Tindakan tatatertib termasuk buang parti sebelum ini terhadap beberapa pemimpin dan anggota PKR yang dikaitkan sebagai penyokong bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali tidak akan menjejaskan parti, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata, ini kerana parti itu pernah mengenakan tindakan tatatertib serupa terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini.
"Saya mula melihat sejarah PKR sejak 20 tahun yang lampau, bermula April 1999 sehingga sekarang. Sekarang anggota PKR hampir-hampir mencecah 1 juta dalam tempoh 20 tahun.
"Dalam sejarah penubuhan parti itu, ada pemimpin
yang keluar sendiri, ada yang dipecat kerana tindakan disiplin. Ada nama
kecil, ada nama besar," katanya dalam wawancara bersama akhbar harian
bahasa Cina, Kwong Wah.
Saifuddin memetik nama bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim sebagai contoh.
"Ternyata walaupun PKR pecat Khalid, tapi PKR di Selangor terus bertahan sebagai sebuah parti yang kuat.
"Begitu juga, kita telah kehilangan Ezam Md Noor, Chandra Muzaffar, Marina Yusof, Zainur Zakaria. sehinggalah yang sekarang ini, Azmin, Zuraida (Kamaruddin), kerana tindakan mengkhianati parti," katanya.
Azmin dan Zuraida sebelum ini meninggalkan PKR dalam 'Langkah Sheraton' bersama beberapa lagi wakil rakyat PKR yang lain, yang menyumbang kepada jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Susulan itu, beberapa lagi anggota dan pemimpin PKR meninggalkan parti itu, sama ada dipecat atau sukarela sebagai menjejaki langkah kumpulan Azmin.
"Mereka diberi peluang, tapi mereka pilih untuk terus kerjasama dengan pemimpin yang dipecat, jadi kita tak ada pilihan," kata Saifuddin lagi.
Mengenai kemungkinan naib presiden parti itu, Rafizi Ramli kembali ke politik, Saifuddin berkata, bekas ahli parlimen Pandan itu bercuti sepanjang tahun untuk memberi tumpuan kepada perusahaannya dalam bidang pakar kecerdasan buatan (AI).
Saifuddin turut mengulas mengenai Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin yang didakwa membawa beberapa Adun lain bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Kata Saifuddin, tindakan Afif itu jelas bagi menjejaskan sokongan rakyat terhadap PH Pulau Pinang.
"Pulau Pinang akan terus kuat. Kita menghormati mandat rakyat dan kita ingin kerja bersungguh-sungguh untuk beri khidmat bakti kepada rakyat Pulau Pinang.
"Usaha Dr Afif itu takkan berhasil kalau tujuan untuk lemahkan kerajaan. Kerana kerajaan negeri akan terus kuat," katanya.
Afif sebelum ini dikaitkan sebagai antara penyokong Azmin. Terbaru, Adun Pulau Pinang itu berkata dia akan duduk sebagai wakil Bersatu dalam persidangan DUN Pulau Pinang pada Oktober nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan