HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2020

Hina Jata Negara: Suatu tindakan biadab

KAMARUZAMAN MOHAMAD

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera mengantung penjualan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong yang jelas menghina negara.

Secara khusus, Jata Negara telah diubah dengan cara yang memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji dan hina serta direndahkan martabatnya. Perbuatan sedemikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius.

Bahkan penerbitan buku ini dilihat berunsur provokatif, mempertikai, menyanggah dan cubaan menghasut serta menimbulkan ketidaktenteraman awam. Ia juga dilihat mengandungi  unsur-unsur melampau yang mesti dicegah pihak berkuasa.

Pemeliharaan Jata Negara daripada sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profession.

Seharusnya, seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghormati dan memelihara penghormatan dan kedaulatan negara, sementelahan, tarikh sambutan kemerdekaan yang semakin hampir, di samping tahun 2020 merupakan ulangtahun ke-50 Rukun Negara.

PAS mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu-individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku menghina lambang kedaulatan negara.

“Islam Memimpin Perpaduan”

* KAMARUZAMAN MOHAMAD -Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
 – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: