PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menutup sebuah kilang memproses mi di Segambut yang didapati kotor dan mengupah pekerja asing tidak mematuhi peraturan, beberapa hari selepas ia mengarahkan sebuah premis makanan ditutup atas alasan sama.
Hasil pemeriksaan Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mendapati tikus berkeliaran dan najis haiwan perosak itu bertaburan di tempat pemprosesan makanan di kilang itu, manakala lantai dan dinding tempat penyediaan makanan juga kotor serta berdaki.
“Premis tidak melantik syarikat kawalan serangga perosak secara berjadual. Tandas kotor dan berbau.
“Tiga pengendali makanan bukan warganegara tidak mendapatkan suntikan tifoid, tidak memakai penutup kepala dan apron semasa mengendalikan makanan.
“Peralatan, kelengkapan serta mesin pemprosesan makanan juga dalam keadaan kotor dan usang. Lokasi dan keadaan struktur premis tidak sesuai dijadikan kilang pemprosesan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DBKL berkata, penutupan kilang yang berkuat kuasa hari ini, dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Jumaat lalu, DBKL menutup sebuah kilang memproses yong tau foo di Pudu yang didapati kotor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan