang sekarang… nyanyian Tegar, iaitu pelantun dari negara tetangga pernah menjadi siulan peminat di negara ini.

Lagu berkenaan mengisahkan bagaimana kehidupan sebenar Tegar berubah 100 peratus apabila bergelar artis popular.

Daripada seorang penyanyi jalanan yang pendapatannya hanya beberapa sen sehari iaitu hasil ihsan orang ramai, kini mampu hidup senang.

Bagaimanapun bagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, situasinya sebaliknya pula. Jika sejak sekian lama beliau mempunyai ramai teman, tetapi kini ramai yang menjauhkan diri.

Tidak cukup itu suara-suara sumbang turut kedengaran supaya beliau bercuti atau melepaskan jawatan presiden kepada mereka yang lebih berkemampuan serta mempunyai sokongan serta dokongan majoriti ahli UMNO.

Mengapa terlalu gelojoh? Hanya beberapa bulan sahaja lagi UMNO akan mengadakan perhimpunan agung dan pemilihan.

Ketika itu Ahmad Zahid pastinya tidak akan menghalang sesiapa sahaja yang akan menentang beliau bagi merebut jawatan tertinggi parti tersebut.

Pada ketika ini bergeraklah di dalam satu saf dan pada masa yang sama terus perkukuhkan kerjasama UMNO dengan komponen Barisan Nasional (BN) dan Pas di dalam Muafakat Nasional serta menjalinkan hubungan yang lebih jitu dengan Bersatu, GPS serta serpihan PKR yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO sekarang memang tidak berduit. Bukan sahaja akaun parti yang dibekukan, bahkan akaun peribadi beliau juga menjadi sasaran.

Elaun beliau sebagai ahli parlimen sendiri tidak dapat dipakai kerana dimasukkan ke dalam akaun yang dibekukan akibat pertuduhan yang dihadapi di mahkamah.

Oleh itu ramai yang menganggap pertuduhan tersebut yang membabitkan perbelanjaan peribadi Ahmad Zahid dan pengurusan kewangan Yayasan Akal Budi yang juga milik beliau adalah lebih kepada berunsurkan politik.

Wang yang biasanya disalurkan kepada kegiatan dakwah dan kebajikan itu, kini turut terhenti kerana juga berdepan dengan tindakan pembekuan.

Ahmad Zahid bukan sahaja kehilangan kawan, bahkan mereka yang pernah dibantu juga menjadi saksi pihak tertuduh.

Ketika beliau berada di dalam kadang tertuduh kerana berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, rakan-rakan yang tampil memberi semangat boleh dikira dengan jari sahaja.

Sehingga ada yang bertanya apa sudah jadi dengan UMNO? Presiden mereka sedang berdepan dengan dugaan dan cabaran, mengapa mereka tidak hadir memberi semangat?

Begitulah realiti kehidupan. Ramai juga yang mula bercakap bahawa Ahmad Zahid tidak berbuat apa-apa selaku presiden.

Realitinya selaku presiden beliau kini lebih tenang dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada parti kerana tidak dibebani dengan tugas mentadbir negara berbanding ketika menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.

Secara senyap Ahmad Zahid telah menggerakkan Muafakat Nasional yang membuahkan hasil di dalam beberapa pilihan raya kecil mencapai kemenangan dan merupakan punca kebangkitan UMNO yang jatuh tersungkur setelah tewas pada pilihan raya lalu.

Kejayaan demi kejayaan ini mula menutup mulut pengkritik dan ramai yang semakin memahami dah menghormati kaedah kerja Ahmad Zahid.

Presiden UMNO sekarang bukan sebagaimana yang dahulu. Cabarannya sangat besar memerlukan jiwa yang kental serta semangat yang jitu.

Kuasa yang ada juga tidak sejati. Ia perlu ditatang dan dijaga ibarat telur dihujung tanduk. Silap percaturan ia jatuh terhempas dan berkecai.

Ahmad Zahid tidak pernah mundur, beliau terus bekerja demi memastikan parti dan anak bangsa terus terbela dan apabila tiba masa yang sesuai beliau pasti mengundurkan diri, ibarat buah yang masak tidak perlu dijolok ia akan gugur.

Masaknya juga sempurna harum dan manisnya dapat dinikmati semua.SM

Sandiwara politik Bersatu guna PH, PN korbankan DAP – Nur Jazlan

DATUK Nur Jazlan Mohamed hari ini melontarkan satu persoalan sama ada pemecatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dari Parti BERSATU merupakan suatu sandiwara untuk mencetuskan pilihan raya umum (PRU) ke-15 demi kepentingan peribadi bekas Perdana Menteri ketujuh itu dan presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menarik perhatian hal itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, dengan itu akhirnya BERSATU akan kekal berkuasa tanpa mengira siapa yang menang.

Beliau mendakwa, perkara itu tidak mengejutkan kerana hakikatnya, Perikatan Nasional (PH) yang dipimpin Muhyiddin dan Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr. Mahathir sekarang adalah pengasas BERSATU.

Apatah lagi, katanya, perkembangan politik pecah belah menuju ke sidang Parlimen 13 Julai ini menampakkan kesempitan jalan kehadapan untuk BERSATU.

“Tan Sri Muhyidddin yang amat bergantung kepada `personaliti tikam belakang bekas UMNO’ cuba mengelakkan PRU yang bakal menghancurkan mereka.

“Setelah gagal untuk memecahbelahkan sekutu PN, BERSATU pimpinan beliau sekarang ini nampaknya berjaya memecahbelahkan PH dengan menggunakan Dr. Mahathir untuk memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saki baki PKR meninggalkan PH.

“Tindakan parti yang menyalahgunakan nama BERSATU sebagai perjuangan politik mereka inintelah menyebabkan keresahan pemimpin DAP yang sedar penipuan mereka untuk memecahbelahkan orang Melayu di PRU-14 telah gagal dan bakal mengorbankan mereka dan sekutunya Parti Amanah.

“Pemimpin DAP teratas yang senyap sunyi sekarang tahu bahawa DAP akan dipinggirkan semula untuk kembali menjadi pembangkang tunggal seperti tahun 80-an dulu sekiranya Muhyiddin berjaya menarik sokongan Anwar,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.

Nur Jazlan berkata, Dr. Mahathir kini seolah-olah telah mengambil alih PH dengan kenyataan solo seperti mengumumkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai calon PM ke-9 manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri PH II untuk PRU-15.

“Tindakan DAP menyokong Dr. Mahathir sebagai ketua PH yang tidak berparti ini menyebabkan orang Cina meluat dan menolak DAP yang cakap tak serupa bikin selepas menikmati kuasa selepas PRU-14,” katanya.

Nur Jazlan berkata, suasana politik sekarang terlalu cacamarba yang memerlukan PRU untuk mencari penyelesaian.

“Sayangnya, hanya UMNO yang berani menuntut mandat dipulang kepada rakyat.

“Persoalannya, adakah parti pelengkap seperti BERSATU akan memimpin negara ini selepas PRU-15?,” katanya.

Dalam hal ini, kata beliau, pengundi terpaksa memilih antara Perikatan Nasional (PN) atau PH pada PRU-15 jika kedua-duanya masih kekal pada waktu itu.-SM

Hina Jata Negara: Suatu tindakan biadab

KAMARUZAMAN MOHAMAD

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera mengantung penjualan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong yang jelas menghina negara.

Secara khusus, Jata Negara telah diubah dengan cara yang memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji dan hina serta direndahkan martabatnya. Perbuatan sedemikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius.

Bahkan penerbitan buku ini dilihat berunsur provokatif, mempertikai, menyanggah dan cubaan menghasut serta menimbulkan ketidaktenteraman awam. Ia juga dilihat mengandungi  unsur-unsur melampau yang mesti dicegah pihak berkuasa.

Pemeliharaan Jata Negara daripada sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profession.

Seharusnya, seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghormati dan memelihara penghormatan dan kedaulatan negara, sementelahan, tarikh sambutan kemerdekaan yang semakin hampir, di samping tahun 2020 merupakan ulangtahun ke-50 Rukun Negara.

PAS mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu-individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku menghina lambang kedaulatan negara.

“Islam Memimpin Perpaduan”

* KAMARUZAMAN MOHAMAD -Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
 – HARAKAHDAILY

PAN lebih berbahaya berbanding COVID-19

JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN

PAN Kelantan dilihat cukup terdesak mencari isu dan suaka baharu dalam kemelut politik tanah air.

Terkini Ketua Pemudanya begitu terdesak menggunakan saluran ‘Youtube’ sebagai satu platform baru dalam mencari sokongan rakyat Kelantan. Setelah peranan PAN gagal mempamerkan peranannya di peringkat nasional. Kini mula menjadikan negeri sebagai tempat bangkit kembali setelah aura ‘Tai Chi’ kembali tular.

PAN merubah strategi baru dengan menggunakan isu-isu sensitif bagi memberi imej buruk kepada kerajaan negeri dalam menangani kemelut rakyat pasca COVID-19. Usaha dan ikhtiar serius serta langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) dalam membendung penularan wabak diperlekehkan dan menjadikan Exco tertentu sebagai sasaran kecaman.

Sedang rakyat dan kerajaan mula ingin merasai nafas baharu selepas dibelenggu kuarantin yang meresahkan semua pihak, PAN kini mula sebarkan virus baharu yang lebih dahsyat yang boleh mematikan akal masyarakat.

Adakah Ketua Pemuda (KP) PAN Kelantan sedar, sebarang keputusan ataupun ‘Standard Operation Prosuder’ (SOP) yang ditetapkan kerajaan adalah keputusan bersama jawatankuasa JKKN yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan dianggotai oleh 23 panel khas yang merangkumi semua sektor penting di kalangan tokoh yang berwibawa. Segala maklumat dan data dipersembahkan dengan begitu cermat demi kepentingan dan keselamatan rakyat dalam menghadapi wabak yang luar biasa ini.

Jika SOP JKKN ingin dipertikaikan oleh Ketua Pemuda PAN, seeloknya SOP atau pekeliling di awal PKP yang ditetapkan kerajaan juga perlu dipertikaikan. Perlu ada bual-bicara rakyat yang membantah Kerajaan menghadkan aktiviti sehingga jam 7 malam, masjid-masjid yang dihadkan para jemaahnya, stesen-stesen minyak yang dihadkan tempoh operasinya dan lain-lain.

Di mana KP PAN pada waktu tersebut? Untungnya sekarang hasil usaha JKKN dan MKN akhirnya rakyat merasai kelonggaran dan membolehkan KP PAN Kelantan bebas ke sana ke sini untuk terjah rakyat.

Hasil ketegasan yang dilaksanakan oleh JKKN Kelantan dan panduan MKN dalam merangka SOP khusus bagi negeri Kelantan. Akhirnya Kelantan berjaya mengembalikan negeri kepada Zon Hijau setelah beberapa ketika bergelut dalam Zon Kuning dan Merah. Segala keputusan dan tindakan adalah untuk manfaat bersama semua pihak dalam menghadapi saat ‘Norma Baharu’.

Saranan kepada KP PAN eloklah buat terjah bicara yang mampu memberi manfaat kepada rakyat serta memberi solusi kepada rakyat dalam menghadapi saat getir dalam Norma Baharu, bukannya menjadi pihak yang mengadu domba atau ‘menahan lukah diperbentingan’.

Merangka SOP untuk maslahat rakyat tidak semudah mempromosi ‘sumbu’ untuk penjimatan petrol.

*JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN- Jabatan Penerangan DPPNK – HARAKAHDAILY

Mesyuarat pertama PN mampu capai konsensus - Penganalisis

Mesyuarat pertama PN mampu capai konsensus - Penganalisis
Konsep bertolak ansur dan timbang tara antara parti politik turut menjadikan pakatan itu cukup kuat dan mampu mengekalkan kedudukan sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan kelak. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Menjelang mesyuarat pertama Perikatan Nasional (PN) esok, semua parti politik dalam dalam pakatan itu dilihat mampu mencapai konsensus berhubung sebarang isu yang diketengahkan tanpa mengetepikan mana-mana pihak.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, perkara itu dilihat berdasarkan keseimbangan, keunikan dan keistimewaan yang ada dalam PN.

Mesyuarat esok melibatkan semua parti politik dalam PN terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan Bebas dan diadakan bagi membincangkan beberapa isu tertentu khususnya melibatkan pakatan itu.

Beliau berkata, konsep bertolak ansur dan timbang tara antara parti politik turut menjadikan pakatan itu cukup kuat dan mampu mengekalkan kedudukan sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan kelak.

"Saya melihat ketiga-tiga parti dalam PN mempunyai pertimbangan politik masing-masing dan sikap saling bergantung antara Ahli Parlimen menguatkan lagi kedudukan mereka.

"Ini berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang melihat ada unsur desakan dan tekanan antara parti dalam pakatan itu sehingga menyebabkan keruntuhan dalam PH.

"Sebagai contoh seperti yang didakwa wujud tekanan daripada DAP terhadap parti lain sehingga menyebabkan ada sebilangan Ahli Parlimen dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merasakan kerajaan dikuasai oleh DAP," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah UMNO akan menjadi parti paling dominan memandangkan parti itu mempunyai Ahli Parlimen paling ramai,  Mohammad Tawfik berkata, setiap parti mempunyai kelebihan tersendiri.

"Saya tidak nampak UMNO akan menjadi dominan dalam PN sebab mereka mempunyai hala tuju dan keperluan masing-masing dalam membentuk kerajaan.

"Ini kerana, tanpa parti lain seperti Pas, Bersatu dan kelompok Mohamed Azmin Ali, mereka tidak boleh membentuk Kerjaaan Persekutuan hari ini," jelasnya lagi.

Haniza sifatkan tindakan PKR lucut keahliannya "seperti balas dendam"

Haniza sifatkan tindakan PKR lucut keahliannya "seperti balas dendam"
Haniza yang sebelum ini merupakan Ketua Wanita PKR berkata, PKR kini dilihat membalas dendam dengan memecat dan "memburu" ahli parti yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. - Gambar fail

SHAH ALAM: Haniza Mohamad Talha, yang dilucut keahliannya daripada PKR pada mesyuarat parti itu semalam, menyifatkan tindakan itu "seperti balas dendam".

Haniza yang sebelum ini merupakan Ketua Wanita PKR berkata, PKR kini dilihat membalas dendam dengan memecat dan "memburu" ahli parti yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"PKR semakin tersasar daripada perjuangan yang menegakkan keadilan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Selangor itu kepada Bernama hari ini ketika dihubungi melalui WhatsApp bagi mengulas perkara itu.

Haniza juga berkata, beliau masih belum menerima apa-apa surat atau notis rasmi daripada parti berhubung perkara itu.

Bernama hari ini melaporkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya semalam, bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza.

Haniza digantung keahliannya daripada PKR pada 6 April lepas kerana bertemu Mohamed Azmin dan bekas Naib Presiden parti tersebut, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lepas.

Mengulas mengenai kedudukannya sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza berkata, khidmatnya dalam pentadbiran kerajaan negeri tersebut hanya akan tamat selepas beliau mendapat surat arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, beliau akan menjadi ADUN Bebas dan akan terus memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasan yang diwakilinya.

Dengan pemecatan Haniza, PKR di Selangor kini mempunyai 17 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Ia selepas Mohamed Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Muhammad Hilman Idham (ADUN Gombak Setia) dan Dr Daroyah Alwi (ADUN Sementa) mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan Pakatan Harapan memiliki 41 kerusi iaitu PKR (17), DAP (16) dan Amanah (lapan) manakala Barisan Nasional (lima), PAS (satu), Bersatu (lima) dan Bebas (empat). - BERNAMA

Calon TPM PH: Adakah tahap politik Anwar hanya setaraf dengan Mukhriz? - Syed Ali

Calon TPM PH: Adakah tahap politik Anwar hanya setaraf dengan Mukhriz? - Syed AliGabungan yang dikenali sebagai PH Plus itu turut menamakan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1 dan Mukhriz sebagai TPM 2. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri didakwa sia-sia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan nama Presiden PKR itu sebaris dengan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai calon timbalan perdana menteri.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, mendakwa tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah menggambarkan secara tersirat Anwar tidak berkelayakan menjadi perdana menteri.

“Ramai tertanya-tanya kenapa sebelum ini blok pembangkang bermain dengan slogan 'mandat rakyat' tetapi apabila menamakan bakal Perdana Menteri Kesembilan, ia langsung tidak mengambil kira sensitiviti rakyat.

“Apa pun natijahnya di sebalik keputusan 'luar biasa' Dr Mahathir itu, pemahaman rakyat semakin matang melihat betapa teruknya perangai pemain politik yang rakuskan kuasa.

“Pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa biarpun tindakan mereka dilihat 'sebagai lawak jenaka' dan melangkau batas pemikiran normal, seperti kejutan dengan menamakan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Kesembilan,” dakwanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya di sini, pada Isnin.

BACA: "Bukan saya cadang Mukhriz jadi TPM" - Dr Mahathir

BACA: 
'Beri saya sedikit masa pertimbang jadi calon PM ke-9' - Shafie Apdal

Pada Sabtu, Dr Mahathir mengumumkan gabungan parti yang menyokong beliau iaitu DAP, Amanah, Warisan dan beberapa pemimpin Bersatu yang terhenti keahlian bersetuju untuk mencalonkan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Gabungan yang dikenali sebagai PH Plus itu turut menamakan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1 dan Mukhriz sebagai TPM 2.

Dalam pada itu, dakwa Syed Ali, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara wujudnya jawatan TPM 2 sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj sehingga kini.

“Pelik dan ganjil permainan politik PH Plus dalam strategi mereka mahu menumbangkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Ironinya, Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dimaklumkan terlebih awal mengenai pencalonan Shafie sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

“Berdasarkan respons Anwar dan sekutunya dalam PH, jelas idea Dr Mahathir itu amat tidak digemari kerana seperti cuba menghalang Anwar menduduki kerusi Perdana Menteri Kesembilan,” dakwanya.

Sementara itu dakwanya, maklumat akar umbi juga memaklumkan, selain tentangan keras PKR, DAP serta Amanah juga belum bersedia mengistiharkan pengakuan terbuka menyokong Shafie.

“Shafie pula dilaporkan berkata akan 'berfikir' dan 'tidak akan mengambil masa yang lama'.

“Permainan politiknya jika dilihat secara tersirat menunjukkan Anwar digambarkan tidak berkelayakan memegang jawatan Perdana Menteri, kecuali hanya Shafie.

“Barangkali taraf politik Anwar cukup sekadar mengisi jawatan TPM 1, menyamai taraf Mukhriz selaku TPM 2,” dakwanya.

Katanya lagi, rakyat kini teruja dengan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bertungkus-lumus membina negara kesan penularan wabak COVID-19.

“Gandingan dan sokongan beberapa parti dalam kerajaan PN terhadap Muhyiddin adalah bukti mereka menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Memang diakui akan ada sedikit kegelisahan dan suara sumbang dalam kalangan PN tetapi itu adalah lumrah kerana 'susunan jari pun ada panjang pendeknya'.

“Keyakinan dan sokongan rakyat Malaysia terhadap Muhyiddin sudah cukup untuk beliau meneruskan agenda membela nasib rakyat,” katanya.

Isnin, 29 Jun 2020

Mohamad Ariff sahkan terima usul khidmatnya ditamatkan


KUALA LUMPUR
- Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Beliau berkata, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai Timbalan Speaker juga ditamatkan.

Mohamad Ariff berkata, kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

“Terpulanglah kepada Dewan untuk memutuskannya mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Saya tiada masalah secara peribadi selagi proses demokrasi dan Perlembagaan dipatuhi,” katanya ringkas.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Telok Intan mengesahkan usul tersebut dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada petang Jumaat (26 Jun) lepas.

Kor Ming sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan menghormati keputusan yang dibuat Dewan Rakyat sama ada mahu beliau dan Mohamad Ariff terus kekal atau melepaskan jawatan mereka mengikut perlembagaan dan peraturan Parlimen. - Bernama

PKR pecat ketua Wanita Sabah, beri amaran kepada Tian Chua


PETALING JAYA:
Lembaga Disiplin PKR mengesahkan Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid dipecat manakala Naib Presiden, Tian Chua diberikan amaran.

Ini menyusul berita pemecatan 4 pemimpin lain semalam, iaitu Ketua Wanita PKR, Haniza Talha, Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin, Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria dan Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim yang disahkan Lembaga Disiplin parti itu hari ini.

Pemecatan itu dipercayai berkaitan hubungan mereka dengan ahli politik yang kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim berkata Adun Machap Jaya, Ginie Lim dan Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pulau Pinang, Carolyn Khor turut diberikan amaran.

Katanya, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) turut bersetuju menggantung keahlian Ahmad Raj Abdullah yang melakukan serangan fizikal terhadap Tian Chua pada Mac lalu.

“Beliau digantung sehingga selesai siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tian Chua yang merupakan penyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, dibaling dengan botol, ditampar dan digelar “pengkhianat” serta “anjing” oleh sekumpulan penyokong yang marah dengannya ketika beliau hendak memasuki keretanya selepas selesai mesyuarat MPP di ibu pejabat parti itu pada 1 Mac lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama Afif dan Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri turut diganggu penyokong PKR ketika mereka meninggalkan ibu pejabat PKR pada hari sama.

Susulan itu, polis menahan seorang ahli PKR untuk membantu siasatan. Lelaki berusia 30-an itu ditahan di ibu pejabat PKR selepas polis menerima laporan pegawai bertugas.

Pendedahan Najib mengenai kebakaran HSA menunjukkan Kerajaan PH sebelum ini tidak peka dengan kebajikan Rakyat


Najib Razak menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera mendedahkan laporan berhubung punca kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia perlu bagi menjawab kritikan pihak tertentu khususnya Pakatan Harapan (PH) yang cuba meletakkan kesalahan kepada PN.

Jelasnya, meskipun laporan berkenaan telah lama siap, namun kerajaan PH sebelum ini gagal untuk mengemukakan laporan berkenaan kepada umum.

"Laporan itu siap pada 6 Jun 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan diserahkan kepada kerajaan PH di bawah perdana menteri ketujuh (Dr Mahathir Mohamad).

"Masa menyerah laporan, pengerusi jawatankuasa mendesak kerajaan PH untuk mengumumkan dan mendedahkan laporan tersebut.

"Namun, pada bulan Nov 2018, menteri kesihatan PH kata laporan tersebut masih tidak boleh didedahkan kerana memerlukan kebenaran kabinet PH," tulis Najib di Facebooknya, hari ini.

Katanya lagi, selepas setahun kerajaan PH masih gagal mendedahkan laporan berkenaan sehinggalah tumbang.

"Pada pendapat saya, kerajaan PN perlu dedahkan laporan tersebut serta-merta kerana laporan dah lama siap," tambah Najib lagi.

Pada bulan Okt 2016, enam nyawa terkorban dalam tragedi kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA pada tahun 2016.

Susulan itu, pada bulan Nov 2016, kerajaan BN di bawah pimpinan Najib menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mencari punca kebakaran.

Laporan berkenaan siap pada 6 Jun 2018. Untuk rekod, BN tumbang dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.

Semalam wad perubatan perempuan HSA terbakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun tidak kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian terbaru itu.

Sebelum ini, wakil rakyat DAP Teng Chang Khim turut mendesak kerajaan PN untuk dedahkan hasil siasatan dan perbincangan jawatankuasa khas berhubung kebakaran yang berlaku pada 2016 itu.

Dalam pada itu, Najib turut merayu pihak polis serta peguam negara supaya tidak mengambil tindakan yang drastik ke atas ketua pengarang portal berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn.

Boo disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung artikel yang berkaitan dengan kebakaran HSA pada 2016.

Najib berkata, Boo dilihat ikhlas untuk menambah baik sistem kesihatan Malaysia.

"Tahun lepas, Boo juga pernah banyak kali mengecam skim MySalam yang merupakan projek kesayangan menteri kewayangan PH bersama syarikat Insurans milik penuh Singapura kerana pulangan projek itu tak masuk akal dan banyak merugikan negara.

"Boo tulis tentang laporan HSA sejak tahun 2019 sehingga bulan Mac 2020 lalu kerana dia tidak mahu tragedi kebakaran untuk berulang.

"Malangnya, kebakaran HSA berlaku sekali lagi," kata Najib.

Syed Saddiq sindir Tun Mahathir, Anwar?

Wartawan MalaysiaGazette
tweetssssss-681x752
Ciapan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menarik perhatian Tan
Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Wah…SS sindir TM n DSAI?

Itu ciapan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di laman Twitter.

Reaksi ahli Parlimen Ketereh itu merujuk kepada ciapan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq dalam ciapannya memuji bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin sebagai wanita muda yang berjaya apabila diberi peluang untuk memimpin.

“Kia perlu lebih ramai belia dalam politik, bukannya orang tua yang berebut kuasa.  Berkhidmat untuk memimpin,” katanya. – MalaysiaGazette

Tun M serba salah, bukan beliau cadang Mukhriz jadi TPM2

Shawaliah Hadir
MGF18052020_PC-TUN-M16-1-681x454
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terbit rasa serba salah dalam dirinya apabila nama anaknya dicadangkan menjadi Timbalan Perdana Menteri 2.

Bekas perdana menteri itu mendedahkan cadangan tersebut bukan daripada dirinya sendiri, sebaliknya nama Datuk Seri Mukhriz sudah disebut sebelum beliau mengeluarkan kenyataannya kelmarin.

Dr Mahathir dalam kenyataannya mengesahkan sokongan terhadap Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Mukhriz Timbalan Perdana Menteri II.

Pengesahan tersebut dibuat selepas satu pertemuan tidak rasmi dibuat bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 22 Jun yang lalu.

“Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad bin Sabu, Ketua Parti Amanah dan Lim Guan Eng, DAP pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.

“Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti Kerajaan. Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya,” katanya menerusi kenyataan.

Artikel berkaitan: Shafie calon PM, Anwar TPM1, Mukhriz TPM2

Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak pernah menghalang anak-anaknya bergiat aktif dalam politik dan membiarkan semua anaknya bergantung kepada diri sendiri.

Namun beliau dalam masa yang sama tidak mempunyai hak untuk menentang cadangan agar Mukhriz dilantik sebagai TPM II.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya,” tambah Ahli Parlimen Langkawi itu.

Artikel berkaitan: Sudah jelas Dr Mahathir mahu anaknya jadi PM – Ronnie

Menyedari cadangan ini dikritik hebat, bekas Perdana Menteri ketujuh itu walaubagaimanapun tidak memaksa sesiapa untuk percaya kepada penjelasannya hari ini.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” ujarnya lagi.

Sehingga kini Mukhriz masih belum memberikan respon berkaitan pencalonan dirinya.-MalaysiaGazette

Kulit buku persenda Jata Negara

Wartawan MalaysiaGazette
jata
Perbandingan yang dibuat di laman sosial.

KUALA LUMPUR – Kulit sebuah buku yang bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’ menimbulkan kegusaran orang ramai kerana ia secara terang-terangan mempermainkan jata negara.

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan turut dikongsi di pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengulas tentang buku itu berkata, lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

MG281119_PC-PEMUDA-UMNO05-1024x683
Asyraf Wajdi Dusuki

Menurut beliau, seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

“Nampaknya Akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Asyraf berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak pihak penulis, penyunting dan penerbit buku tersebut disiasat dan diambil tindakan tegas jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara.

Kementerian Dalam Negeri juga, katanya, harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia. – MalaysiaGazette

Anggota polis ditahan terlibat kes penyeludupan dadah di Muar

Bernama
MGF31012018_TEMURAMAH-DATUK-AYOB08-681x454
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. foto HAZROL ZAINAL,

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan Khamis lalu (25 Jun), selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa di sekitar Muar.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis berusia 40 tahun, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu ditahan, susulan penangkapan awal tiga suspek sindiket berkenaan pada 6 Jun lepas.

Ketiga-tiga suspek itu berumur antara 23 hingga 37 tahun.

“Tangkapan ketiga-tiga mereka ini susulan kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sebanyak 25 kilogram (kg) syabu dan 14kg ecstasy di Pantai Muara Parit Samsu, Muar pada 1 Jun lalu, tetapi tidak berjaya menahan suspek terlibat kerana melarikan diri.

“Susulan itu, polis melancarkan satu operasi khas pada 6 Jun, bagi mengesan suspek terlibat, sebelum akhirnya berjaya menahan ketiga-tiga suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, soal siasat ke atas ketiga suspek kemudian membawa kepada penangkapan anggota polis tersebut, selain merampas 2.10 kilogram lagi syabu bernilai RM84,000 dan menyita sebuah kenderaan bernilai RM94,000.

Beliau menambah berdasarkan ujian air kencing, dua daripada semua suspek terlibat positif dadah jenis syabu.

Dua daripada mereka turut didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau, berkaitan dadah.

“Sindiket ini dikesan telah beroperasi sejak 2017 dan daripada siasatan awal, mereka dipercayai cuba menyeludup 33 kg syabu dari Muar ke Indonesia menerusi jalan laut, di mana 25kg daripadanya berjaya dirampas pihak berkuasa, manakala enam kilogram syabu lagi sedang dikesan bersama dua suspek lain yang berjaya melarikan diri,” katanya.

Ayob Khan berkata, kesemua suspek kini direman selama 11 hari dengan anggota polis terlibat disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK), manakala tiga suspek lain disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, lima lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 29 tahun ditahan, menerusi lima serbuan berasingan di sekitar Seri Alam.

Ayob Khan berkata, dalam siri serbuan itu, pihaknya merampas sebanyak 9.135 kg ganja, 36.13 gram syabu dan dua liter air ketum, dengan nilai keseluruhan RM26,470.50.

Selain itu, polis menyita tiga buah kenderaan bernilai RM386,000, sebuah motosikal bernilai RM8,000 dan wang tunai berjumlah RM850.

Kesemua suspek kini ditahan reman 11 hari, bermula tarikh tangkapan.— BERNAMA

Pemuda Umno desak tindakan diambil terhadap buku hina jata negara

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penulis, penyunting dan penerbit sebuah buku yang didakwa merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan Malaysia.

Asyraf berkata, buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” mempamerkan sebuah logo mirip jata negara, yang didakwanya sudah diubah suai dan dijadikan penghias muka hadapan buka berkenaan.

“Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk 2 ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan, di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara, termasuk jata negara secara tidak wajar.

“Nampaknya akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan bagi sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara melalui penerbitan buku sebegini,” katanya.

Asyraf turut menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah segera menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini bagi mengelakkan ia terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.

“Pemuda Umno dengan ini mendesak supaya penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara,” katanya.

Dr M paksa PKR pilih antara 2 kesudahan

Pada pilihan raya umum lalu, rakyat memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Mandat rakyat itu ditamatkan Mahathir apabila beliau meletakkan jawatan PM meskipun dipujuk Yang di-Pertuan Agong pada Februari lalu.

Keinginan beliau mendirikan sebuah kerajaan perpaduan mengejutkan ramai di saat getir, ketika semua ahli Parlimen perlu menyatakan pendirian mereka kepada Agong.

Cita-cita Mahathir mendirikan kerajaan perpaduan akhirnya hancur berkecai bersama jawatan PM sementara yang dipegangnya apabila beliau tidak lagi dicalonkan sebagai PM oleh Pakatan Harapan ketika berjumpa Agong. Sebaliknya, yang dicadangkan PH ialah Anwar Ibrahim.

Selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai PM, Mahathir dalam satu pertemuan tertutup bersama ahli PPBM menyerang Anwar “gila-gila” hendak menjadi PM.

“Anwar memang dia gila-gila nak jadi PM, dia tak boleh jadi (PM) pasal entah macam mana kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya.

“Saya amat sedih kerana saya kalah dalam pemilihan ini kerana dia minta pada PH supaya namakan dia sebagai calon (PM) PH. Kalau tak, saya dah dapat 90 undi dan tambah 60 undi, saya boleh dapat majoriti jadi (PM) kerana dia tuntut untuk jadi calon, walaupun dia sepatutnya tak boleh dapat, tetapi dia tuntut,” kata Mahathir dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin akar umbi PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 1 Mac lalu.

Pertarungan antara Mahathir dan Anwar tidak terhenti di situ. Persepsinya, mereka juga saling berebut jawatan ketua pembangkang, tetapi akhirnya jawatan itu dimenangi Anwar. Sebagai ketua pembangkang, selayaknya Anwar ialah calon PM parti pembangkang sekiranya mereka mendapat kuasa semula.

Namun, di dalam sifir buku politik Mahathir, jawatan ketua pembangkang tiada apa nilai.

Di dalam kekalutan mendapatkan kembali sokongan untuk menjadi PM, Mahathir semalam mencadangkan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon PM menggantikan beliau.

Beliau turut mendakwa DAP dan Amanah sebulat suara bersetuju dengan cadangan ini yang juga menyaksikan Anwar dan anak Mahathir, Mukhriz dilantik sebagai timbalan perdana menteri I dan II.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menangkis dakwaan itu segera dengan menjelaskan cadangan opsyen Shafie sebagai PM perlu dibawa berbincang mesyuarat Majlis Presiden PH yang turut dianggotai Anwar.

Persoalannya, jika Mahathir sanggup menyokong Shafie diangkat sebagai PM, mengapa Mahathir tidak mencadangkan Anwar, yang juga ketua pembangkang sebagai calon PM?

Jika Mahathir boleh memujuk orang yang menyokong beliau untuk menyokong Shafie sebagai PM, mengapa Mahathir tidak mampu berbuat demikian untuk Anwar?

Apakah Shafie mempunyai sokongan ahli Parlimen mencukupi berbanding Anwar? Opsyen melantik Mahathir sebagai calon PM ke-9 hancur berkecai, meskipun disokong penuh DAP dan Amanah kerana PKR dan Anwar enggan menerima beliau sebagai calon PM ke-9.

Oleh itu, mampukah Shafie mendapat sokongan ahli Parlimen yang cukup? Jika PKR menolak cadangan opsyen di mana Anwar menunggu 6 bulan sebelum Mahathir menyerahkan kuasa jika PH kembali berkuasa, apakah PKR boleh menerima cadangan baru ini, di mana jika ditakdirkan Shafie akan menjadi PM, belum tentu beliau akan ada tempoh untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar. Silap-silap, Mukhriz yang memintas Anwar nanti.

Perkara paling membingungkan dalam Langkah terbaru Mahathir ini ialah syarat melantik Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri II.

Apakah locus standi yang ada untuk Mukhriz dilantik sebagai timbalan perdana menteri II? Secara jujurnya, Mohamad jauh lebih layak memegang jawatan itu berbanding Mukhriz kerana Amanah mempunyai kerusi Parlimen sekali ganda melebihi Mahathir, yang kini tanpa parti.

Sedar atau tidak, saban hari, persepsi kian dibina PKR ialah penghalang kepada usaha PH kembali menjadi kerajaan selepas parti itu bertegas tidak menerima Mahathir sebagai calon PM ke-9.

Langkah terbaru Mahathir ini akan memaksa PKR memilih antara 2 kesudahan, iaitu sama ada PKR akan menegaskan prinsip dan menelan tuduhan mereka punca pembangkang berpecah atau melupakan hasrat Anwar menjadi PM buat selama-lamanya?

Putrajaya galak rakyat kerja di ladang tawar gaji hingga RM3,000

Khairuddin Aman Razali berkata, pengait buah sawit di ladang besar mampu
meraih RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan kemudahan kediaman turut
disediakan.

PETALING JAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali menggalakkan rakyat bekerja dalam sektor perladangan, termasuk kelapa sawit yang menawarkan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dan manfaat lain.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menarik minat orang tempatan bekerja di sektor perladangan kerana negara kekurangan 30,000 tenaga kerja dalam pelbagai pekerjaan di ladang.

Katanya, ia juga selaras usaha negara mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selepas penularan Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat hilang pekerjaan.

“Dalam situasi Covid-19 yang menyebabkan ramai pekerja terpaksa diberhentikan dan banyak operasi syarikat ditutup, sektor perladangan komoditi membuka pintu seluas-luasnya kepada rakyat tempatan.

“Kerja sebagai pengait buah sawit di ladang besar memberi peluang pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan disediakan kemudahan kediaman keluarga yang baik,” katanya kepada FMT.

Khairuddin berkata, kementeriannya akan mengutamakan pekerja tempatan berbanding warga asing dalam usaha menangani isu buruh paksa yang dijadikan bahan kempen antarabangsa bagi memburukkan sektor sawit negara.

“Isu kontrak melibatkan warga asing antara isu yang dikaitkan dengan terma ‘buruh paksa’ oleh mereka. Justeru, polisi meramaikan pekerja tempatan berbanding pekerja asing adalah polisi terbaik bagi melindungi kepentingan sawit Malaysia.”

Katanya, kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet untuk membincangkan isu pekerja asing.

“Setakat ini, kita kekal pada dasar baru yang telah diumumkan ke arah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di ladang dan meningkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan.”

Beliau mengulas gesaan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia untuk kerajaan membenarkan pekerja asing kembali kerana industri kelapa sawit akan berdepan kerosakan teruk jika tidak dikecualikan daripada pembekuan pengambilan pekerja.

Kumpulan itu berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kelangsungan hidup dan kelestarian sektor itu dengan membenarkan pemilik ladang yang tidak dapat merekrut orang tempatan supaya mengambil pekerja asing kerana sektor itu berdepan masalah kekurangan buruh kronik yang semakin teruk.

Ia bergantung kepada pekerja asing untuk 70% tenaga kerja ladang dan hampir semua kerja lapangannya, khasnya pekerja dari Indonesia dan Bangladesh.

Ribuan pekerja meninggalkan sektor itu untuk pulang ke kampung ketika sempadan ditutup akibat penularan Covid-19, menyebabkan tekanan dihadapi industri itu bertambah kerana 2 hingga 3% pekerja asing pulang setiap tahun.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, pengambilan pekerja asing baru untuk semua sektor tidak dibenarkan sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan warga tempatan mengisi kekosongan itu.