HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Jun 2020

Chini Memilih: Saya jadi wakil masyarakat FELDA dan Orang Asli - Calon BN

Chini Memilih: Saya jadi wakil masyarakat FELDA dan Orang Asli - Calon BN
Mohd Sharim mahu menjadi wakil masyarakat Felda dan Orang Asli. Gambar: Astro Awani

PEKAN : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, bertekad memberi tumpuan terhadap masyarakat luar bandar termasuk di FELDA dan kampung Orang Asli.

Jelasnya, jika diberi mandat pada 4 Julai ini, beliau akan menjadi wakil untuk menyampaikan suara dan hasrat mereka ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, pencalonannya pada PRK itu dianggap sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk meneruskan legasi perjuangan penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

"Saya tidak sangka akan dinamakan sebagai calon. Apabila saya diberi amanah dan kepercayaan, pastinya saya mengambil tanggungjawab ini dengan terbaik.

"Sebagai anak peneroka generasi kedua, saya akan menjadi wakil masyarakat bagi orang FELDA, kampung tradisi dan Orang Asli," katanya.

Mohd Sharim yang juga Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan pada jam 8.40 pagi tadi diiringi seorang pencadang dan penyokong.

Beliau berdepan cabaran dua calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dalam PRK berkenaan.

Tiada ulasan: