HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Jun 2020

Shafie jadi PM hanya khayalan Dr M, kata menteri Sarawak

Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin parti pembangkang persekutuan dalam
sebuah mesyuarat tidak rasmi terdahulu. (Gambar Facebook)

KUCHING: Seorang menteri Sarawak ragu-ragu sama ada Amanah dan DAP akan mengheret diri mereka ke dalam khayalan Dr Mahathir Mohamad untuk Presiden Warisan, Shafie Apdal menjadi calon perdana menteri pilihan pembangkang.

Abdul Karim Rahman Hamzah, naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata Mahathir tiada hak menentukan siapa yang patut menjadi perdana menteri buat semua rakyat Malaysia.

Abdul Karim Rahman Hamzah

“Kecuali parti itu atau gabungan parti yang diketuai Mahathir bersetuju dengan cadangannya, baru kita boleh katakan Shafie ialah perdana menteri pilihan. Jika tidak, ini hanya cubaan Mahathir menghangatkan berita politik Malaysia,” katanya kepada FMT.

Karim mengulas pengumuman Mahathir semalam yang pemimpin parti pembangkang bersetuju mencalonkan Shafie sebagai perdana menteri pilihan mereka jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Mahathir selalu memberi kejutan kepada rakyat dan beliau mungkin mencadangkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai calon.

“(Kenyataan terbaru Mahathir) mungkin ialah petunjuk sudah sampai masanya beliau bersara. Rakyat mahu lihat beliau bersara dan biar negara diterajui pemimpin muda yang bertenaga. Bukannya tidak hormat Mahathir, tetapi tanpa beliau, Malaysia akan tetap membangun dan terus bertahan.

Mahathir dilaporkan berkata, cadangan menamakan Shafie disokong pemimpin Amanah dan DAP. Bagaimanapun, Mohamad dan Lim kemudiannya berkata, cadangan itu belum dibincangkan parti mereka atau diserahkan kepada Majlis Presiden PH.

Mahathir berkata, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan anaknya yang juga bekas timbalan presiden PPBM, Mukhriz, dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan Shafie.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing percaya mencalonkan Shafie dirancang Mahathir untuk menafikan peluang Anwar menjadi perdana menteri.

Tiada ulasan: