HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2020

Hina Jata Negara tindakan biadab, haram penjualan buku – Pas

Manzaidi Mohd Amin
Kamarulzaman Mohamad
Kamarulzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan dan pengeluaran buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance And Hope In New Malaysia’, yang menghina jata negara.

Pas juga mahu buku yang disunting Kean Wong dan diterbitkan syarikat penerbitan Ilham Books itu digantung dari penjualannya di pasaran.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, lambang jata negara itu telah diubahsuai dengan cara memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji, hina dan direndahkan martabatnya.

“Perbuatan sedemikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, penerbitan buku itu juga dilihat mempunyai unsur provokatif, mempertikai, menyanggah, cubaan menghasut dan menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Ia juga dilihat, katanya, mengandungi unsur melampau yang mesti dicegah oleh pihak berkuasa.

Kata Kamaruzaman, pemeliharaan jata negara dari sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

“Seharusnya, rakyat Malaysia bersama menghormati dan memelihara penghormatan serta kedaulatan negara, sementelahan, tarikh sambutan kemerdekaan yang semakin hampir, di samping tahun 2020 merupakan ulangtahun ke-50 Rukun Negara.

“Sehubungan itu, Pas mahu polis menyiasat individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku itu menghina lambang kedaulatan negara,” katanya.

MGF01022020_Sidang-Media-Dewan-Pemuda-PAS-Malaysia_11-1024x683
Ir. Khairil Nizam Khirudin

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin melahirkan rasa kecewa dengan penularan gambar depan buku itu.

Beliau yakin buku berkenaan tidak melalui prosedur kelulusan daripada KDN dan perkara itu sepatutnya perlu dihindar atas faktor kepentingan serta keselamatan negara.

Jelas beliau, buku seperti itu membawa kepada tercalarnya imej negara dengan penghinaan ke atas jata negara yang menjadi lambang kemegahan Malaysia.

“Ianya menjadi faktor buku indie yang berkualiti dan mampu membina pemikiran yang matang, menerima persepsi buruk serta terjejas akibat daripada penghinaan dibuat oleh penerbitan buku ini.

“Pemuda Pas mengarahkan seluruh sayap Pemuda negeri dan kawasan turun membuat laporan polis dan membawa kepada pengharaman buku ini daripada sampai ke tangan rakyat.

“Kita tidak mahu buku ini terus menyebarkan fikrah songsang serta mengancam perpaduan dan keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: