HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Jun 2020

Media akan dibenar buat liputan sidang parlimen Julai - Laporan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Wartawan akan dibenarkan kembali ke parlimen bulan depan untuk membuat liputan persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai, menurut sebuah laporan.

Namun, koridor bangunan parlimen - dulunya merupakan tempat temu ramah dengan wakil rakyat negara ini - dijangka akan menjadi tempat yang lebih tenang.

Menurut laporan Sinchew Daily hari ini, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengatakan wartawan akan diminta untuk mematuhi langkah keselamatan ketika mereka kembali.

"Media diizinkan untuk membuat liputan sidang parlimen, tetapi harus mematuhi langkah keselamatan.

"Wartawan dan jurugambar mesti menjalani ujian Covid-19 dengan perbelanjaan mereka sendiri, dan memakai topeng muka sepanjang keseluruhan liputan di parlimen," katanya.

Mohamad Ariff menambah bahawa setiap saluran media akan terhad untuk mengirim satu wartawan dan satu jurugambar, berbanding sebelum ini yang membenarkan tiga pengamal media terdiri daripada jurugambar dan wartawan.

Selain itu, wartawan akan ditempatkan di ruang media dan tidak akan dibenarkan melakukan wawancara di koridor parlimen, katanya.

Dalam persidangan terakhir Dewan Rakyat pada 18 Mei, hanya media rasmi yang dibenarkan untuk membuat liputan, sementara media lain bergantung pada siaran langsung sesi tersebut untuk melaporkan prosiding.

Pada masa ini, Dewan Rakyat dijadualkan untuk mengadakan sidang kedua tahun ini selama 25 hari dari 13 Julai hingga 27 Ogos.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap perdana menteri Muhyiddin Yassin, tetapi usul itu tidak dibahaskan semasa persidangan 18 Mei.

Mahathir dilaporkan mengatakan bahawa dia berharap usul itu akan dibentangkan pada persidangan akan datang.

Kerajaan pula dijangka membentangkan RUU Covid-19 (Langkah-langkah Sementara) pada persidangan Julai.

Tiada ulasan: