KOTA BHARU - Telekom Malaysia (TM) Kelantan memperkenalkan inisiatif baru, imbuhan wang tunai bagi membendung kes kecurian kabel yang semakin berleluasa di negeri ini.
Pengurus Besarnya, Ab. Rashid Che Othman berkata, imbuhan RM10,000 itu akan diberikan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk ditawarkan kepada Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga yang membantu menangkap pencuri kabel. "Kes kecurian kabel kerapkali berlaku dan memberi impak yang besar kerana ia mengganggu kegunaan perkhidmatan TM kepada orang ramai.
"Justeru tawaran imbuhan ini adalah sebagai penghargaan kepada SRS dan KRT yang berdaftar di bawah JPNIN dalam usaha menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan itu untuk membantu menangkap pencuri kabel ini di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pemberian imbuhan itu akan mula diberikan pada akhir tahun ini.
Selain inisiatif baru itu, beliau berkata, TM turut menggiatkan usaha pemantauan dan rondaan melalui sebuah skuad khas yang ditubuhkan khusus untuk melakukan rondaan ke kawasan yang kerap berlaku kes kecurian kabel.
Beliau berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, TM menahan 54 pencuri kabel di seluruh daerah di negeri ini yang kebanyakan merupakan penagih dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan