HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2020

'Pertama dalam sejarah' - PM serah usul singkir speaker Ariff, timbalan Nga

Malaysiakini

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengemukakan usul untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Seorang lagi timbalan speaker, Ahli Parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon, kelihatan tidak terjejas.

Nga mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

"Ini telah dimasukkan ke dalam agenda," katanya, sambil menjelaskan semua usul yang mematuhi peraturan parlimen akan ditangani secara adil.

Terdahulu, harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan Muhyiddin akan mengemukakan usul untuk membuang dan menggantikan Ariff dan Nga pada 13 Julai depan, hari pertama persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Pergantian itu dibuat di bawah Perkara 57 (3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan: "Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, melainkan oleh sebab Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum, maka seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong, seorang ahli lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Rakyat, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua."

MP Pagoh dilaporkan menyerahkan usul itu pada jam 4.50 petang semalam, sepuluh minit sebelum tempoh tamat berakhir.

'PM tak boleh singkir speaker'

Nga berkata tindakan Muhyiddin di luar kebiasaan amalan parlimen kerana ini adalah kali pertama perdana menteri mencadangkan untuk menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

"Penyerahan Muhyiddin kepada parlimen untuk membuang speaker adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia.

"Menurut konvensyen parlimen, kedudukan speaker biasanya dikosongkan dalam salah satu dari tiga keadaan berikut - ketika parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum, ketika speaker meninggal dunia atau ketika speaker mengundurkan diri.

"Ketiga-tiga situasi ini tidak terjadi," katanya.

Jelasnya lagi, unsur kedua yang "di luar kelaziman" dan belum pernah terjadi sebelumnya dalam usul itu adalah apabila pergantian speaker dan timbalan speaker diminta dilakukan serta-merta.

Menurut Nga, parlimen biasanya memberi notis 14 hari kepada semua ahli parlimen untuk membolehkan mereka mencalonkan speaker baru apabila jawatan itu kosong. Sekiranya lebih dari satu calon dicadangkan, keputusan akan dibuat melalui undian.

Menjelaskan lanjut, MP Teluk Intan berkata perdana menteri secara bersendirian tidak ada kuasa untuk menyingkirkan speaker atau timbalan speaker.

"Hanya Dewan Rakyat yang berkuasa untuk melakukan itu. Apa pun usul, sama ada untuk mengganti speaker atau membekukan konvensyen parlimen, ia mesti dibawa ke Dewan untuk undian.

"Pendirian kami mudah, kami akan hormat keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat. Sekiranya dewan mahu kami kekal, kami akan kekal. Sekiranya dewan mahu kami pergi, kami akan pergi. Semuanya akan dilakukan mengikut perlembagaan dan peraturan parlimen,” katanya.

Majoriti Muhyiddin di Dewan Rakyat dapat diuji ketika anggota parlimen mengundi sebarang usul kerajaan dan juga usul untuk melantik speaker dan timbalan speaker baru.

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno sebelum ini disebut-sebut sebagai calon timbalan speaker.

Tiada ulasan: