KUALA LUMPUR: Malaysia tidak layak menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika ia terus menerus mencabul hak asasi manusia secara berleluasa, kata badan pemantau Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
"Pencabulan ini menjadi semakin buruk di bawah Perdana Menteri Najib Abdul Razak sejak beliau mengambil alih pentadbiran pada April 2009, kata penyelarasnya John Liu ketika melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia di sini semalam.
Liu menyentuh tentang penggunaan undang-undang pencegahan yang kontroversial seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Kecemasan, yang membolehkan penahanan tanpa bicara; berada pada tahap paling rendah di bawah Najib.
Beliau berkata, "sehingga penghujung tahun lalu, lebih 1,000 orang ditahan di bawah undang-undang pencegahan ini.
Beliau berkata ramai rakyat ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Kecemasan, termasuk kanak-kanak, berbanding 16 tahanan di bawah ISA.
"Seramai 819 orang ditahan di bawah Ordinan Kecemasan ini, termasuk 36 kanak-kanak dan ini merupakan suatu bentuk pelanggaran terhadap Akta Kanak-Kanak dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak di Malaysia.
"Sehingga bulan Februari 2010, seramai 412 orang telah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan sehingga penghujung tahun lalu berjumlah lebih 1,000 orang dipenjarakan tanpa dihadapkan ke mahkamah,"
Menurut Liu, meminda dan mengkaji semula undang-undang seperti ini "masih tidak cukup".
"Malahan Majlis PBB menyatakan secara jelas bahawa dengan membuat pindaan sahaja masih tidak mencukupi apabila memberi respon terhadap desakan untuk membubarkan ISA. Ia secara jelas mencabul hak asasi manusia," terang beliau.
Ujar beliau, "pada 2009, sembilan tahanan masih berada di bawah ISA. Apabila kerajaan bercakap mengenai pindaan dan kajian semula terhadap undang-undang itu, mereka terus menahan rakyat dan jumlah itu terus meningkat kepada 16 orang."
SPRM salah guna kuasa
Dalam laporannya setebal 228 muka surat, Suaram membangkitkan isu dakwaan salah guna kuasa oleh agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Isu-isu lain yang diketengahkan ialah kematian dalam tahanan, tiada toleransi terhadap penentang kerajaan yang semakin ketara, tahanan beramai-ramai ketika protes terhadap krisis perlembagaan Perak dan penentangan dan pengkritik kerajaan yang serign diganggu.
Laporan itu juga memberi perhatian kepada nasib para pelarian dan pencari perlindungan politik dan media alternatif yang menjadi ‘mangsa’ terbaru akibat kepentingan politik.
Meskipun terdapat pelanggaran terhadap hak asasi manusia ini, Liu melahirkan kebimbangannya terhadap keengganan kerajaan Barisan Nasional untuk melakukan perubahan walaupun laporan-laporan antarabangsa ini tidak memihak kepada mereka.
Ini terbukti apabila sekurang-kurangnya dua laporan antarabangsa pada 2009 menarik perhatian tentang kerjasama di antara pihak berkuasa Imigresen dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan para pelarian di sempadan.
"Ini merupakan suatu bentuk ancaman yang besar pada 2009 dan dijangka berterusan dalam tahun 2010 ini," katanya.
Bukan itu sahaja, Malaysia juga gagal untuk mematuhi standard minima hak asasi manusia walaupun cadangan-cadangan dibuat oleh suruhanjaya yang dibentuk oleh kerajaan seperti Suhakam dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Malaysia mohon untuk dipilih
"Namun demikian, ia masih tidak dapat menghalang Malaysia dari membuat permohonan untuk menganggotai Majlis itu pada Mei 2010," kata Liu.
Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong juga tidak yakin apabila ditanya sama ada Malaysia mempunyai peluang untuk menganggotai Majlis itu.
"Jika anda tanya mana-mana ahli Suaram, saya pasti anda dapat jawapannya," katanya sambil ketawa, bagaimanapun menambah, "terdapat banyak pertimbangan di peringkat antarabangsa untuk menyertai Majlis itu."
"Para pelobi di PBB menyoal kami (sama ada Malaysia layak) tetapi saya fikir kita tidak layak menganggotai majlis itu. Pastinya tidak," katanya.
Kepada soalan sama ada beliau meramalkan tentang adanya operasi tangkapan beramai-ramai menjelang pilihan raya yang akan datang, beliau berkata "ia tidak semestinya bermaksud begitu."
"Tindakan keras kerajaan bermaksud penggunaan ISA. Jika tindakan itu bermaksud menahan rakyat untuk tempuh beberapa hari sahaja, itu bukan apa yang dimaksudkan.
"Tindakan keras di Malaysia bermakna menggunakan undang-undang dan memberi nama-nama pelik kepadanya seperti Ops Lalang dan sebab itu kenapa kerajaan bergantung kepada operasi seperti itu sejak sekian lama," katanya.
"Ia wujud kerana ada sebab kata Kua, untuk memberi perkhidmatan ketika "hari hujan".
"Jadi apabila berlaku krisis, maka tiba masanya untuk bertindak keras. Ia bergantung kepada apa yang berlaku dalam negara maka sentiasa ada harinya untuk hari hujan," katanya.
Bekas tahanan ISA, Mat Sah Mat Satray, yang turut menyertai persidangan selama dua jam itu, telah menceritakan pengalamannya ketika dalam tahanan selama lapan tahun.
Majlis ini juga menarik penyertaan daripada para diplomat dan pelbagai aktivis hak asasi manusia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Lima Cadangan
Suaram mendesak kerajaan memansuhkan semua bentuk tahanan tanpa bicara, kerana "perundangan ini dengan serius melanggar hak asasi manusia yang paling asas."
Tuntutan lain terhadap kerajaan yang sekian lama diperjuangkan termasuk :
- Penubuhan sebuah badan pemantau yang bebas dan berkesan dengan
segera untuk memastikan kebertanggungjawaban dipraktikkan oleh pihak
polis dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang lain. - Memansuhkan peruntukan undang-undang dan legislatif yang menindas
hingga membantut kebebasan bersuara, penyataan pendapat dan
perhimpunan. - Pengiktirafan terhadap hak dan status pelarian dan pencari
perlindungan politik dan - Penerimaan kesemua baki perjanjian teras hak asasi manusia
antarabangsa dan perlu diketahui bahawa Malaysia hanya menerima pakai
dua dari sembilan perjanjian teras. - Memperkukuh kebebasan dan keberkesanan Suhakam dan pelaksanaan
cadangan-cadangan suruhanjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan