HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Julai 2010

Belia Melayu tidak ambil pusing hal politik


images Tinjauan ‘daftar pemilih’

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Pelbagai reaksi diterima Free Malaysia Today melalui tinjauan di laman sosial ‘Facebook’ berhubung isu ‘daftar pemilih’ melibatkan belia Melayu yang masih ketinggalan berbanding bukan Melayu.

Perkara ini diakui oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz melalui wawancara bersama Malaysiakini semalam, dan berkata pendaftaran bulan lalu melalui parti politik menunjukkan golongan Melayu ketinggalan berbanding kaum lain.

Tinjauan dilakukan terhadap beberapa belia ini bagi merungkai permasalahan atau faktor yang menyekat mereka daripada menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi kelak.

Melalui tinjauan kami mendapati masih ada belia Melayu yang masih belum mendaftar dan kurang peka mengenai perkembangan ini.

Azrul Azmi, 25, yang merupakan jurugambar bebas mengakui segelintir belia mempunyai sikap ‘malas mahu campur hal politik’ menyebabkan perkara tersebut berlaku.

Menurut Azmi, beliau sebelum ini suka menangguhkan pendaftarannya, namun disebabkan memahami kepentingan mengundi menyebabkan beliau mahu mendaftar sebagai pemilih.

"Saya akui saya suka bertangguh, malas nak pergi daftar, malah sebelum ini saya tidak pasti di mana mahu mendaftar," katanya.

"Tetapi sekarang saya ambil inisiatif untuk mendaftar sebagai pemilih memandangkan kepentingan mengundi itu untuk negara, agama dan bangsa saya.

"Apa yang saya pasti mereka malas untuk campur tangan dalam hal politik menyebabkan belia ini kurang minat untuk mendaftar," terang beliau.

Senario politik bersifat peribadi

Azim Razak Bagi konsultan kewangan Azim Razak, 25, berpendapat bahawa senario politik sekarang lebih bersifat peribadi. Ini memberi refleksi negatif kepada belia untuk menarik mereka agar mendaftar sebagai pengundi.

"Jika dulu isu perkauman dimainkan untuk menarik pengundi…tetapi sekarang lebih kepada bersifat peribadi, maka apa untungnya jika mengundi jika ahli-ahli politik ini tidak memberi sumbangan kepada masyarakat?" soal Azim.

Maka peranan ahli-ahli politik Melayu perlu bagi mengubah persepsi mereka agar terus mendaftar sekaligus menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Tunjangnya ahli-ahli politik Melayu tidak bersatu, mereka perlu ubah senario negatif yang dibawa dalam politik sekarang. Ia sekaligus dapat memberi persepsi positif kepada belia seperti saya untuk mendaftar dan seterusnya menjalankan tanggungjawab mengundi," katanya.

Mimma Deena Senada dengan Azim, Mimma Deena, 23, seorang pekerja swasta pula mahu belia sedar dan memahami semula sejarah politik negara.

"Inilah masalahnya belia kita terutama Melayu, tidak tahu apa makna politik sebenar. Mereka lihat kewajipan mengundi ini tidak penting. Politik tiada dalam kamus hidup dan mereka tidak mahu fikir mengenainya.

"Mereka perlu baca buku Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Tanah Melayu agar sedar mengenai kepentingan mengundi yang bakal memberi impak dalam merencanakan politik negara kita nanti," kata Mimma.

Tidak kurang juga terdapat beberapa cadangan diutarakan agar proses mendaftar lebih mudah dilakukan belia.

Mohd Isharuldin "Belia Melayu jauh ketinggalan sebab sikap mereka yang suka ambil remeh perkara ini. Malah segelintirnya pula tidak tahu bagaimana mendaftar untuk mengundi.

"Maka saya cadangkan agar SPR memperbanyakkan promosi; seperti buka pejabat-pejabat kerajaan atau swasta atau pusat membeli belah," kata seorang wartawan stesen televisyen kerajaan, Mohd Isharuldin yang kini menginjak usia 24 tahun.

Tiada ulasan: