KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mencadangkan rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Syarikat bagi memperkenalkan peruntukan baru untuk membantu syarikat yang mengalami masalah kewangan secara menyeluruh, bukan hanya ketika berlaku pandemik.
Pengerusi SSM Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, beberapa inisiatif yang diperkenalkan agensi itu sebelum ini dalam membantu mengurangkan beban syarikat yang terkesan akibat Covid-19 adalah bersifat sementara, bukannya mekanisme perlindungan jangka panjang.
“Berdasarkan pengalaman semasa berlaku situasi seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Covid-19 yang berpanjangan, ada kekangan yang menjejaskan ekonomi, menyebabkan terdapat kesan tertentu yang terpaksa dialami syarikat.
“Peruntukan yang sedia ada dalam akta mungkin tidak menyediakan perlindungan yang berkesan kepada komuniti perniagaan, dan perubahan akta sedia ada perlu untuk memberikan satu mekanisme (perlindungan) yang lebih berpanjangan serta berkesan, pada masa depan.
Hasnol Zam Zam Ahmad
“Jadi saya berharap cadangan pindaan RUU ini dapat dipertimbangkan sewajarnya,” katanya dalam sidang media di Menara SSM, hari ini yang turut dihadiri oleh ketua pegawai eksekutif SSM Nor Azimah Abd Aziz.
Mengulas tentang jumlah syarikat yang mungkin gulung tikar kesan daripada pandemik Covid-19, Hasnol Zam Zam berkata, maklumat berkenaan hanya akan diketahui seawal suku pertama tahun depan.
“Sekarang kita masih ada tempoh lanjutan moratorium dan syarikat serta perniagaan akan memanfaatkan tempoh lanjutan ini untuk menstruktur semula perniagaan mereka. Jadi, data yang tepat hanya dapat dikeluarkan selepas tamat tempoh lanjutan yang diberikan.
“Bagaimanapun kita dapati banyak aktiviti pendaftaran perniagaan mula rancak dilaksanakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan