Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini secara menyindir Dr Mahathir Mohamad berhubung alasan tidak dapat bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Najib dengan sinis memuat naik tangkap layar artikel disiarkan Malaysiakini dengan kapsyen "kenapa" merujuk kepada bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu.
Melalui tangkap layar itu, Najib melakukan suntingan tajuk artikel berkenaan yang asalnya: "Kenapa saya tidak dapat bekerjasama dengan Muhyiddin".
Selepas disunting perdana menteri keenam itu ayatnya kemudian bertukar menjadi: "Kenapa saya tidak dapat bekerjasama dengan Muhyiddin, Anwar, Najib, Pak Lah, Tun Hussein Onn, Ku Li, Musa Hitam, Tunku Abdul Rahman?".
Sebelum itu, dalam tulisan di Facebooknya, Mahathir berkata ramai yang menasihatinya supaya menyokong dan bekerjasama dengan Muhyiddin.
"Ingin saya jelaskan kenapa saya tidak dapat bekerjasama dengan Muhyiddin.
"Dia bersama dengan saya dan beberapa kawan lain menubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khusus untuk menjatuh kerajaan kleptokrasi Najib Razak.
"Rakyat percaya inilah perjuangan kami dan rakyat beri kemenangan kepada kami bersama parti rakan lain," tulis Mahathir.
Bagaimanapun katanya, Muhyiddin bersama dengan ahli Umno yang menyertai Bersatu telah merancang untuk menjatuhkan PH dan mendirikan kerajaan baru bersama dengan kleptokrat.
Sementara itu, hasil semakan Malaysiakini mendapati Najib memuat naik tiga hantaran di Facebooknya berhubung kenyataan Mahathir itu.
"Posting dia tadi, Najib, Najib, Najib, Najib, Najib, Najib.
"Dalam satu perenggan saja pun dia mampu petik nama Najib sebanyak 5 kali," tulis Najib di Facebooknya.
Tambah Najib, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan Pengerusi Bersatu pada 24 Feb dan Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri pada 29 Feb.
Katanya, dalam tempoh enam hari sebelum Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, Mahathir dilihat gembira saja.
"Tak sekali pun dia kata mandat rakyat dirampas masa itu. Malah, nama Najib pun tak disebut dia.
"Dalam tempoh enam hari itu, dia 'happy happy' je. Selepas YDP Agong lantik Muhyiddin dan bukan dia, barulah dia mula naik marah," kata Najib lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan