HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2020

Dr M: Pemimpin DAP, Amanah setuju Shafie calon PM, Anwar dan Mukhriz calon TPM

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Cadangan agar Presiden Warisan Shafie Apdal menjadi calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya dapat memperoleh kembali kuasa persekutuan mendapat sokongan pemimpin Amanah, DAP dan Warisan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan berkata, keputusan itu dibuat susulan pertemuan antara beliau dan penyokongnya dari Bersatu dengan pemimpin Amanah, Warisan dan DAP.

Jelas Mahathir, pertemuan itu juga mempersetujui agar Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikai, Mukhriz Mahathir akan mengisi dua jawatan timbalan perdana menteri.

"Dalam perbincangan, saya terbuka kepada apa juga cadangan termasuk jika saya tidak dicalonkan sebagai bakal perdana menteri. Antara cadangan yang dikemukakan ialah pencalonan Shafie sebagai perdana menteri.

"Kami sebulat suara bersetuju agar Shafie dinamakan sebagai calon perdana menteri. Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai sikap tegas supaya orang tahu mengenai pendirian kita," katanya.

Mahathir berkata bahawa pertemuan tidak rasmi itu berlangsung di Kuala Lumpur pada 25 Jun.

"Kami juga bersetuju agar Presiden PKR Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri 1 dan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2," katanya.

Jelas Mahatahir, antara yang hadir perjumpaan itu ialah Shafie, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke serta ahli jawatankuasa pusat DAP M Kulasegaran dan Liew Chin Tong.

Turut hadir, kata Mahathir, ialah anaknya, Mukhriz dan Marzuki Yahya. Namun, Mahathir tidak menyebutkan kehadiran wakil PKR.


Baca berita berkaitan: PH masih perlu bincang pencalonan Shafie sebagai PM, kata DAP dan Amanah


Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan DAP dan Amanah susulan kenyataan Mahathir, kedua-dua parti itu bagaimanapun berkata mereka masih perlu berbincang di peringkat kepimpinan pusat PH terlebih dahulu.

"Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu opsyen (pilihan) baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Walaubagaimanapun, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama," kata kenyataan yang dikeluarkan Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PKR sebelum ini menolak idea Mahathir kembali sebagai perdana menteri dan sebaliknya menyokong Anwar bagi jawatan itu.

Namun, Anwar dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan sokongan yang cukup di Dewan Rakyat, terutama dari wakil rakyat Sabah dan Sarawak.

Sekiranya Shafie dapat memperoleh sokongan yang cukup di Dewan Rakyat, beliau akan menjadi perdana menteri pertama dari Malaysia Timur.

Namun, mereka mungkin harus meyakinkan Anwar dan PKR terlebih dahulu.

Sementara itu, Mahathir, dalam kenyataannya menambah bahawa perbincangan itu dibuat bagi mengembalikan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH pada pilihan raya umum 2018 yang "dirampas" oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Mungkin ada yang bertanya kenapa Shafie dicalonkan. Mungkin ada yang telah lupa bahawa Shafie adalah salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrai sejak sebelum pilihan raya umum ke-14.

"Dia juga antara pemimpin yang menjadi mangsa awal pemerintahan Najib Razak (perdana menteri ketika itu) dan telah disingkir dari jawatan menteri dan naib presiden Umno kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuah dan pencurian wang rakyat menerusi skandal 1MDB yang begitu memualkan.

"Shafie ketika itu bersama Muhyiddin. Kini Muhyiddin meninggalkan perjuangan dan kembali dengan kleptokrat yang dahulu menghukum dan menyingkirnya," kata Mahathir.

Ahli parlimen Langkawi itu berkata, jika cadangan itu berjaya, kemungkinan ia akan mengeratkan hubungan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

"Saya juga percaya apa yang kita cadangkan ini dapat diterima oleh rakyat sebagai bukti bahawa personaliti-personaliti dalam pemimpin parti pembangkang tidak mengutamakan kedudukan dan jawatan mereka.

"Yang penting adalah meneruskan perjuangan yang dimulakan sejak tahun 2015 untuk membersihkan negara dari kerosakan yang didilakukan oleh pemimpin kerajaan yang tamak, bongkak, dan mementingkan diri sendiri.

"Seperti yang kita amati sekarang, tindakan yang pernah kita lawan pada masa lalu kini mula bertapak, para pemimpin dan penyokong kleptokrasi telah kembali," katanya.

Mahathir berkata, dia berharap cadangan itu dapat direalisasikan ketika Dewan Rakyat bersidang pada 13 Julai.

"Insya Allah, dengan sokongan Ahli Parlimen yang tidak dapat menerima pemerintahan pintu belakang Muhyiddin dan ingin mengembalikan mandat rakyat akan bersama saya dan rakan-rakan lain untuk menyokong usul Shafie sebagai perdana menteri.

"Jika usaha ini berjaya, langkah untuk pastikan asas demokrasi yang dituntut rakyat akan dapat kita penuhi. Kita mesti tamatkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat," katanya.

Kerajaan PH yang menang pada pilihan raya umum 2018, tumbang pada akhir bulan Februari, apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik partinya keluar dari PH.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac setelah Mahathir menolak untuk mengetuai gabungan baru yang disusun Muhyiddin yang terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR.

Mahathir sebelum ini cuba mengambil alih semua Bersatu namun dilihat tidak berjaya. Beliau dan penyokongnya disingkirkan daripada parti itu.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan mempertimbangkan mengadakan pilihan raya mengejut sekiranya Mahathir berjaya dalam usaha itu.

Tiada ulasan: