HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Jun 2020

Pas yakin kerajaan akan tegakkan keadilan untuk Adib

PAS yakin Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Perikatan Nasional akan mengambil tindakan seadilnya dalam kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Kamarulzaman Mohamad, pihak berkuasa akan mencari dan menghukum mereka yang terlibat.

“Sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan memerintah negara, inkues terhadap Allahyarham Adib menjadi perhatian kerana rakyat mengharapkan keputusan yang adil untuk Allahyarham Adib.

“Pas berpuas hati dengan keputusan Koroner Mahkamah Shah Alam, Rafidah Mohamad pada 27 September 2019 yang memutuskan punca kematian adalah akibat perbuatan jenayah oleh individu yang tidak dikenali.

“PAS yakin Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Perikatan Nasional akan mengambil tindakan seadilnya terhadap kes ini dengan mencari dan menghukum mereka yang terlibat samada pelaku (pembunuh) beserta mereka yang berusaha menutup kes ini jika ada,” kata Kamarulzaman.

Menurutnya, Pas juga menyambut baik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan kerajaan masih meneruskan siasatan terhadap kes kematian Muhammad Adib.

Beliau menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Takiyuddin melegakan rakyat Malaysia yang menantikan perkembangan terkini kes tersebut.

Takiyuddin sebelum ini berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menunggu hasil siasatan dan perkembangan kes bagi mencari pelaku yang menyebabkan kematian Muhammad Adib.

Menurutnya,  tiada had tempoh tertentu dalam mengendalikan kes jenayah termasuklah kes membabitkan Muhammad Adib.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).-SM

Tiada ulasan: