HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Jun 2020

Bekukan pengambilan pekerja asing

Noor Mohamad Shakil Hameed
MGF200520_IMIGRESEN-PASAR-OTHMAN_20-681x454
Pendatang asing tanpa izin menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK

TINDAKAN kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor pekerjaan hingga hujung tahun ini adalah satu langkah yang sangat tepat dan wajar.

Penulis yakin majoriti rakyat Malaysia menyokong penuh keputusan kerajaan ini. Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, langkah ini adalah inisiatif kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing selain memberi keutamaan kepada penduduk tempatan untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Ironinya dilaporkan terdapat kira-kira dua juta pekerja asing di negara kita dan ini mungkin data pekerja asing yang sah serta ada permit pekerjaan di mana kita tidak pasti beramai ramai pula bilangan pekerja asing tanpa izin (PATI). Apapun jumlahnya tetap membimbangkan dan senario kurang sihat ini wajar kita teliti dan perlu dirisaukan. Kita tidak menafikan pada satu ketika memang negara bergantung harap kepada tenaga kerja asing terutamanya dalam sektor kritikal termasuk sektor pekerjaan 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar untuk membangunkan negara melalui pemacuan sektor pembinaan dan ekonomi yang lain. Ini ditambah pula dengan situasi rakyat tempatan yang tidak begitu berminat untuk bekerja dalam sektor seperti ini.

Namun mengambil kira senario semasa terutamanya ketika serangan wabak Covid-19 yang menyaksikan ramai pekerja tempatan yang hilang pekerjaan, kita percaya persepsi dan mentaliti rakyat terhadap jenis pekerjaan yang sukar mula berubah secara perlahan-lahan. Ini ditambah pula dengan pelbagai laporan yang mendedahkan kadar  pengangguran semasa membimbangkan dan diramal akan terus meningkat. Justeru rakyat tempatan yang sedang menganggur dan telah diberhentikan kerja sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan selain meneroka dan merebut apa saja peluang yang ada di depan mata.

Jujurnya ini bukan masa untuk kita memilih jenis pekerjaan. Jadi kita percaya dengan membekukan pengambilan pekerja asing, ianya akan membuka peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini ditambah pula dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang antara lainnya menyediakan peruntukan khas untuk para belia dan penganggur mengikuti latihan kemahiran. Ini akan membantu golongan yang terjejas dengan wabak Covid-19 ini mengasah bakat dan kemahiran seterusnya mempersiapkan diri dengan kelengkapan yang diperlukan oleh majikan dan pasaran kerja.

Jadi pilihan sekarang ialah di tangan rakyat kita sendiri. Apakah kita akan terus berpeluk tubuh menunggu peluang kerja datang mencari kita, terus merintih dan mengeluh mengenang nasib terpaksa diberhentikan kerja atau bangkit sahut cabaran dan peluang yang disediakan ini untuk merebut apa jua kerja kosong yang selama ini diisi oleh pekerja asing. Tepuk dada dan tanya minda masing-masing.

Hakikatnya, rakyat kita sewajarnya perlu segera menginsafi senario semasa ekonomi negara dan juga dunia yang sangat tidak menentu dan sudahpun mula memberikan pelbagai kesan bukan saja kepada sektor pekerjaan tetapi kepada kehidupan manusia secara keseluruhannya. Jadi demi untuk meneruskan survival kehidupan masing-masing, para pencari kerja perlu membuka minda serta mengubah persepsi
diri lantas segera merebut peluang yang ada.

Warga tempatan juga sepatutnya berasa bangga kerana dapat membantu memulihkan ekonomi serta membangunkan negara dengan tangan kita sendiri jika dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja asing. Hal ini sangat signifikan kerana kita mahu membangunkan negara mengikut acuan kita dan oleh warga kita sendiri. Sudah-sudahlah kita bergantung harap kepada tenaga kerja asing selama ini. Sudah tiba masanya untuk kita mengambil alih tugas membangunkan negara dan membina masyarakat.

Dalam konteks ini, kita juga sangat mengharapkan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dari pihak majikan. Majikan perlu mematuhi arahan kerajaan sekali gus menghentikan pengambilan pekerja asing. Jangan pula ada yang cuba menggantikan tempat mereka dengan mengambil pekerja asing tanpa izin.

Sebaliknya, berilah kepercayaan dan bukalah peluang pekerjaan itu kepada anak tempatan. Yakinlah anak tempatan juga boleh melaksanakan kerja-kerja tersebut dengan baik.

Semoga pada akhirnya langkah pembekuan pengambilan pekerja asing ini akan membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Untuk itu, secara jujurnya kita berharap kerajaan mengambil peluang ini untuk merangka pelan bagi menghentikan terus pengambilan pekerja asing di negara ini secara berfasa supaya rakyat tempatan akan memperoleh manfaat yang sewajarnya dalam tempoh jangka panjang.

*Noor Mohamad Shakil Hameed -Pembaca MalaysiaGazette dan Penganalisis Isu Semasa

Tiada ulasan: