HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Jun 2020

Saya dah kata, setiap langkah Mahathir untuk jadikan Mukhriz PM, kata Najib

mykmu.net

Najib Razak hari ini secara sinis mengucapkan tahniah kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana dilihat akan mendapat semula kedudukannya sebelum ini, iaitu sebagai timbalan perdana menteri, selepas 22 tahun berjuang.

Najib berkata, setiap jalan yang dipilih oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah untuk mengangkat anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

“Pakatan Harapan minus (tanpa PKR) sebulat suara sokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai perdana menteri, Anwar dijadikan timbalan perdana menteri 1 dan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2. Kan saya dah kata?

“Setiap jalan yang dipilih perdana menteri ke-7 akan berakhir dengan Mukhriz menjadi timbalan perdana menteri dan akhirnya perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 1997, sewaktu negara dipimpin oleh Mahathir sebagai perdana menteri ke-4, beliau bertindak memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri.

Keputusan itu menyebabkan tercetusnya gerakan reformasi untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), yang akhirnya berjaya pada 2018 dalam pilihan raya umum ke-14 apabila gabungan politik itu gagal mendapat bilangan kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat.

Najib berkata, langkahnya untuk tidak menyokong Mukhriz sebagai naib presiden Umno sebelum ini dikatakan antara sebab Mahathir mula meluahkan perasaan marahnya, iaitu sewaktu pemilihan Umno pada akhir 2013.

“Siapa suruh kamu percaya sangat pada DAP dan konconya, Amanah. Kan kamu sudah terang-terang dikhianat mereka. Mana mungkin DAP boleh diharap, tidak percaya tanyalah parti PAS,” katanya merujuk kepada pembubaran Pakatan Rakyat pada 2017 susulan perbalahan antara DAP dengan PAS.

Terdahulu hari ini Mahathir mendedahkan bahawa kumpulannya bersama-sama DAP, Amanah dan Warisan bersetuju mencadangkan supaya Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 dan anaknya Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas gabungan pembangkang membuat keputusan sebulat suara untuk mencalonkan Shafie sebagai calon perdana menteri sekiranya mereka kembali berkuasa.

Menurut Mahathir, Shafie merupakan salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi.

Bahkan katanya, Shafie adalah pemimpin awal yang menjadi mangsa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.FMT

Tiada ulasan: