KUALA LUMPUR – Gabungan parti dalam Muafakat Nasional sedia untuk mengadakan perbincangan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menyertai gagasan kerjasama UMNO dan PAS.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana parti itu telah terbukti berjaya menjalinkan kerjasama yang baik dengan Pas untuk membentuk Muafakat Nasional.
“Kita ada pengalaman bagaimana hendak jalin kerjasama dengan parti politik yang dulunya sangat berbeza dengan UMNO, seperti Pas.
“Selama bertahun-tahun kita berbeza pendirian dan jurang perbezaan itu bukan sedikit, akhirnya kita berjaya membentuk kerjasama yang baik.
“Oleh sebab itu, pengalaman yang ada harus dimanfaatkan sebaik-baiknya sekarang. Tiada masalah untuk Muafakat Nasional hendak bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Difahamkan, Bersatu akan menghantar wakil untuk bermesyuarat bersama Sekretariat Muafakat Nasional hari ini.
Namun, mesyuarat itu terpaksa ditangguhkan ke minggu depan kerana beberapa wakil dari PAS tidak dapat hadir, kata Annuar.
Ditanya berkenaan reaksi UMNO sekiranya Bersatu menyertai Muafakat Nasional, Annuar berkata, isu tersebut telahpun dibincangkan dalam parti.
Ujarnya, apa sahaja yang membabitkan parti perlu dibincang bagi mendapatkan kata putus. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan